
Ikatan penyu atau TURTLE KNOT ini merupakan salah satu ikatan yang mudah tetapi agak kukuh juga. Namun ia lebih sesuai digunakan untuk mengikat mata kail dengan menggunakan tali sulam atau kevlar berbanding perambut mono apatah lagi fluorucarbon.
Step 1
Masukkan tali perambut melalui cincin mata kail dari arah hadapan. Masukkan tali dengan kepanjangan yang selesa untuk dibuat ikatan.
Step 2
Buatkan satu lingkaran biasa di atas tali perambut.
Step 3
Kemudian masukkan hujung tali perambut ke dalam lingkaran yang dihasilkan tadi dari bahagian bawah.
Step 4
Buatkan satu lagi lingkaran dan kemudian masukkan hujung perambut ke dalam lingkaran pertama tadi.
Step 5
Tarik hujung perambut perlahan-lahan sehingga satu simpulan terbentuk pada bahagian tali yang bersilang. Ketatkan simpulan tersebut.
Step 6
Masukkan lingkaran atau bulatan tali yang terhasil tersebut kepada mata kail melalui bahagian matanya.
Step 7
Tarik tali perambut utama sehingga ikatan kemas pada mata kail. Potong lebihan hujung tali perambut.
Soal Jawab Memancing – Ada Berapa Teknik Nak Pancing MJ??

Lazimnya siakap merah atau mangrove jack (MJ) mendiami estuari sebelum bermigrasi ke laut lepas setelah mencapai usia matang. Namun peluang untuk memperoleh siakap merah dewasa juga ada apabila ia kembali ke muara untuk bertelur.
Walaupun juvenil, tentangan yang diberikan oleh siakap merah jauh lebih mendebarkan berbanding spesies penghuni muara lain. Justeru ia menjadi buruan utama di muara khususnya bagi penggemar teknik mengilat gewang atau lure casting.
Melalui kaedah pancingan dasar, siakap merah boleh dipancing dengan menggunakan umpan hidup ataupun mati. Umpan hidup yang paling sesuai adalah udang hidup atau ikan-ikan yang menjadi diet siakap merah di habitatnya.
Sementara umpan mati bolehlah juga menggunakan udang segar ataupun potongan ikan segar seperti belanak, tamban atau hirisan selayang. Teknik mengilat menggunakan gewang atau umpan tiruan (casting) merupakan kaedah pancingan paling popular dan digemari pemancing. Secara kasarnya kebanyakan gewang yang dipersembahkan kepada siakap merah dengan betul pasti akan dibahamnya.
Pilih gewang yang bersaiz lebih kecil daripada sasaran atau pun saiz diet ikan itu. Selain gewang, soft plastic boleh digunakan sebagai alternatif untuk gewang. Penggunaan umpan tiruan lebih berkesan jika dimainkan di kawasan berstruktur yang berpotensi.
Selain mengilat, gewang tiruan juga boleh digunakan menerusi teknik menunda atau trolling. Kaedah trolling dapat merentasi kawasan yang lebih luas berbanding mengilat dan gewang yang melalui betul-betul di atas struktur badan air ketika trolling paling berpotensi untuk menaikkan siakap merah.
Sementara teknik mengunjun jig atau jigging pula merupakan kaedah terbaharu dalam disiplin pancingan siakap merah. Teknik micro jigging (menggunakan jig mikro 5 gm hingga 20 gm) ini dikatakan paling berkesan untuk memperdaya siakap merah.
Berbanding teknik mengilat, gaya persembahannya sedikit berbeza begitu juga dengan spot untuk menggayakannya. Teknik micro jigging ini dilakukan secara unjunan menegak dan perlu dilakukan berhampiran spot berpotensi atau di alur aliran sungai.
Rahsia Memancing Ikan Limbat

Kalau nak pancing keli limbat ni kena hati kering sikit. Sebabnya, untuk memancing spesies ini dalam kuantiti yang banyak, kenalah memancing pada waktu malam. Paling berkesan pada waktu malam bulan gelap.
Cara memancingnya lebih seronok jika menggunakan teknik dulu-dulu. Tak perlu guna joran dan kekili. Cari pelepah sawit muda yang agak lembut sikit (batang buluh kecil atau joran teleskopik pun boleh). Panjang 1 depa setengah atau ikut kesesuaiaan korang.
Panjang tangsi dalam sedepa (jangan terlebih panjang melebihi joran). Kemudian guna batu ladung kepit dan kepit lebih kurang sejengkal dari mata kail. Sebenarnya tali pancing tu jangan panjang sangat. Kalau orang dewasa lebih kurang setengah depa je.
Tapi saya lebih suka tali pendek sebab bila ikan bawak lari umpan tak terasa ikan tu merempit… macam tak mencabar. Selalunya kalau tali panjang bila ikan tu merempit dia akan masuk kat mana-mana celah kayu atau pelepah sawit dalam air. Kat situlah cabarannya dan kenalah pandai control. Umpan biasanya guna cacing tanah je.
Lubuk paling mudah untuk cari limbat ialah parit-parit tanah gambut yang biasanya terdapat di kawasan estet atau ladang kelapa sawit. Jika memancing bersama rakan, sebaiknya jarak antara pemancing sekurang-kurangnya 20-30 kaki. Part inilah kena hati kering sikit sebab waktu malam. Kalau takut duduk jauh-jauh, rapat-rapat pun boleh tapi kuranglah hasilnya.
Masukkan mata kail dalam air kemudian kocak air parit dengan hujung joran. Kocak dalam 5 saat kemudian berhenti 3 saat, kemudian kocak dan begitulah seterusnya sehingga umpan kena ngap. Kalau malas kocak, korang henjut sikit-sikit hujung joran bagi umpan turun naik.
Cara kocak joran pun ada caranya juga. Celupkan hujung joran tu lebih kurang setengah jengkal dalam air, dan jangan kocak air tu kuat sangat. Sedang-sedang je. Kalau nak kocak kuat-kuat pun boleh tapi cepat letihlah
Hasilnya kalau tempat tu banyak limbat memang ralit dibuatnya. Hilang semua rasa seram sejuk. Kena elok saiz yang bagak-bagak pun boleh keluar. Biasanya kalau dapat saiz yang 2-3 jari ke atas tu saya akan lepas balik sebab dah tua… dah tak sedap rasanya.
Kalau memancing di dalam sawah padi, tali air atau parit yang ada titi berkolong, cuba pancing depan muka kolong tu time malam. Biasanya pasti ada cuma banyak tak banyak je.
Kalau malas atau takut nak pancing waktu malam gelap tapi teringin nak makan keli limbat ni, buat tajur dan pasang banyak-banyak. Tinggal dan pergi tengok selepas subuh. Kalau dah rezeki tu tak ke mana…. itupun kalau tak kena makan dgn kengkawan dia. Selalunya seekor dua mesti tinggal kepala je.
IKON: Lady Angler – Rekod haruan tasik Baby 25kg

Nama penuh: Mahanom binti Dollah
Nama panggilan: Baby
UMPAN: Boleh ceritakan bagaimana boleh terlibat dengan dunia hanyir ini dan sejak bila memancing?
BABY: Minat memancing ni sudah lama tetapi sekadar minat sajalah. Memancing pun sekadar suka-suka je.
Saya mula aktif sejak menyertai Kelab Pemancing Wanita Malaysia (WAC) kira-kira 5 tahun dahulu. Iaitu ketika Mala (pengasas kelab & penaung) tubuhkan kelab ini lagi.
UMPAN: Kenapa anda memilih hobi ini berbanding hobi yang lain?
BABY: Kerana memancing ni unik berbanding hobi yang lain. Banyak perkara yang boleh dipelajari melalui memancing bukan sekadar belajar teknik dan skill sahaja.
Ia satu cabaran juga bagi kaum Hawa kerana hobi ini banyak didominasi oleh kaum Adam. Jadi saya ingin cabar diri untuk mempelajari sesuatu yang baru yang bagi saya agak mencabar.
UMPAN: Apa cabaran dan harapan anda dalam meneruskan hobi ini?
BABY: Cabaran yang paling ketara apabila pergi memancing di mana-mana padang pancing, kaum Hawa dipandang rendah oleh segelintir kaum Adam. Malah ada juga disertai dengan ayat-ayat sinis dan sindiran.
Harapan saya agar kaum Hawa diberi ruang untuk menikmati dan mempelajari hobi ini sama seperti kaum Adam. Apa salah kita berkongsi hobi ini dengan aman dan harmoni.
UMPAN: Boleh kongsi pengalaman memancing yang manis dan pahit?
BABY: Saya rasa semua pemancing bersetuju dengan saya bahawa pengalaman manis ketika memancing tentulah bila strike ikan yang berbeza-beza.
Pengalaman pahit pula bila langsung tak strike ikan ketika rakan-rakan strike ikan yang berbeza-beza.
UMPAN: Apa pencapaian membanggakan yang telah anda peroleh?
BABY: Berjaya menaikkan ikan haruan tasek seberat 25kg di Kuala Rompin pada tahun lalu.
Ia merupakan rekod peribadi yang lebih manis berbanding berjaya menewaskan ikan layaran yang jauh lebih berat.