Di Malaysia, ikan ini lebih dikenali sebagai ruby snapper sahaja tanpa nama gelaran tempatan yang kukuh sehingga digunapakai secara meluas.
Ada juga di beberapa tempat menggelarnya dengan panggilan tertentu namun ia hanya diguna pakai di lokasi tersebut sahaja.
Sebaliknya nama umum Inggerisnya begitu banyak seperti deepwater red snapper, deepwater snapper, jobfish, queen snapper, red snapper, ruby-colored snapper fish, snapper atau squirrelfish snapper.
Sementara nama saintifiknya pula ialah Etelis carbunculus.
Ikan ruby snapper adalah salah satu ikan hidangan paling berharga di negara ini! Tekstur daging putih lembap dan lembut menjadikan ikan ruby bukan hanya salah satu ikan yang paling lazat di lautan kita tetapi juga salah satu yang paling berharga.
Ikan ruby snapper pada awalnya dikenali melalui hasil penangkapan ikan komersil menjadikannya banyak tersedia untuk umum.
Ads
Ketika itu kebanyakan pemancing rekreasi tidak biasa dengan spesies ini kerana habitat airnya yang dalam.
Walau bagaimana pun ia tidak kekal sedemikian berikut bantuan moden kekili elektrik!
Spesies marin benthopelagic ini hanya boleh ditemui pada kedalaman 90 – 400 m atau pada kebiasaannya 200 – 350 meter.
Taburannya meliputi Indo-Pasifik, Afrika Timur ke Kepulauan Hawaii, utara ke selatan Jepun, selatan ke Australia. Dirakam di Three Kings Island, New Zealand.
Spesies Etelis carbunculus dikatakan mencapai usia matang apabila mencecah 61 cm. Ia mampu mencapai panjang maksimum sehingga 127 cm dan tempoh usia sehingga 32 tahun.
Ads
Ikan yang memiliki warna merah ruby ini tentu saja boleh dikenali melalui warna merah tersebut. Manakala bahagian di bawah perut adalah putih.
Ikan ruby dewasa mendiami dasar berbatu. Diet utamanya terdiri daripada ikan, invertebrata yang lebih besar seperti krustasea, sotong dan ketam.
Ia juga mengambil organisma planktonik, termasuk urochordates pelagic.
Ads
Taksonomi
Kingdom: Animalia
Phylum: Chordata
Class : Actinopterygii
Order : Perciformes
Family : Lutjanidae
Genus : Etelis
Species : Etelis carbunculus
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Pada hari hujung minggu awal bulan yang lalu, satu komplot untuk mencari tenggiri telah dilaksanakan dengan jayanya.
Komplot diuruskan oleh kenalan saya di Pekan, Pahang yang mana segala urusan sewaan bot, makan dan minum dan termasuk makan malam diuruskan oleh dia.
Bagi saya, hobi memancing ini untuk mendapatkan hasil buruan adalah perkara kedua. Perkara pertama ialah apabila berjaya pergi keluar memancing.
Ini kerana perlu membahagikan masa antara kerja, hobi dan kawan-kawan menjadikan satu cabaran untuk memenuhi komplot memancing itu.
Walaupun jeti kami di Cenderawasih, Kuantan kami perlu tiba di Kuantan dari Kuala Lumpur seawal jam 5 pagi bagi memenuhi selera makan ikan tenggiri yang makan pada awal pagi.
Ini juga bagi menampung waktu masa yang diperlukan untuk sampai ke lokasi unjam yang berada di Kemaman, Terengganu mengambil masa lebih kurang 2 jam.
Sesuatu yang sangat mengujakan kerana jarang sekali kami perlu berlepas dari jeti seawal 5 pagi.
Bot sewaan kami berlepas tepat jam 5.30 pagi. Saya dan rakan-rakan mengambil kesempatan untuk tidur bagi memberi tenaga sewaktu tiba di lokasi unjam.
Saya diberi kelebihan untuk tidur atas `tilam’ di bot memandangkan saya memandu di sepanjang perjalanan.
Ikan tenggiri yang terdiri dalam keluarga Scomberomorus disukai oleh rata-rata pemancing di Malaysia kerana kekuatannya mencuri tali keluar dari kekili hingga menyebabkan kekili berdesing. Deringan inilah yang amat dirindui oleh rata-rata pemancing.
Saya sebelum ini didedahkan dengan teknik pancingan berhanyut menggunakan ikan tamban bagi memikat sang tenggiri.
Lain pula pada kali ini teknik yang digunakan kali ini 100 peratus menggunakan gewang besi yang digelar speed jig.
Tiba di lokasi unjam kami bersemangat tinggi melempar gewang dan menggunakan teknik karau laju bagi meniru aksi anak ikan yang berenang bebas.
Tekong menghanyutkan bot berdekatan kawasan unjam bagi memikat tenggiri.
Boleh dilihat, kumpulan ikan tongkol meloncat-loncat kegembiraan di tepi bot kami tapi memandang ia bukan ikan sasaran kami hanya melihat dengan tenang tetapi geram.
Hampir lenguh tangan kami mengarau laju jig tetapi tenggiri tidak berjaya dipikat. Tekong memberitahu kami yang karauan kami tidak cukup laju.
Sampai bergegar-gegar bahu kami barulah tekong luluskan tahap kelajuan itu.
Tidak memerlukan masa yang lama seekor tenggiri bersaiz lengan budak umur 1 tahun berjaya dipikat oleh ahli komplot.
Selang beberapa minit seeokor lagi tenggiri juga bersaiz lengan budak menyambar jig. Tiada pertarungan hebat berlaku kerana tenggiri agak kecil.
Seekor haruan tasik juga menyambar jig ahli komplot lain yang memberikan tarungan yang agak mendebarkan.
Agak tertekan melihat ahli komplot dah dapat melayan ikan saya mengambil keputusan untuk tidur. Tidak dinafikan teknik karau laju gewang ini memenatkan saya.
Saya dikejutkan dengan jeritan ‘dorado! Dorado!’. Rupa-rupanya satu pertarungan antara tekong dan seekor ikan dorado yang bersaiz kasar.
Saya teruja kerana ituada lah antara ikan ikan idaman saya yang juga menjadi buruan. Tanpa berlengah-lengah lagi saya melempar jig dan mengarau selaju mungkin bagi memikatnya.
Tidak semena-mena satu henjutan dirasakan. Tanpa membuang masa saya menyentak joran bagi mengemas kedudukan mata kail pada mulut ikan.
Kedengaran bunyi kekili berdesing yang mengubat rindu. Tekong menjerit `tenggiri tu!’.
Saya memastikan sewaktu ikan berenang patah balik ke bot tali sentiasa tegang bagi mengelakkan dipotong oleh gigimya yang tajam seumpama pisau.
Selepas beberapa minit ikan keletihan dan tekong berjaya membantunya naik ke atas bot.
Kami bersyukur kerana perairan di Kemaman banyak mempunyai unjam yang masih banyak menyimpan berbagai bagai jenis spesies.
Walaupun hujan lebat kami masih memburu ikan target kami bagi mengumpul sebanyak mungkin ikan sasaran kami.
Sepanjang waktu memancing hampir tidak dapat dihitung berapa ketul jig kami dicukai atau sangkut pada unjam.
Demi hobi dan keseronokan apalah sangat nak dibandingkan dengan perkara itu, bukan? Kami hadap situasi itu dengan sempurna bagi mengelak kemurungan.
Selepas bot berlabuh di jeti dan menurunkan barang kami membahagikan ikan sama rata. Dan saya bersiap untuk keseronokan seterusnya iaitu acara makan.
Perkara wajib selepas memancing ialah makan beramai-ramai ikan segar terus dari lautan.
Restoran Cina yang diyakini halal menjadi pilihan kami untuk memasak hidangan menjamu selera.
Jelas terpancar kepuasan di mata setiap ahli sungguh pun tangan kami dah terasa besar sebelah akibat teknik karau laju.
Selesai makan kami berangkat pulang ke Kuala Lumpur. Satu rekod bersejarah kerana sepanjang memancing saya tidak pernah terlalu penat begini.
Bayangkan dari Kuantan untuk ke Kuala Lumpur mengambil masa 4 jam akibat sering berhenti dan tidur bagi mengelakkan kecelakaan jalan raya.
Sampai di hadapan rumah saya pun kami sambung tidur dalam kereta sampai Subuh. Nak angkat jari pun dah tak larat.
Jika di sebelah utara tanah air, nama Pak Ngah memang dikenali ramai oleh kaki pancing di sana.
Kaki pancing terutama kaki mengilat mengenali Pak Ngah kerana pengalaman dan keupayaan Pak Ngah dalam menghasilkan bullet fly buatan tangan yang memang terbukti prestasinya.
Pak Ngah meminati sukan memancing sejak sekian lama. Malah, Pak Ngah juga sering terlibat dengan banyak aktiviti berkaitan sukan memancing di sekitar Kedah dan Pulau Pinang, lebih-lebih lagi aktiviti yang menjurus kepada pendidikan untuk komuniti pancing.
Pengalaman memancing
Menurut Pak Ngah, pengalaman memancingnya bermula sejak sekian lama. Jadi tidak hairanlah, dunia memancing ini sudah menjadi sebahagian daripada hidup Pak Ngah sendiri.
Berkongsi kisah pengalaman memancingnya, Pak Ngah memberitahu bahawa dia mula mengenal pancing dan kail sejak usia 12 tahun. Waktu itu, aktiviti memancing Pak Ngah lebih ke arah pancingan laut.
Sekitar tahun 2001, Pak Ngah mula meminati pancingan ultralight. Waktu itu, Pak Ngah telah berjinak-jinak dengan pancingan ikan tarpon atau bulan.
Pancingan ultralight Pak Ngah bermula apabila dia pulang dan menetap di Kedah setelah beberapa tahun merantau.
Ketika menceburi pancingan ultralight, Pak Ngah merasakan kepuasan yang tersendiri.
Dengan rod dan tali yang mempunyai poundage yang rendah, perlawanan dengan ikan terutama spesies tarpon cukup menghiburkan.
Sejak itu juga, Pak Ngah mula berjinak dengan umpan tiruan dan mula menghasilkan umpan bulu atau bullet fly sehingga sekarang.
Cetusan idea bullet fly
Pak Ngah turut berkongsi cerita bagaimana permulaan ketika dia menghasilkan umpan bulu atau bullet fly secara buatan tangan yang kekal mendapat sambutan hingga hari ini.
Permulaan Pak Ngah menjadi seorang crafter bullet fly banyak mendapat dorongan daripada teman karibnya iaitu arwah Cikgu Fadzil.
Arwah Cikgu Fadzil banyak merupakan orang yang bertanggungjawab mengajar dan memperkenalkan pembuatan bullet fly kepada Pak Ngah.
Dari situ, Pak Ngah mula belajar cara pembuatan dan material bagi menghasilkan bullet fly yang berkualiti.
Jenis bulu dan cara ikatan banyak mempengaruhi bullet fly yang dihasilkan.
Selang beberapa ketika, Pak Ngah mula cuba untuk meningkatkan kualiti bullet fly buatannya baik dari segi material, persembahan dan prestasi.
Hingga kini, material utama penghasilan umpan bulu ini ialah bulu ayam jantan kampung.
Sejak dari awal, Pak Ngah menghasilkan umpan bulu secara kecil-kecilan sahaja sama ada untuk kegunaan diri sendiri dan beberapa orang teman rapat yang sering keluar memancing bersama.
Lama-kelamaan permintaan daripada rakan-rakan Pak Ngah semakin meningkat kerana keupayaan bullet fly buatan Pak Ngah betul-betul ‘mencakup’.
Akhirnya, Pak Ngah mula menghasilkan umpan ini dengan skala yang lebih besar bagi memenuhi permintaan daripada kaki pancing.
Hari ini, bullet fly hasil kerja tangan Pak Ngah mendapat permintaan daripada kaki pancing di seluruh Malaysia.
Harapan dalam sukan memancing
Sebelum mengakhiri perbualan, penulis sempat bertanya apakah harapan Pak Ngah bagi pemancing dan industri memancing itu sendiri.
Secara peribadi, Pak Ngah mengatakan bahawa dia mengharapkan akan berdiri lebih ramai lagi kaki pancing yang berilmu baik dari segi kaedah pancingan dan juga dari segi penjagaan alam sekitar dan sumber.
Bagi Pak Ngah, dia melihat pemancing ini sebagai duta alam sekitar. Dari situ, penjagaan sumber alam sekitar menjadi tanggungjawab pemancing kerana bagi Pak Ngah, pemancing merupakan antara individu dan komuniti yang paling rapat dengan alam sekitar.
Oleh itu, pemancing diharapkan sentiasa berhemah dan beretika, tidak mengotorkan alam sekitar ketika memancing lantas menjadi model ikutan kepada masyarakat sekeliling.
Pak Ngah juga berkongsi pandangannya berkaitan ultralight di mana dia melihat pancingan ultralight merupakan teknik pancingan yang semakin popular.
Sehubungan dengan itu, peningkatan pemancing ultralight biarlah sejajar dengan kredibiliti dan ilmu bagi seorang kaki pancing untuk sama-sama menjadi contoh yang baik kepada pemancing baru dalam penjagaan alam sekitar.
Ikan jemuduk atau nama umumnya bludger, juga dikenali sebagai bludger trevally, nakedbreast trevally dan Bleeker’s jackfish adalah spesies ikan laut bersaiz besar yang meluas di dalam keluarga jack, Carangidae.
Jemuduk atau bludger diklasifikasikan dalam genus Carangoides, sekumpulan ikan yang lazimnya dikenali sebagai jack dan trevallies dan membawa nama binomial Carangoides gymnostethus.
Taburan jemuduk agak luas merangkumi seluruh kawasan tropika ke subtropika di Lautan Hindi dan barat LautanPasifik, Afrika Selatan di barat, sepanjang Afrika timur dan utara ke Laut Merah.
Pengedarannya di Lautan Hindi meluas ke timur ke India, Asia Tenggara, Indonesia, Malaysia dan sejauh selatan Australia utara.
Bludger trevally merupakan spesies ikan bersaiz besar yang mampu membesar panjang melebihi 90 cm dan mencapai berat maksimum yang direkodkan seberat 14.50 kilogram.
Ia mempunyai bentuk badan yang sangat mirip dengan yellowspotted trevally, hanya lebih panjang dan lebih berbentuk silinder berbanding kebanyakan spesies dalam genus Carangoides.
Spesies dalam keluarga trevally seperti gerong belang dan cupak ini mendiami perairan tropika dari pantai dan terumbu karang berbatu, di mana mereka memakan ketam kecil, udang dan ikan.
Ketika juvenil, jemuduk memiliki garis besar bujur yang berubah mengikut perubahan usia.
Ia memiliki warna badan perak kehijauan secara keseluruhan sebagai ketika juvenil dan apabila dewasa memiliki warna kehijauan di bahagian atas dan lebih keperakan di bahagian bawah badan.
Pada semua peringkat kehidupannya, ikan ini mempunyai beberapa bintik coklat atau keemasan di garisan lateral badan, tetapi jauh lebih sedikit berbanding yellowspotted trevally atau jemuduk bintik. Sirip dorsal, sirip anal dan kaudal adalah hijau buah zaitun.
Jemuduk memiliki profil kepala cembung dan berkurang dengan curam bergantung kepada usia.
Sirip dorsal berada di dua bahagian yang berbeza, yang pertama terdiri daripada lapan duri manakala yang kedua terdiri daripada satu duri dan 28 hingga 32 sirip filamen lembut.
Sirip analnya mempunyai dua unit duri yang terpisah secara berurutan diikuti oleh tulang belakang yang disertai 24 hingga 26 filamen lembut dan sirip pelvik mempunyai satu tulang belakang dan 18 hingga 20 filamen lembut.
Secara umumnya ikan jemuduk dianggap sebagai antara ikan sukan yang baik dan menghiburkan kerana mampu memberikan tentangan yang bagus ketika dipancing.
Namun ia bukanlah ikan meja makan terbaik kerana memiliki daging yang agak berminyak dan lembik. Sebaliknya dagingnya itu amat sesuai untuk dijadikan umpan bagi memancing spesies ikan lainnya.
Bludger Trevally ini ketika juvenil sering mencari makanan secara berkumpulan namun apabila semakin dewasa ia lebih sering ditemui secara bersendirian.
Biarpun jemuduk mampu membesar sehingga 14.50 kilogram namun spesimen yang lazim ditemui, khususnya yang dipancing sekitar tiga hingga enam kilogram sahaja.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...