Kenali Keluarga Gelama Tempatan!!

Share

 

Gelama mudah dikenali walaupun terdapat 15 jenis yang terdapat di perairan negara kita berpandukan kepada sisik yang terdapat pada badannya yang halus. Jenis yang dibezakan untuk spesies ini berpandukan kepada bentuk pada bahagian mulut, gigi serta badan.

 

Yang pasti sisik untuk setiap jenis gelama yang wujud hampir sama dan isinya lebih sedap dari spesies biasa seperti gelama papan, gelama dada kuning dan gelama bongkok.

Gelama berbadan gempal di bahagian kepala dan tirus memanjang hingga ke ekor seperti gelama tirus dan gelama panjang.

 

 

Gelama yang lebih gempal dan badan yang pendek seperti gelama cherua, gelama batu, gelama keling, gelama hitam dan gelama janggut.

Ada juga yang agak slim dari badan hingga ekor seperti gelama jarang gigi, san gaa atau lebih dikenali tiga gigi (dua atas dan satu bawah).

 

Satu lagi spesies yang dikatakan dari keluarga gelama yang biasa diternak melalui sangkar ialah senangin Taiwan (red drum).

Namun spesies ini dikatakan diimpot dari luar sebelum ada yang terlepas dari sangkar dan membiak di kawasan perairan negara kita terutama sekitar Selangor dan Singapura.

 

 

Ikan ini dikatakan adalah jenis hidupan marin tapi kebanyakan boleh ditemui di kawasan muara sungai. Hampir keseluruhan spesies gelama tertumpu kepada kawasan dasar berpasir, lumpur, berselut di bahagian dasar untuk mencari makanan.

 

Ia mudah diperolehi di kawasan muara dan jarang berada di kawasan batu karang. Gelama juga mudah diperoleh di sekitar tiang-tiang jeti, jambatan dan kelong.

Kemampuan sesetengah gelama menyesuaikan diri di air payau dan boleh memburu mangsa di air yang agak keruh.

 

 

Ini menunjukkan gelama tidak begitu memilih keadaan air kerana keadaan muara di negara kita yang sentiasa berubah kejernihan air. Gelama boleh dijumpai samada di air dalam mahupun cetek.

 

Gelama yang paling besar dalam keluarganya dikenali sebagai ibu gelama yang boleh mencecah hingga 120cm.

Ibu gelama banyak terdapat di Laut China Selatan terutama di Serawak dan gemar kepada kawasan dasar berlumpur / pasir yang mempunyai kedalaman air sekitar 60 meter. Ikan ini biasanya dikeringkan di kebanyakan tempat di Sabah untuk pasaran.

 

Gelama secara keseluruhan adalah spesies yang berkelompok dan bergerak secara berkumpulan yang banyak terutama spesies yang kecil saiznya.

 

 

 

 

IKLAN