Lazimnya ikan dengkis memiliki sirip hampir penuh mengelilingi badan dan di antara sirip lembut terdapat duri tajam yang berbisa. Panas mungkin juga mewakili lada atau cili yang diketahui pedas. Rata-rata ikan dengkis berbentuk lebar separa bulat.
Saiz ikan dengkis bintik oren lebih besar dari ikan dengkis biasa yang kita temui dan secara keseluruhannya sifat dan ciri-ciri utama dengkis bintik oren adalah sama sahaja dengan ikan dengkis.
Dengkis bintik oren disenaraikan dalam famili Siganidae. Terdapat 12 subspesies dengkis ditemui. Hampir keseluruhan warna asas badannya kelabu manakala warna sirip dorsal atas dan bawah berwarna kekuningan.
Sedikit warna kekuningan dikesan pada bahagian mulut hingga sekitar bahagian mata. Corak badannya berbintik di sebelah atas dan jalur pula di bahagian bawah.
Ads
Hampir semua dengkis mempunyai ciri warna berlainan dan cantik corak badan spesies ini. Juvenil atau dengkis bintik oren bersaiz kecil lebih popular dijadikan ikan hiasan. Nama saintifiknya ialah Siganus javus (Java rabbitfish).
Ekornya tirus melebar dan ada yang tirus memanjang. Gigi halus, bersengat di setiap hujung sirip dorsal dan mulut kecil adalah ciri-ciri utama ikan ini.
Ads
Ikan dengkis bintik oren hanya ditemui di kawasan berpulau karang seperti Tukun Perak, Pulau Jarak, Pulau Aur. Paling banyak yang meragut mata pancing ialah di Tukun Perak dan Pulau Jarak kedua-duanya di sebelah pantai barat semenanjung.
Kawasan karang di tengah laut dalam saya jarang melihat ia makan umpan pemancing. Kawasan muara sungai berbatu serta persisiran pantai berkarang juga berpotensi menjinakkan ikan ini. Saya biasa juga memperolehi anak kitang tetapi paling banyak ialah dengkis di muara sungai pantai timur tapi hanya untuk muara berbatu sahaja.
Dengkis bintik oren adalah ikan karang. Gemar mendiami kawasan berstruktur karang kerana sumber makanan utama diperoleh di kawasan batu karang terdiri dari anak ikan, krutesia kecil dan moluska.
Ikan dengkis bintik oren juvenil kecil bergerak dalam kumpulan besar di persisiran pantai berkarang dan jumlah semakin mengecil kumpulannya apabila membesar. Mampu membesar sehingga 30cm. Saiz ini memang dianggap besar bagi ikan dengkis bintik oren.
Untuk saiz purata yang biasa saya lihat dan pancing untuk semua spesies dengkis termasuk dengkis bintik oren ialah saiz 17cm hingga 25 cm. Berat kurang dari 300 gram seekor kecuali yang melebihi 20cm. Bermusim aktif dari bulan May hingga Ogos.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Dalam kajian terbaru (Walton et al 2015) common mahseer of Malaysia iaitu kelah merah yang selama ini dikelasifikasikan sebagai Tor tambroides telah diganti dengan Tom tambra. Kajian ini sekaligus merubah nama saintifik kelah merah (semenanjung) dan empurau (Sarawak) yang sekian lama telah digunapakai. Walaubagaimana pun spesies Tom tambroides tidak dapat dipastikan bagaimana rupanya.
Tor tambra atau kelah merah telah menjadi ikon raja air tawar dan sering diburu oleh kebanyakan pemancing. Gelaran raja air tawar ini disebabkan oleh kesukaran mendapatkannya selain mempunyai nilai yang tinggi sebagai hidangan dan juga perhiasan akuarium. Ramai juga yang memburu spesies ini pulang hampa dek tamparan kumpau atau ikan tak buka mulut. Jom kita selidik lebih lanjut tentang sang raja air tawar ini.
Ikan kelah atau mahseer merupakan antara spesies bernilai tinggi dan sering menjadi buruan kaki pancing khususnya di negara kita. Selain mempunyai nilai tinggi dibuat hidangan makan, spesies daripada keluarga kap (cyprinnidae) ini juga menjadi ikan sukan yang sangat popular sehingga digelar ‘Raja Air Tawar’ di kalangan pemancing.
Dalam pengelasan taksonomi, perincian spesies agak sukar dibezakan kerana mempunyai sifat luaran yang hampir sama. Secara amnya, kelah dikelaskan dalam tiga genus iaitu Tor, Neolissochilus dan Naziritor. Gelaran mahseer biasanya merujuk kepada spesies dalam genus Tor. Di negara kita, spesies kelah merah telah dikenal pasti sebagai Tor tambra atau Malayan mahseer.
Mengimbau kembali ke belakang, spesies kelah pertama telah dihuraikan secara saintifik oleh Francis Buchanan- Hamilton sekitar 1822 iaitu Tor tor (Short-gilled mahseer). Hamilton juga merupakan penemu kepada spesies T. putitora (Golden mahseer, Himalayan mahseer). Pada 1833, majalah Oriental Sporting telah menyebut secara khusus bahawa mahseer sebagai ikan cabaran hebat dalam ikan sukan. Sejak itu, mahseer menjadi kegilaan bagi pemancing British di India.
TABURAN SPESIES
Taburan spesies ikan kelah boleh dijumpai di kawasan sungai yang berarus deras dan berjeram. Kawasan sebegini merangkumi Burma, Thailand, Malaysia, Kemboja, Laos dan Sumatera di Asia. Taburan ikan kelah juga merentasi Asia Tenggara sehingga ke beberapa bahagian di India.
Begitu pun, kebanyakan sistem sungai berjeram termasuk di negara kita semakin rosak lantas mengundang risiko yang semakin tinggi kepada habitat ikan kelah. Risiko kehilangan habitat secara langsung mengancam kemandirian spesies ikan kelah sehingga dikelaskan sebagai spesies terancam.
Antara penyebab utama terhadap kemungkinan kepupusan spesies ini termasuklah pencemaran sungai, pancingan tanpa kawalan dan juga aktiviti pembinaan yang sering dikaitkan dengan pembinaan empangan.
BIOLOGI DAN PEMBIAKAN
Ikan kelah secara tipikalnya mendiami dan berlegar di kawasan dasar yang berbatu dan berkayu sebagai tempat berlindung di kawasan hilir sungai. Terdapat juga yang memilih untuk berlindung di kawasan yang lebih luas dan dalam. Ketika musim mengawan, ikan kelah akan bermigrasi atau berhijrah dan berenang melawan arus ke hulu sungai. Di hulu sungai, ikan kelah akan memilih kawasan sungai-sungai yang lebih kecil untuk melepaskan telurnya.
Musim mengawan ikan kelah berlaku sekali secara puncak dalam setahun. Telur akan dilepaskan dalam kawasan air secara terbuka dan induk kelah tidak akan menjaga anak kelah atau juvenil yang menetas. Menurut kajian di Thailand, puncak musim mengawan ikan kelah berlaku sekitar bulan Julai setiap tahun.
Ketika musim mengawan, pada bahagian pipi di bawah mata ikan kelah akan kelihatan bintik-bintik halus atau turbecles. Bintik-bintik ini menandakan ikan sedang dalam proses mengawan.
MORFOLOGI
Badan ikan kelah mempunyai bentuk yang agak tirus dimana memberi kelebihan kepadanya ketika berenang melawan arus dan memanjat jeram. Warna badannya pula bervariasi daripada kuning keemasan sehingga ke warna kemerahan. Sisik di badannya mempunyai warna berkilau dan cantik. Kelah matang biasanya mempunyai sisik sehingga sebesar duit syiling 50 sen.
Sirip dorsal ikan kelah biasanya agak besar. Pada bahagian mulutnya, ikan kelah atau mahseer dari genus Tor mempunyai bibir median bawah yang lebih tebal. Bibir ini membezakannya daripada spesies tengas atau kejor (copper mahseer) dari genus Neolissochilus. Kelah jantan yang matang pula biasanya lebih kecil berbanding kelah betina yang matang.
DIET PEMAKANAN
Ikan kelah bersifat omnivor dan memburu ikan kecil serta serangga hutan sebagai diet makanannya. Selain itu, ikan kelah juga menjadikan buah-buahan hutan sebagai diet lainnya. Antara buah hutan yang popular menjadi diet kelah termasuklah buah neram, buah ara, buah kepala sawit, serangga kecil dan sebagainya.
JENIS KELAH DI MALAYSIA
Menurut kajian, terdapat beberapa spesies kelah daripada genus Tor di Malaysia iaitu Tor tambroides, T. tambra dan T. douronensis. Sementara itu, tengas dan kejor juga merupakan spesies daripada keluarga yang sama namun spesies tersebut datang daripada genus Neolissochilus.
Spesies T. tambra yang biasa dijumpai di semenanjung Malaysia juga digelar sebagai kelah merah manakala T. douronensis pula merupakan kelah biru. Gelaran tempatan kepada kelah merah dan kelah biru berdasarkan warna sisik pada badannya.
Di Sabah, ikan kelah juga digelar sebagai pelian (Tor douronensis) sementara empurau (Tor tambra) merupakan gelaran ikan kelah merah di Sarawak. Sementara semah di Sarawak adalah spesies Tor duoronensis.
Sering digelar Mexican Walking Fish, Mexican Salamander dan ‘Water Monsters’, Axolotl dikenali dengan abiliti untuk regenerasi atau keupayaan untuk sembuh kembali hampir kesemua anggota tubuhnya. Abiliti ini juga menyebabkan haiwan ini sering ditangkap untuk digunakan sebagai kajian.
Haiwan unik ini mempunyai insang luaran, tiada kelopak mata seperti ikan serta bentuk seakan salamander. Jarang sekali membesar lebih daripada 30 cm panjang, Axolotl merupakan salah satu haiwan unik namun diancam risiko kepupusan akibat pencemaran air dan menjadi mangsa spesies pendatang di Mexico.
Axolotl atau nama saintifiknya Ambystoma mexicanum sebenarnya merupakan amfibia dan merupakan salah satu spesies salamander yang tidak bermetamorfosis. Oleh sebab itu haiwan ini mempunyai insang kekal dan hidup di kawasan akuatik seperti berudu namun tidak bermetamorfosis ke peringkat seterusnya.
Walaupun tidak membesar dan Axolotl merupakan haiwan neotonik, di mana mereka mampu mencapai peringkat kematangan dari seksual. Pengkaji percaya ini merupakan mekanisma bagi Axolotl untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Hingga kini, risiko kepupusan Axolotl amat tinggi. Beberapa pihak mengambil langkah untuk mengelakkan Axolotl daripada pupus. Contohnya Aquaria Fun Park di Austria telah membuat akuarium khas untuk Axolotl yang diambil dari Mexico untuk tatapan dan kesedaran pengunjung.
Insang luaran, bentuk seakan salamander, hidup di dalam air dan abiliti untuk tumbuh semula organ badannya. Semuanya pasti cukup unik untuk menarik pengunjung melihat Axolotl ini, apatah lagi dengan rupanya yang seakan tersenyum!
226 tahun, itulah usia dan jangka hayat kehidupan bagi Hanako, yang juga merupakan spesies ikan koi yang hidup paling lama pernah direkodkan.
Hanako yang bermaksud “flower girl” merupakan seekor ikan koi betina yang cantik dengan sisik berwarna scarlet (merah dengan kilauan oren) dari Jepun.
Hanako mati pada 7 Julai 1977 setelah hidup dalam usia yang begitu panjang iaitu selama 226 tahun.
Spesies ikan koi ini dilahirkan pada tahun pertama Horeki, di tengah era shogun iaitu Tokugawa Era.
Pada 25 May 1966, Dr. Komer Koshihara yang merupakan pemilik si Hanako telah membuat hebahan media ke seluruh tanah Jepun menerusi stesen radio Nippon Hoso Kyokai berkenaan usia ikan koi yang cantik ini.
Ketika itu, usia Hanako ialah 225 tahun dengan berat 7.5 kg dan panjangnya 70 cm.
Dia juga menjelaskan Hanako merupakan ikan yang diwariskan dalam keluarganya sejak turun temurun.
Usia Hanako disahkan oleh Professor Masayoshi Hiro setelah membuat analisis garisan sisik Hanako di dalam makmal selama 2 bulan.
Biarpun ikan koi dikenali dengan usia yang panjang, namun untuk mencapai usia melebihi 2 abad ialah sesuatu yang menakjubkan.
Tak hairanlah spesies ini cukup dihormati oleh masyarakat Jepun. Apa yang menakjubkan selain cerita di atas ialah, usia Hanako lebih tua berbanding usia Amerika Syarikat, lahir 5 tahun sebelum genius muzik klasik iaitu Mozart lahir, hidup dalam zaman Napoleon, Elvis Presley dan The Beatles!
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...