Ikan pendatang ditafsirkan sebagai spesies ikan yang bukan berasal di tempat tertentu namun diperkenalkan atau dibawa masuk ke perairan tersebut. Kebanyakan kita beranggapan ikan pendatang merbahaya, namun tidak kesemuanya mempunyai kesan negatif.

Perlu diingatkan tujuan diperkenalkan pada peringkat awal semua bertujuan positif. Yang tinggal hanyalah bagaimana pengawalan itu dilakukan terhadap spesies yang dibawa masuk.

 

IKLAN

Keli Afrika

Nama lain : Northen African catfish
Nama Saintifik : Clarias gariepinus
Negara asal : Kebanyakan negara Pan-Afrika

 

 

Keli Afrika pada mulanya diperkenalkan sekitar tahun 1980-an. Ini bertujuan untuk pembiakan kacukan serta beberapa faktor untuk kegunaan akuakultur. Keli Afrika tidaklah merupakan ancaman yang besar kepada ekosistem dan spesies tempatan.

Biasanya spesies ini memakan apa saja dan hidup secara senyap di tasik, kolam atau lombong. Walaupun dikatakan tidak mempunyai daya melawan yang kuat, keli Afrika masih mempunyai kelebihan kerana saiznya yang mampu mencapai saiz gergasi membuatkannya masih menjadi buruan bagi sesetengah pemancing.

 

Baung Amazon

Nama lain : Amazon Redtail catfish / cajaro / pirarara
Nama Saintifik : Phractocephalus hemioliopterus
Negara asal : Amerika Selatan; Amazon, Brazil, Colombia

 

IKLAN

 

Spesies baung ekor merah ini merupakan spesies yang berasal dari Amerika Selatan. Pengenalan spesies ini kepada habitat tempatan ialah menerusi kepentingan dalam bidang ikan hiasan serta ikan bagi buruan pemancing sukan. Kekuatan ikan ini menjadikannya menjadi spesies ikan sukan yang semakin popular di kalangan pemancing tempatan.

Terdapat kolam-kolam pancing komersial sudah mula memperkenalkan spesies ini di kolam mereka. Walaupun diakui ganas, namun masih tiada rekod jelas menunjukkan ancaman risiko tinggi kepada ekosistem tempatan ataupun kemampuan spesies ini untuk membiak sendiri di ekosistem bebas tempatan.

 

Tilapia

Nama lain: Tilapia
Nama Saintifik : Oreochromis mossambicus
Negara asal : Negara Afrika; Mozambique, Lesotho, Swaziland

 

 

Tilapia merupakan spesies popular dalam keluarga Cichlidae. Spesies ini diperkenalkan bagi pembangunan sektor akuakultur dan sebagai sumber makanan penduduk. Bagaimanapun, spesies dari Afrika ini yang biasanya di kultur

secara sangkar akan menurunkan kualiti air kawasan sekitar. Tilapia yang terlepas ke sesuatu ekosistem pula mampu mengakibatkan pengubahsuaian ekosistem terutama kepada spesies cichlid tempatan serta komuniti bentik sesuatu habitat.

Oreochromis merupakan genus terbesar dalam keluarga cichlid tilapia. Spesies yang biasa ditemui di Malaysia ialah O. niloticus (merah) dan O. aureus (biru).

 

Kerapu Lombong

Nama lain : Jaguar chiclid, Jaguar guapote
Nama Saintifik : Parachromis managuensis
Negara asal : Amerika Tengah; Honduras, Costa Rica

 

 

Ikan ini diperkenalkan bertujuan membantu sektor ikan hiasan dan juga akuakultur. Biasanya spesies ini boleh ditemui di kawasan tasik-tasik terbiar. Ikan ini mampu bertahan dalam air yang mempunyai kekeruhan tinggi dan berlumpur.

Walaupun dalam keadaan oksigen yang kurang, spesies ini mampu untuk bertahan lebih lama berbanding spesies tempatan. Ikan ini juga bersifat pemangsa yang boleh mengancam spesies tempatan jika terlalu banyak tanpa kawalan dengan memakan ikan kecil.

 

Ikan Bandaraya

Nama lain : Armoured catfish, Suckerfish
Nama Saintifik : Hypostomus plecostomus
Negara asal : Amerika Selatan; Brazil, Guyana, Surinam

 

 

Ikan bandaraya ini merupakan ikan yang popular di kalangan peminat ikan hiasan. Spesies ini diperkenalkan juga atas dasar kepentingan dalam ikan hiasan di mana kita boleh melihat ikan ini di kebanyakan akuarium. Ikan bandaraya mempunyai sifat menyedut dan berguna membantu dalam pembersihan dalam kitaran dalam sebuah akuarium.

Risiko utama kepada ekosistem yang tidak terkawal pula ialah kemungkinan terjadinya pengubahsuaian struktur dasar dan sedimen bagi sesebuah sungai atau tasik yang berkemungkinan punca terjadinya kerapuhan ban atau tanah.

 

Keli Bunga

Nama lain : Freshwater catfish
Nama saintifik : Clarias macrocephalus
Negara asal : Asia; Thailand dan Vietnam

 

 

Keli bunga mula diperkenalkan untuk tujuan penyelidikan dan kacukan terutama dengan spesies keli Afrika. Selain itu spesies ini juga menjadi sumber penting untuk sektor akuakultur dan diternak secara komersial. Walaupun menjadi ikan yang masih dipancing di kalangan pemancing, nilainya tidaklah tinggi. Tiada ancaman tinggi terhadap ekosistem.