
Penyediaan 1
Masukkan pelet ke dalam bekas bancuhan umpan, kemudian masukkan air hingga penuh menutup pelet, biarkan seminit dan toskan kesemua air.
Penyediaan 2
Ambil kelapa parut dam masukkan ke dalam bekas bancuhan.
Penyediaan 3
Tuangkan sebotol esen limau ke atas kelapa parut.
Penyediaan 4
Tuangkan pula sebotol esen nanas ke atas kelapa parut.
Penyediaan 5
Masukkan pula pes perisa pandan sebanyak 8 penutup botol.
Penyediaan 6
Gaul kesemua bahan sehingga sebati dan kelapa parut bertukar warna sepenuhnya.
Penyediaan 7
Tuangkan semua pelet tadi ke dalam bekas campuran kelapa parut dan esen.
Penyediaan 8
Gaul kesemuanya sehingga menjadi sekata.
Penyediaan 9
Tuangkan minyak kuinin sebanyak 12 penutup ke atas pelet. Gaul sekali lagi sehingga kesemua pelet sebati dengan minyak dan kelapa parut.
Penyediaan 10
Sebaiknya bahan umpan ini diperap di dalam bekas kedap udara sekurang-kurangnya sehari sebelum digunakan.
Panduan & Etika Memancing Di Dalam Hutan!!

Umpama masuk ke rumah orang kenalah dijaga tingkah laku. Kalau di rumah, jika buruk tingkah laku atau biadap tutur katanya, mungkin dihalau oleh tuan rumah.
Bezanya di hutan, mungkin situasi tersesat, disorok jin akan berlaku. Apabila di hutan, kurangkan bercakap kerana takut kita berkata atau melakukan sesuatu yang tidak betul tanpa kita sedar.
Kita harus sedar setiap langkah gerak geri kita diperhatikan, cuma kita tidak nampak.
JANGAN BAWA TELUR & DAGING
Selalunya apabila berkhemah di dalam hutan, dua benda ini jarang dibawa kerana pada dasarnya ia adalah makanan jin.
Pernah terjadi sekumpulan pendaki yang mendaki membawa sepapan telur untuk digoreng apabila tiba di puncak.
Apabila malam untuk sesi makan malam, mereka terkejut kerana semua telur yang masih elok, apabila dipecahkan didapati isinya kosong.
Daging pula merupakan penarik untuk haiwan-haiwan datang kerana baunya yang kuat, lagi-lagi apabila dipanggang.
KAWASAN LAPANG & RUMPUT MATI
Apabila melalui sesuatu kawasan, haruslah kita peka dengan keadaan sekeliling.
Jika kita melalui sesuatu kawasan yang menghijau rumputnya tetapi terdapat sekelompok kawasan yang rumputnya sudah mati, elakkan melalui kawasan tersebut.
Kebiasaannya, kawasan tersebut merupakan tempat untuk orang asli membuang bisa. Bisa hutan ini bermacam, tidak kira yang nampak atau tidak nampak.
Jika kita melalui kawasan lapang pula yang seakan dibersihkan, jangan melalui kawasan tersebut ataupun mengotorkan tempat itu.
Kebiasaannya ia adalah tempat orang asli untuk bercucuk tanam. Cara yang terbaik adalah cuba cari jalan lain ataupun lalu di tepi tempat tersebut.
SUSUR AKAR BERJUNTAI
Orang tua selalu berpesan, “Jangan digayut akar berjuntai, nanti ada teman mengintai”.
Nampak menarik bila kita ternampak akar pokok yang berjuntai seperti dalam filem Tarzan tu.
Tetapi harus diingat, kebiasaannya ia adalah tempat jin bermain. Salah satu tempat bermain dan bergayut bagi makhluk jin adalah akar yang berjuntai.
Apa jadi apabila tempat permainan kita diganggu orang luar? Pasti akan timbul rasa tidak puas hati.
MEMAKAI WANGIAN
Ingatlah, hutan bukanlah tempat untuk kita membeli belah atau bergaya. Hutan adalah tempat di mana penghuninya mempunyai seribu ragam.
Ada haiwan yang alah pada wangian, ada juga yang tertarik pada wangian. Deria bau yang ada pada haiwan sangatlah hebat.
Bukan seperti manusia, hanya mampu mengesan bau beberapa meter sahaja. Kebanyakan haiwan mampu mengesan bau berkilometer jauhnya.
Andai wangian tersebut menarik haiwan yang tidak berbahaya, anda bernasib baik.
TAPAK KAKI RUSA
Harus diingat, pemangsa utama rusa adalah harimau. Selalunya apabila ada rusa, dibelakangnya harimau mengikut.
Apabila ternampak kaki rusa atau kelibatnya, jangan berasa seronok dapat melihat rusa sebesar kereta kancil.
Kemungkinan besar sang belang menanti di belakang. Silap-silap rusa ditinggalkan, anda yang dia tunggu.
PANGGILAN NAMA
Sepanjang berada di dalam hutan, kurangkan menyebut nama haiwan secara terus. Contohnya harimau, boleh dipanggil Maybank.
Seperti ketika zaman sekolah, ada panggilan tertentu kepada rakan-rakan yang hendak dikutuk tanpa dia tahu. Sama juga apabila berada di dalam hutan.
Jika berjalan secara berkumpulan, jangan suka menjerit ataupun memanggil nama kawan.
Takut-takut ada benda lain yang menyahut. Benda ini banyak kali terjadi pada pendaki ataupun kaki pancing.
SISA MAKANAN
Apabila memasak, pastikan kuantitinya sesuai dengan kehendak perut anda. Jangan ada sisa makanan yang ditinggalkan ataupun lebihan makanan yang tidak dimakan.
Kebanyakan haiwan amat peka pada bau makanan. Sama juga bagi haiwan seperti beruang, harimau dan lain-lain. Jangan terkejut ketika tidur, khemah anda diselongkar beruang ataupun gajah.
UNGGUN API
Kebanyakan orang melihat unggun api digunakan untuk memasak, memanaskan air dan sebagai pencahayaan.
Seeloknya, sediakan kayu api yang mencukupi untuk sepanjang malam dan jangan biarkan unggun api terpadam sehingga terbitnya fajar.
Andai terdapat ahli kumpulan seramai 4 orang, pastikan terdapat 4 batang kayu yang berbara.
Ia boleh dijadikan sebagai senjata andai harimau, beruang atau gajah datang melawat.
BUNYI BISING
Kadangkala ada rakan mengeluh kerana bunyi cengkerik dan berbagai lagi yang didengari ketika mereka tidur di khemah. Itu adalah normal.
Yang tidak normalnya apabila keadaan sekeliling menjadi sunyi sehingga dengkuran tidur rakan anda yang menyakitkan telinga.
Apabila keadaan menjadi sunyi secara tiba-tiba, itu menandakan terdapat haiwan yang besar sedang memerhatikan kita.
Andai ada bahan letupan seperti mercun, bakarlah mercun tersebut. Sekurang-kurangnya ia dapat menghalang haiwan liar daripada mendekati kita.
SULUH TIDAK TENTU ARAH
Apabila malam, jangan suka menyuluh di kawasan yang tidak perlu. Takut tersuluh cik pon bermata merah pula nanti. Petua juga mengatakan kurangkan menyuluh muka rakan-rakan terutama ketika tidur.
Mengenal Spesies Umpun-Umpun Secara Ringkas!!

Umpun-umpun bentuknya yang lembut dan panjang sehingga mencapai 30 sentimeter serta mempunyai kaki seperti lipan, membuatkan spesies ini berbeza banyak dengan cacing tanah yang sedia ada.
Habitat spesies ini boleh didapati di kawasan berlumpur yang diliputi pokok bakau atau nipah di persisiran pantai dan ianya bersarang di dalam lumpur itu sendiri.
Di negara beriklim khatulistiwa ini, terdapat beberapa spesies perumpun yang dijadikan umpan untuk ikan tertentu atau mengikut padang pancingan masing-masing. Perumpun ini antaranya perumpun pasir, merah dan jangkau.
Umpan ini masing-masing dikhaskan, perumpun pasir – ikan bolos, gelama dan sembilan. Jangkau – ikan duri, jenahak, jengah dan gubal dan perumpun merah – udang galah serta ikan baung.
Justeru, cara untuk mencarinya perlu diserahkan kepada mereka yang pakar mengesannya iaitu ketika air surut di kawasan paya bakau di mana sarangnya boleh dikenal pasti melihat timbunan najis tanah atas kawasan yang berlumpur.
Sarangnya itu akan dikorek menggunakan cangkul atau penyedok khas sedalam kira-kira satu meter dan kemudian ditarik secara perlahan-lahan bagi mengelakkan badannya terputus.
Untuk menggunakan umpan ini, mata kail bersesuaian dengan saiznya diperlukan dengan mencangkuk perumpun terbabit yang dipotong kira-kira satu hingga dua sentimeter.
Petua untuk umpan ini tahan lama janganlah anda memotong di bahagian kepala dulu dan mulakan dari ekornya sedikit demi sedikit dan sekiranya tidak habis digunakan simpanlah dalam bekas asalnya dan letak di tempat yang teduh.
Sekarang ini, umpan perumpun mudah didapati di kedai pancing atau di tepi jalan di lokasi memancing dengan harga antara RM5 sehingga RM10 mengikut isi kandungannya.
Panduan Memancing Belitong Guna Umpan Ikan Hidup

Belitong merupakan spesies predator ikan yang jarang menolak hidangan ikan hidup. Umpan ikan mati yang masih segar turut sama dibedal belitong ketika kemuncak ia menggila memburu ikan-ikan.
Namun untuk berpeluang bertemu dengan gerombolan belitong yang sedang frenzy ini jarang berlaku. Jadi, apabila peluang terhidang jangan sesekali dilepaskan.
Set Peralatan
Bagi memancing belitong, menggunakan set pancing aksi ringan paling menyeronokkan. Kekili siri 3000 hingga 5000 dan joran PE 1-3 adalah gabungan yang sepadan. Sementara tali sulam 20lb – 40lb sepanjang 150 meter di dalam spool. Perambut pula berkekuatan 50lb dengan satu mata kail 3/0 jenis Octopus yang tajam.
Jika ingin mengamalkan konsep sportfishing (tangkap dan lepas) maka mata kail lingkar harus digunakan. Walaupun penggunaan mata kail lingkar agar sukar untuk memperoleh hook up dan perlu hook up yang sempurna, ia bersifat mesra ikan kerana boleh dilepaskan kembali dengan baik.
Teknik
Teknik pancingan berhanyut atau drifting merupakan kaedah terbaik untuk memancing belitong. Umpan hidup dibiarkan hanyut bebas dengan menggunakan belon atau tanpa belon.
Penggunaan belon lebih efektif jika cuaca agak berangin dan berarus. Waktu air mati dan tiada tiupan angin, sebaiknya biarkan ikan umpan berenang tanpa belon. Tetapi jika banyak kelihatan belitong bermain di permukaan air, penggunaan belon lebih efektif bagi mengelakkan umpan menyelam lebih dalam.
Strike
Ikan belitong ini amat bijak mencuri umpan. Walaupun kelihatan rakus membaham umpan namun banyak berkesudahan dengan gagal strike. Ia tidak terus menelan umpan yang dihidangkan, tetapi sekadar menggonggong seketika dan membuat pusingan U sebelum membuat larian.
Oleh yang demikian kita haruslah bijak memilih waktu untuk melakukan strike. Waktu terbaik menyembat belitong selepas loncatan pertama ke permukaan air kerana ketika ini belitong terasa tusukan mata kail di mulutnya.
Selain bijak mencuri umpan, belitong juga akan berusaha mat-matian untuk memuntahkan mata kail yang tertancap di mulutnya. Lompatan akrobatik bersama libasan kepala dilakukan berulang kali. Ketika inilah pemancing perlu bijak meregang tali.
Jika tali pancing kendur ia akan memberi peluang kepada belitong untuk memutuskan tali atau menanggalkan mata kail.