Kenali Kluster Besar Ikan Dengkis

Share

 

Taksonomi

 

Kingdom: Animalia

Phylum: Chordata

Class: Actinopterygii

Family: Siganidae

Genus: Siganus

Species: S. guttatus

Binomial name: Siganus guttatus (Bloch, 1787)

 

 

Ikan dengkis disenaraikan dalam famili Siganidae iaitu keluarga ikan arnab atau rabbitfish. Terdapat 12 subspesies dengkis ditemui dan ikan dengkis bertompok oren adalah topik kali ini.

 

Hampir keseluruhan badannya berbintik oren cerah berlatar belakang warna asas badannya kelabu. Manakala dalam kamus memancing terdapat nama ikan dengkis lain yang mewakili famili ikan Acanthuridae (surgeonfish).

 

 

Hampir semua spesies dengkis mempunyai ciri warna berlainan dan cantik corak badan. Ia lebih popular di jadikan ikan hiasan berbanding jualan di pasar ikan. Nama saintifiknya ialah Siganus guttatus atau orange-spotted Spinefoot.

 

Ikan dengkis ini gemar mendiami kawasan muara dan pesisiran pantai. Struktur jeti, tiang jambatan, dermaga, celahan akar pokok bakau, dan kawasan karang adalah menjadi habitat utama ikan bersifat pemalu ini.

 

 

Ekornya melebar dan ada yang tirus memanjang. Gigi halus dan mulut kecil adalah ciri-ciri utama ikan ini. Bergerak dalam kumpulan kecil dari sepasang hingga sedozen. Semua dengkis memiliki sirip hampir penuh mengelilingi badan dan di antara sirip lembut terdapat duri tajam yang berbisa.

 

Walaupun ia tidak membawa maut namun bisanya boleh mengganggu keriangan kita masa memancing. Kata orang bisanya lebih sengal sedikit dari duri kitang atau ikan duri tapi tidak seteruk sengat ikan depu ataupun sembilang.

Saya dah ‘rasa’ sengat ikan duri dan kitang tetapi untuk ikan ini sama sekali tidak ingin mencubanya lagi.

 

 

S. guttatus mampu membesar sehingga 40cm. Saiz ini memang dianggap besar gila bagi ikan dengkis. Saya sendiri tidak pernah melihat spesimen melebihi skala 30cm. Untuk saiz purata yang biasa saya lihat dan pancing untuk semua spesies dengkis ialah saiz 17cm hingga 25 cm. Berat kurang dari 300 gram seekor kecuali yang melebihi 20 cm.

 

 

Profil ringkas

Nama Lain : Debam, Belais, Belaris, Kitang

Ciri Fizikal : Terdapat tanda kuning di pangkal ekor. Badan nipis melebar. Ekor separa bulat. Terdapat duri kecil di atas setiap sirip dorsal dan berbisa jika terkena sengatan

Diet: Hidupan dasar seperti cacing laut, moluska, krustasea dan anak ikan (kecil).

Habitat: Pesisiran pantai, teluk, dermaga dan kawasan akar bakau persisiran muara.

Taburan: Sri Lanka, Filipina, New Guinea, Utara Australia dan New Caledonea

Tempatan: Hampir keseluruhan semenanjung, Sabah dan Sarawak. Taburan di pantai timur lebih ketara berbanding di pantai barat Semenanjung.

 

IKLAN