Namun, bukanlah pengalaman menarik memancing itu yang ingin saya paparkan tetapi sebuah kisah benar aneh yang pernah diceritakan oleh datuk saya, Tok Jali.

Kisah berlaku di sebuah kampung terpencil di sebuah daerah di negeri Perak. Ianya berlaku lebih 40 tahun yang lalu ketika usia Tok Jali masih lagi remaja…

 

Pagi itu Ongah Udin bangun awal pagi. Selesai mengerjakan solat Subuh dan menjamah lempeng yang dilawankan dengan kari ikan semalam, dia meminta isterinya Mak Limah menyiapkan sedikit bekalan.

Bekalannya mudah sahaja, satu botol kopi `o` pekat dan beberapa keping biskut lemak yang dibungkus dalam plastik sahaja.

 

“Limah, aku nak ke Sungai Jiboi. Kalau tak tengahari, petang saja aku balik” begitulah pesanan Ongah Udin kepada isterinya.

Anak sulungnya yang dipanggil Amat beriya-iya mahu mengikut ayahnya untuk memancing sama.

 

“Amat tak boleh ikut. Amat kecil lagi. Tinggal saja di rumah temankan emak ya” begitulah pujukan Ongah Udin apabila Amat yang berumur lima tahun itu merengek-rengek mahu mengikut juga.

 

Ongah Udin menunggang basikal menuju ke Sungai Jiboi. Di pertengahan jalan, dia meletakkan basikalnya di tepi kedai getah Ah Seng sebelum berjalan kaki meredah belukar sejauh satu kilometer menuju ke baruh.

Dia hanya membawa dua batang joran buluh berumpankan cacing yang diletakkan di dalam tempurung kelapa.

 

Puas berjalan, akhirnya Ongah Udin menjumpai sebuah kawasan yang agak strategik. Ianya merupakan sebuah lubuk dalam yang agak gelap airnya.

Namun, pagi itu kesabarannya bagaikan di uji. Umpan cacingnya habis dimakan tetapi seekor ikan pun tidak berjaya dinaikkan.

 

Ads

Hatinya digaru rasa marah dan kecewa. Hampir tiga jam memancing, tiada pulangan yang dapat. Namun, Ongah Udin bagaikan dapat mengesan keanehan yang ada di lubuk itu.

Sepanjang dia memancing, suasana di situ bagaikan sunyi sepi. Tiada langsung bunyi unggas ataupun sahutan ungka yang biasanya bingit di telinga.

Hatta seekor nyamuk pun tidak ada yang mengigit tubuh badannya!

 

“Aneh betul suasana tempat ni,” getus hati kecilnya. Namun, apabila mahu menarik joran, terasa di hujung mata kailnya digetu kuat. Mungkin ada ikan yang sudah termakan umpan!

Dengan bacaan bismillah, Ongah menyentap kuat jorannya, agar jika ada ikan, Udin menaikkan jorannya.

Ingin sangat rasa hatinya melihat apakah jenis ikan yang berjaya dipancing. Rupanya seekor haruan sebesar lengan terlentuk-lentuk dihujung jorannya.

 

“Rezeki kau Amat” bisik hati kecilnya dengan rasa gembira. Namun, ada sesuatu yang menyentap hati Ongah Udin.

Mata ikan haruan itu bagaikan berkelip-kelip seperti manusia!!!

 

Tidak pernah lagi dia melihat kejadian aneh tersebut. Hati Ongah Udin bercelaru melihatkan kejadian tersebut.

Ads

Puas dia menggosok mata untuk memastikan adakah kejadian aneh tersebut benar atau hanyalah ilusi matanya sahaja.

Tetapi bila memikirkan apa kata Amat dan isterinya jika dia pulang tangan kosong, Ongah Udin bertekad membawanya juga pulang dengan memasukkan haruan berkenaan ke dalam punjut ikan, meskipun dalam hatinya terdetik perasaan tidak sedap hati.

Bahkan debaran tersebut semakin kuat setiap kali kayuhan basikalnya menghampiri rumah.

 

Dari jauh, lihatnya orang ramai berkumpul di rumahnya. Kehairanan terus menghimpit perasaannya. Orang kampung bagaikan menunggu dia pulang.

“Sabar Udin. Anak kau Amat baru saja meninggal kerana terjatuh dari tangga tadi, ” kata Haji Salleh sambil menepuk-nepuk bahunya.

 

Ongah Udin tidak berkata apa pun. Dia terus ke dapur lalu menghidupkan api dengan menggunakan kayu getah yang ada.

Sewaktu mahu menyiang, mata haruan berkeaan masih lagi berkelip-kelip memandangnya.

Ongah Udin tidak memperdulikan keadaan itu. Di dalam hati, dia khusyuk membaca Ayatul Qursi berulang-ulang kali.

 

Ads

Orang kampung pelik melihat kelakuan Ongah Udin, tetapi tiada seorang pun yang mampu menegur. Ongah Udin langsung tidak melihat jenazah anaknya yang terbaring kaku di serambi hadapan.

Mulutnya juga tidak berkata apa-apa. Dia mempunyai kerja dengan senyap seolah-olah tiada sesiapa di situ.

 

Selesai menanak nasi, Ongah Udin mengukur kelapa. Haruan itu dimasak gulai kuning sahaja. Selesai memasak, dia meletakkan nasi, gulai haruan, air basuh tangan di dalam sebuah dulang.

Kemudian dulang itu diangkat hingga ke kaki jenazah anaknya.

 

Dengan membaca Surah Al-Kahfi, Ongah Udin terus membuka kain batik lepas yang menyelimuti jenazah anaknya, lantas menepuk bahu Amat seperti kebiasaannya mengejutkan Amat untuk bangun pagi.

 

“Tadi Amat cakap nak makan dengan bapak. Ni bapak dah masakkan lauk ikan haruan yang sedap untuk Amat. Bangun makan nak…” katanya berulang kali.

 

Tiba-tiba Amat terus bangun dan duduk bersila di hadapan dulang itu. Ongah Udin membasuh tangan Amat dan melayannya makan. Lantas kesyukuran dipanjat kepada yang Maha Esa.

Peristiwa itu menimbulkan kehairanan dan menjadi bualan di kalangan orang-orang kampung.

Kata orang kampung, ikan haruan yang dipancing oleh Ongah Udin tu berpuaka dan mahu menukar nyawa dengan Amat.

Tetapi dengan kekuasaan Allah SWT, Ongah Udin berjaya menyelamatkan Amat dan anaknya sebenarnya tidak meninggal dunia.

 

Sememangnya, tidak ada kuasa lain yang boleh menentukan hidup mati seseorang melainkan hanya dengan kekuasaan Allah SWT.

Sejak itu, saya mula suka memancing setiap kali pulang ke kampung. Bukan kerana suka menarik joran yang dimakan ikan tetapi suka mendengar cerita-cerita misteri Tok Jali!

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI