Kenali Spesies Pari Tuka

Share

 

Taksonomi:

 

Kingdom: Animalia

Phylum: Chordata

Class: Actinopterygii

Subclass: Elasmobranchii

Order: Myliobatiformes

Family: Dasyatidae

Genus: Himantura

Species: H. walga

Binomial name: Himantura walga

 

 

Di Malaysia, spesies ini dinamakan ikan ketuka, pari ketuka atau tuka. Ketuka merupakan spesies terkecil dalam keluarga pari dan berikutan saiznya itu ia seringkali disalah anggap sebagai pari kecil atau pari juvana.

 

Spesies dengan nama umum mangrove whipray adalah spesies ikan pari dalam keluarga Dasyatidae. Taburan pari tuka boleh ditemui di Lautan Hindi dan Pasifik, dari India ke Kepulauan Melayu barat dan Selatan Jepun. Spesies ini paling biasa dijumpai di kawasan berpasir lebih kurang dari 100meter serta di muara sungai.

 

 

Saiz maksimum (lebar dari sirip ke sirip) sehingga 29 cm sahaja di mana sirip pektoralnya berbentuk seperti berlian atau cakera. Mempunyai bahagian kepala yang menirus panjang, mata kecil, dan ekor seperti cambuk dengan lipatan dorsal dan sirip ventral. Badannya berwarna kecoklatan pada bahagian atas dan putih di bahagian bawah.

 

Diet pemakanan utama ikan pari tuka terdiri terutamanya daripada krustasea kecil dan ikan. Ia juga merupakan spesies demersal atau mencari makanan di lantai laut. Ia membiak secara viviparous aplacental dengan spesies betinanya melahirkan 1-3 ekor anak.

 

 

Perkara ini dapat dilihat apabila pemancing mendaratkan ketuka betina yang sedang sarat mengandung dan bertindak melahirkan anak dalam usaha terakhir menyelamatkan anak-anaknya. Sebagai pemancing yang beretika, sebaiknya kita melepaskan kembali ketuka dan anak-anaknya ke habitat asalnya.

 

Dari aspek pancingan sukan, ikan pari tuka tidak disenaraikan sebagai ikan sasaran utama dan sering didaratkan tanpa disengajakan. Walau bagaimana pun ikan pari tuka jarang dilepaskan kembali, tidak sebagaimana ikan duri atau belukang kerana faktor kelazatan isinya.

 

 

Sebagaimana ikan pari yang lain, pengendalian pari tuka perlulah dilakukan dengan berhati-hati kerana ia memiliki sengat berduri yang bukan saja lebih halus dan tajam, bahkan bisa sengatnya juga dikatakan lebih kuat berbanding keluarga pari yang lain.

IKLAN