Ikan siakap atau barramundi merupakan spesies ikan yang cukup terkenal di kalangan kaki pancing termasuk di Malaysia.

Siakap atau kakap putih mempunyai kekuatan yang mampu melenturkan rod menjadi bentuk U saat melarikan kail di hujung tali pancing.

 

Lates calcarifer merupakan nama saintifik atau nama Latin bagi spesies ini. Selain di Malaysia dan kawasan Asia Tenggara, ikan siakap juga sangat terkenal di Australia.

Malahan perkataan barramundi merupakan kata pinjaman dari sejenis bahasa di kawasan Queensland yang bermaksud ‘ikan sungai sisik besar’.

Barramundi juga sebenarnya merujuk kepada ikan saratoga dalam bahasanya.

 

Barramundi menjadi semakin terkenal sejak 1980-an. Selain daripada ikan sukan, ikan ini juga mula dikenali sebagai ikan yang mendapat permintaan tinggi di pasaran.

Sejak itu, profil spesies L. calcarifer ini semakin meningkat naik sehingga ke hari ini.

 

TABURAN SPESIES

 

Spesies ini merupakan ikan catadromous dalam keluarga Latidae. Taburan spesies ini agak meluas terutamanya di kawasan perairan Indo-West Pacific.

Taburan ikan siakap boleh ditemui di pinggir timur Teluk Gulf sehingga ke China, Taiwan, selatan Jepun, selatan Papua New Guinea dan selatan Australia.

 

 

Selain itu, kawasan perairan Asia Tenggara juga merupakan kawasan taburan spesies ini.

Di Malaysia, tidak sukar untuk menemui spesies ini kerana Malaysia dikelilingi oleh perairan yang panjang.

Tidak hairanlah, kaki pancing di Malaysia cukup sinonim dengan spesies ikan ini. Antara

kawasan yang sering menjadi tumpuan peminat siakap tertumpu pada bahagian muara dan tempat pertemuan laut dan sungai.

 

IKLAN

HABITAT DAN SIFAT SIAKAP

 

Ikan siakap merupakan spesies ikan yang mempunyai toleransi salitini yang sangat tinggi. Toleransi saliniti ini membawa maksud kepada daya toleran spesies ini terhadap sifat saliniti air atau kemasinan air.

Jadi, ikan siakap mampu hidup dalam keadaan air masin atau air tawar. Toleransi saliniti yang tinggi memberikan kelebihan kepada spesies siakap dalam memilih habitatnya.

 

Habitat ikan siakap biasanya tertumpu kepada kawasan muara sungai. Oleh kerana siakap mempunyai daya toleransi saliniti yang tinggi, maka spesies ini boleh ditemui dalam keadaan air masin, air tawar dan air payau.

Selain itu, kawasan berstruktur besar seperti batu dan kayu besar juga menjadi habitat pilihan bagi siakap.

Hari ini, beberapa buah tasik dan empangan di Malaysia, telah pun didiami siakap. Antara yang paling popular ialah siakap air tawar di Tasik Kenyir.

Kemunculan siakap dalam tasik atau empangan merupakan hasil daripada pelepasan oleh manusia dan menjadi kegilaan kepada kaki pancing.

Selain di Tasik Kenyir, siakap bersaiz mega juga kini telah didapati di Tasik Beris dan Empangan Muda di Kedah.

 

MORFOLOGI DAN BIOLOGI

 

Ikan siakap mempunyai bentuk badan yang memanjang dengan mulut condong yang besar. Bahagian rahang atas spesies ini memanjang sehingga ke bahagian belakang mata.

Bahagian pipi atau operkulumnya mempunyai duri kecil yang mampu melukakan. Sementara itu, sisiknya pula dalam kategori ctenoid. Kepalanya pula melengkung ke bawah.

IKLAN

 

Selain itu, ikan siakap mempunyai sisik yang agak besar. Sisik pada badannya berwarna perak di mana mungkin boleh menjadi semakin cerah atau semakin gelap mengikut keadaan persekitaran habitatnya.

 

Barramundi merupakan spesies ikan demersal yang biasanya tertumpu di kawasan muara, lagun dan sungai.

Spesies ini boleh hidup dalam keadaan air yang jernih sehingga kepada keruh dalam lingkungan suhu air 26°C-30°C. Siakap juga merupakan spesies ikan catadromous iaitu bersifat migrasi dari kawasan air tawar ke air masin untuk melepaskan telurnya.

 

 

DIET DAN KITARAN HIDUP

 

Barramundi atau siakap menjadikan moluska, krustasia dan ikan kecil termasuk spesiesnya sendiri sebagai diet makanannya.

Jadi ikan siakap boleh dikategorikan sebagai pemangsa yang bersifat karnivor.

 

Ketika bermula musim monsun, siakap jantan akan masuk ke muara untuk mencari pasangannya untuk pembiakan.

Ketika ini ikan siakap betina mampu menghasilkan sehingga beberapa juta telur untuk dilepaskan.

IKLAN

 

Siakap juga merupakan spesies ikan yang bersifat hermaphroditic di mana mampu untuk bertukar jantina ketika musim mengawan.

Kebanyakan spesimen siakap dewasa yang ditemui merupakan spesimen betina. Selepas melepaskan telurnya, induk siakap tidak akan menjaga telur atau anak yang akan menetas.

 

Taksonomi

 

Kingdom : Animalia

Filum : Chordata

Kelas : Actinopterygii

Order : Perciformes

Famili : Latidae

Genus : Lates

Spesies : L. calcarifer (Bloch, 1790)

Common name : Asia seabass, barra, barramundi, siakap, kakap putih

 

 

baca juga Petua & Pantang Larang Otai Siakap

 

Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!

Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan

Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI