Ada 10 sebab mengapa saya suka memancing. Pertama , untuk menghilangkan tekanan atau stress di rumah dan tempat kerja. Kedua dan seterusnya adalah untuk menambah

kenalan baru, mencari lauk dapur untuk orang rumah, sebagai satu riadah kesihatan, mencari kepuasan diri, mengasah teknik memancing yang dipelajari, termakan dengan

pujukan teman-teman, mencari pot baru yang menyegarkan dan akhir sekali sebagai satu punca pendapatan apabila ikan yang banyak didapati dijual kepada jiran.

 

Di antara banyak sebab ini, saya lebih suka kepada alasan akhir iaitu mencari satu pendapatan sampingan untuk keluarga.

Maklumlah dalam keadaan ekonomi gawat sekarang, keperluan duit itu lebih utama daripada kesemua alasan lain di atas.

 

Sejujurnya saya bukanlah gemar sangat memancing, saya lebih suka menjala, memasang lukah dan menjaring ikan di pesisir pantai.

Kalau memancing memang ada feel tetapi lambat dapat ikan yang banyak.

 

Jadi dengan tiga cara di atas, selalunya jarang saya pulang dengan tangan kosong. Ada saja rezeki yang saya bawa untuk menjadi santapan keluarga atau dijual kepada jiran tetangga dan sahabat handai.

Pendek kata, pantang ada kawan-kawan yang sebut tempat ikan banyak, pasti saya akan ke situ untuk mencuba nasib.

 

Tidak kira laut, sungai, lombong, paya atau sebagainya, saya pasti pergi. Kali ini rakan baik saya Bob mengajak menjala di Tasik Zahra, sebuah tasik yang masih belum tercemar

dan terletak di kawasan pedalaman di bahagian utara Semenanjung Malaysia. Kami pergi berempat dengan ditemani Halim dan Ben.

 

Pemanduan memakan masa tiga jam dan di sepanjang perjalanan Halim menceritakan tentang pengalaman misteri yang dialami ketika memancing di Sungai Koh dua bulan lepas.

Sebelum tiba di destinasi, Ben selaku driver, mengajak kami bertiga mengeteh dahulu di sebuah warung kecil bersebelahan sawah padi yang sudah menguning dan hanya menunggu masa untuk dituai.

IKLAN

 

Saya hanya minum segelas Nescafe tarik dan sepinggan laksa yang kuahnya dibuat dengan menggunakan isi belut sawah dan dihiasi dengan telur puyuh bulat 3 biji. Memang sedap dan begitu menyelerakan.

 

Selesai makan, barulah kami meneruskan perjalanan. 20 minit kemudian, kami telah tiba di jeti. Pakcik Mat, pemilik bot sudah sedia menunggu di jeti.

Rupa-rupanya Bob telah merancang semua aktiviti menjala dan memancing dengan penuh teliti.

 

Perjalanan dari jeti ke pot pertama memakan masa hampir 45 minit. Spot yang dipilih ini betul-betul terletak di sebuah kuala sungai yang menganjur masuk ke dalam tasik dan kami merancang akan bermalam di situ.

 

Bob menyuruh kami memasang khemah dan mencari kayu api untuk persediaan memasak dan membuat unggun api. Saya pula ditugaskan untuk memasak.

Memandangkan hari sudah beransur petang, saya terus membasuh beras untuk ditanak.

 

Lauk untuk malam itu ringkas sahaja. Sambal sardin, telur dadar berulamkan timun Jepun yang dibekalkan oleh isteri saya.

Saya juga membancuh air kopi O satu cerek besar yang bakal diminum untuk menahan mata daripada mengantuk.

IKLAN

Siap semuanya, barulah saya mengeluarkan jaring dan mula membetulkannya dengan dibantu oleh Ben.

 

Menjelang pukul tujuh malam, kegelapan menyelubungi kawasan kami. Suasana menjadi hening.

Dada langit semakin kelam dan burung-burung berterbangan pulang ke sarang. Saya mengambil keputusan untuk mengerjakan solat Maghrib dan Isyak secara jamak.

 

Ketika meranduk tebing sungai sedalam paha untuk mengambil wuduk, saya dikejutkan dengan kehadiran tujuh jenis bunga yang mengalir tenang di hadapan saya.

Bunga melur, mawar, kenanga, kekwa kuning, dan tiga jenis lagi yang tidak saya ketahui namanya seolah-olah cuba menarik perhatian saya untuk terus memandang hingga hilang dibawa arus.

 

Sesaat itu juga saya tercium bau limau purut yang sangat menyegarkan menusuk masuk ke hidung.

Saya beristiqfar seketika sebelum meneruskan hajat mengambil wuduk. Tidak saya ceritakan kepada kawan-kawan peristiwa yang baru berlaku itu.

 

Malam itu saya memasang jaring di beberapa lokasi yang dicadangkan oleh Bob dengan menaiki bot. Aktiviti menjala tidak dapat dilakukan kerana kawan-kawan berasa letih dan mengantuk.

IKLAN

 

Malam itu saya bermimpi jaring yang saya pasang berjaya ‘menangkap’ seorang puteri jelita yang sedang mandi-manda di sungai itu bersama beberapa dayangnya.

Tuan puteri itu menangis-nangis merayu agar saya melepaskan dia. Katanya, andai saya membantu dia, dia berjanji akan memberikan saya sesuatu yang berharga.

 

Saya tersentak daripada tidur dan terus mengucap dan beristiqfar. Sempat saya memandang jam. Tepat jam dua pagi.

Saya mengambil keputusan untuk mengambil wuduk kembali dan saya memberanikan diri memeriksa dua jaring yang saya pasang.

Saya mendayung perlahan bot dengan bantuan lampu suluh. Pada jaring pertama, kosong. Tiada langsung ikan mengena.

 

Pada jaring kedua pula, saya temukan seekor ikan kecil bersisik emas yang tidak meronta lagi.

Seolah-olah sudah pasrah dengan nasib yang menimpa dirinya. Saya mengambil keputusan untuk melepaskan ikan kecil bersisik emas itu.

 

Keesokan harinya, saya terkejut apabila melihat dua jaring yang saya pasang penuh dengan ikan kelah, sebarau dan baung.

Kami seolah-olah berpesta ikan hingga penuh tong ikan yang kami bawa. Saya juga menjumpai sebentuk cincin berbatu hijau di dalam perut ikan kelah yang saya bersihkan untuk dijadikan hidangan makan tengah hari.

Lebih mengejutkan cincin itu memang sesuai dengan jari manis saya.

 

Selepas mendapat cincin itulah, rezeki saya bertambah setiap kali  keluar menjaring. Sesungguhnya saya percaya kuasa Allah SWT itu melebihi segala kuasa makhlukNya di muka bumi ini.

Mungkinkah ikan kecil bersisik emas itu adalah tuan puteri yang hadir di dalam mimpi saya?

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI