Di Malaysia, spesies ini dinamakan ikan ketuka, pari ketuka atau tuka. Ketuka merupakan spesies terkecil dalam keluarga pari dan berikutan saiznya itu ia seringkali disalah anggap sebagai pari kecil atau pari juvana.
Taburan ketuka boleh ditemui di Lautan Hindi dan Pasifik, dari India ke Kepulauan Melayu barat dan selatan Jepun.
Spesies ini paling biasa dijumpai di kawasan berpasir lebih kurang dari 100meter serta di muara sungai.
Saiz maksimum (lebar dari sirip ke sirip) sehingga 29cm sahaja di mana sirip pektoralnya berbentuk seperti berlian atau cakera. Mempunyai bahagian kepala yang menirus panjang, mata kecil, dan ekor seperti cambuk dengan lipatan dorsal dan sirip ventral.
Ads
Badannya berwarna kecoklatan pada bahagian atas dan putih di bahagian bawah.
Diet pemakanan utama ikan ketuka terdiri terutamanya daripada krustasea kecil dan ikan. Ia juga merupakan spesies demersal atau mencari makanan di lantai laut.
Ia membiak secara viviparous aplacental dengan spesies betinanya melahirkan 1-3 ekor anak.
Ads
Perkara ini dapat dilihat apabila pemancing mendaratkan ketuka betina yang sedang sarat mengandung dan bertindak melahirkan anak dalam usaha terakhir menyelamatkan anak-anaknya.
Sebagai pemancing yang beretika, sebaiknya kita melepaskan kembali ketuka dan anak-anaknya ke habitat asalnya.
Dari aspek pancingan sukan, ikan ketuka tidak disenaraikan sebagai ikan sasaran utama dan sering didaratkan tanpa disengajakan.
Walaubagaimana pun ikan ketuka jarang dilepaskan kembali, tidak sebagaimana ikan duri atau belukang kerana faktor kelazatan isinya.
Ads
Sebagaimana ikan pari yang lain, pengendalian ikan ketuka perlulah dilakukan dengan berhati-hati kerana ia memiliki sengat berduri yang bukan saja lebih halus dan tajam, bahkan bisa sengatnya juga dikatakan lebih kuat berbanding keluarga pari yang lain.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Perbezaan luaran yang ketara antara sebarau berbanding ikan-ikan lain dari keluarga Cyprinidae (ikan kap) adalah wujudnya satu jalur hitam menurun dari dasar anterior sirip dorsal ke sirip ventral.
Secara saintifik ikan sebarau dikenali dengan nama Hampala sp. Di sarawak ikan ini lebih dikenali dengan nama adong dan barau-barau. Rasanya yang sedap dengan kandungan protein yang tinggi membolehkan ikan ini laris di pasaran dan dijual dengan harga yang agak mahal.
Sebarau besar yang melebihi saiz 25cm panjang lebih digemari kerana mempunyai tulang yang kurang berbanding ikan kecil.
Di kalangan pemancing, kehebatannya bersaing dan kerakusan apabila menyambar umpan lebih memberikan kepuasan. Sifat agresifnya iu membolehkan ia diklasifikasikan sebagai ikan yang sangat garang setanding dengan toman walaupun saiznya lebih kecil.
Umumnya ikan sebarau suka mendiami sungai-sungai jernih dengan air yang mengalir serta dasar berpasir dan sedikit berlumpur. Melalui taburannya ini bagai pegawai sungai kerana ia boleh ditemui di semua zon sungai, dari kawasan pertemuan antara air tawar dan air masin hingga ke zon paling hulu.
Namun melalui kajian, taburan sebarau berbeza mengikut saiznya. Anak-anak ikan bersaiz kurang dari 10 cm biasanya lebih menggemari sungai cetek yang berbatu dengan aliran air deras. Apabila ia mencapai saiz antara 11 hingga 20 cm, ia mula berpindah ke habitat yang lebih luas, berair jernih dan mengalir dengan perlahan.
Kawasan yang bertakung dengan kedalaman melebihi 3 meter, berdinding dan berdasarkan batu dan sedikit lumpur dengan aliran air yang perlahan pula menjadi pilihan sebarau melebihi 21cm.
Kawasan kediaman ikan-ikan dewasa yang bersaiz besar ini lazimnya dikenali sebagai lubuk (deep pool).
Kebanyakan sebarau dewasa mendiami lubuk-lubuk di hulu sungai yang terdapat ranting pokok tenggelam sepanjang hari. Keadaan ini turut memberi cabaran kepada para pemancing kerana cabaran perburuan sebarau bermula dari masa mencari kawasan pemancingan strategik lagi.
Untuk mencari lubuk sebarau, pemancing mungkin perlu berjalan beberapa jam mengharungi sungai berbatu dan berair deras menuju ke hulu sungai. Oleh itu pemancing bukan saja perlu mempunyai kecekapan mengendalikan peralatan memancing tetapi juga perlukan ketahanan fizikal dan mental yang tinggi.
Disamping itu, ikan sebarau juga amat sensitif terhadap bunyi-bunyi yang ganjil. Pemancing perlu berhati-hati agar segala tingkah laku dan pergerakan tidak mengganggu ikan ini.
Sehinggakan ada pendapat yang mengatakan bahawa warna pakaian juga perlu dititikberatkan apabila hendak memburu sebarau seperti mana kelah. Pakaian yang cerah boleh dikesan ikan yang berada di dalam air.
Melalui ujian pemakanan yang telah dibuat, didapati tabiat pemakanan ikan ini berbeza mengikut peringkat hidup ataupun saiz.
Pada peringkat larva, ia memakan plankton dan lumut-lumut yang melekat pada batu atau daun tumbuhan air.
Tumbuh-tumbuhan air, serangga kecil, larva ikan dan organisma krustasea seperti anak-anak udang pula akan menjadi makanan sebarau pada peringkat juvenil. Pada peringkat dewasa, ikan ini bersifat karnivor sepenuhnya dengan menjadikan haiwan kecil yang lain sebagai mangsanya.
Berbeza dengan ikan karnivor dari famili Channidae (snakehead) yang lebih suka menunggu atau menghendap mangsa, sebarau dewasa merupakan ikan yang aktif dan bergerak dalam kumpulan semasa keluar memburu mangsanya yang terdiri daripada ikan seluang, terbul, lampam sungai dan anak-anak ikan yang lain termasuk anak ikan toman.
Sebarau gemar menyambar mangsa dengan ganas dan sangat mudah tertarik kepada objek-objek yang bergerak. Ini membolehkan para pemancing menggunakan umpan tiruan untuk menipunya.
Sebagaimana kebanyakan ikan lain, sebarau juga mempunyai masa makannya sendiri. Tetapi masa makan ikan ini berbeza mengikut peringkat umur. Ikan kecil akan keluar mencari makan pada waktu pagi hingga tengah hari, manakala ikan juvenil memburu pada sebelah petang dan awal malam.
Ini sekali lagi memberi cabaran kepada kaki pancing yang ingin menawan sebarau bersaiz besar dengan keupayaan tersendiri. Namun ada kajian yang menunjukkan bahawa masa yang sesuai untuk memancing sebarau adalah antara jam 7 pagi hingga 9 pagi dan antara jam 5 petang hingga 7 malam.
Berdasarkan kajian pembiakan pula, sebarau boleh membiak sepanjang tahun dengan kitaran pembiakan bermula pada bulan September hingga Disember. Walaupun ikan ini mampu membesar sehingga 70cm panjang, ikan jantan mula matang apabila mencapai saiz 15cm.
Manakala ikan betina mula menunjukkan kematangan dan sedia untuk membiak apabila saiz 18cm. Oleh yang demikian, sekiranya anda mendapat sebarau yang kurang dari 20cm, adalah baik jika ia dilepaskan semula kerana mereka belum matang.
Proses pembiakan biasanya berlaku semasa musim tengkujuh iaitu apabila paras air sungai atau tasik meningkat.
Pada masa ini, ikan jantan dan betina yang telah matang akan berenang ke hulu sungai untuk mengawan. Kawasan hulu yang berair jernih, berbatu kecil dengan aliran air yang perlahan menjadi pilihan untuk melepaskan telur.
Telur-telur yang dilepaskan akan melekat pada batu dan tumbuhan air di sekitar tebing sungai. Setelah si anak mencapai peringkat juvenil dan mampu berenang melawan arus, ia akan berenang menuju kawasan berjeram untuk memulakan hidup baru sebelum mendiami lubuk yang sesuai apabila meningkat dewasa.
Keadaan hari ini yang telah banyak terganggu oleh aktiviti manusia dan kurangnya kesedaran masyarakat tentang peri pentingnya pengekalan alam sekitar menyebabkan sebarau semakin sukar ditemui.
Kehilangan atau gangguan terhadap kawasan sungai yang mengalir jernih dan berpasir menjadi punca utama kesusutan sumber ini. Sumber ini penting untuk dinikmati pada masa akan datang sama ada untuk makanan atau tujuan sukan memancing. Oleh itu kajian terhadap spesies sebarau perlu digiatkan lagi.
Nama saintifik: Pangasius pangasius, P. sutchi, P. nasutus, P. gigas
Nama umum: Shark catfish, River catfish
Nama tempatan: Patin, Mekong, Patin buah, Patin muncung
Ikan patin merupakan spesies yang terkenal tidak kira sebagai hidangan atau pertarungan bagi pemancing di Malaysia. Patin liar boleh dijumpai di lombong atau sungai. Spesies ini sinonim dengan bandar Temerloh di Pahang sebagai hidangan dan bernilai tinggi.
Terdapat tiga spesies yang direkodkan berasal dari semenanjung iaitu patin buah (Pangasius nasutus), patin juara (P. micronemus) dan patin muncung (Helicophagus waandersii). Patin liar mempunyai nilai yang lebih tinggi berbanding patin sangkar atau ternak.
Bagi pemancing pula, selain patin liar, patin Mekong (Pangasionodon gigas) yang merupakan spesies berasal dari Thailand paling memberi kepuasan dalam pertarungan.
Selain itu, patin juga menjadi spesies penting dalam sektor akuakultur kerana mudah diternak. Sehingga kini terdapat lebih kurang 30 spesies dari tiga genus berbeza bagi ikan dari keluarga Pangasiidae ini.
BAUNG
Nama saintifik: Mystus nemurus
Nama umum: Malaysian river catfish
Nama tempatan: Baung
Ikan baung merupakan antara spesies air tawar yang berasal dari Malaysia. Baung dikatakan mempunyai potensi besar dalam bidang akuakultur untuk diternak.
Selain rasa yang agak lazat, baung juga menjadi spesies popular bagi pemancing. Secara morfologinya, baung mempunyai dua pasang barbel atau misai dibahagian kepalanya.
Habitat baung biasanya di sungai-sungai atau tasik yang besar. Selain itu, ia bersifat pemakan dasar yang memakan pelbagai jenis makanan termasuk invertebrata benthic, krustasia, ikan, udang dan serangga sebagai diet utamanya.
BELIDA
Nama saintifik : Notopterus notopterus, Chitala chitala
Nama umum : Feather back, Knifefishes
Nama tempatan : Belida, Belido, Lopis
Walaupun dalam genus atau genera berbeza, belida (Notopterus notopterus) dan belida bintik (Chitala chitala) masih tergolong dalam keluarga yang sama iaitu Notopteridae.
Spesies ini amat cantik dan bentuk badannya pula amat unik. Badannya pipih dengan saiz kepala yang kecil dan ekornya melengkung ke atas menghasilkan bentuk seakan sabit atau pisau. Habitat belida biasanya di sungai-sungai besar, tasik serta lombong.
Belida bersaiz kecil juga hidup di paya dan tali air yang bersambung dengan sungai. Antara lokasi taburan spesies belida ialah di kawasan Chenderoh, Bersia, Kenering, Sungai Kelantan, Tasik Kenyir dan banyak lagi.
Spesies belida bersifat nokturnal dan aktif pada waktu malam. Ia bersifat pemangsa dengan diet utamanya ialah udang dan ikan kecil. Belida lebih dikenali sebagai game-fish bagi pemancing kerana kekuatannya, namun begitu ia mempunyai potensi baik dalam sektor ikan hiasan.
Gegerut mempunyai bahagian sekata di muka atau pipi dan tidak menonjol keluar serta warna badan perak keemasan (warna silver), warna tompok-tompok hitam di atas garisan lintang dan bahagian ekor putih dan hitam di bahagian hujung.
Saiz gegerut yang mudah diperolehi sekitar 100gram hingga 500gram. Untuk memperolehi spesies yang lebih besar ia biasa dijumpai di air yang agak dalam dan terkeluar sedikit dari muara terutama paluh (laluan utama sungai) serta kawasan pulau persisiran pantai serta laut bebas. Saiz yang biasa dilihat untuk gegerut di air dalam di antara 600gram hingga 3kg.
Gegerut yang biasa diperolehi dikawasan muara dan air cetek sesuai mengunakan perumpun dan mata yang lebih kecil. Kalau mata pancing yang digunakan terlalu besar anda perlu selalu memasang umpan baru setiap kali selepas henjutan berlaku di hujung joran.
Gerut-gerut boleh diperolehi di kawasan air cetek sehingga kurang dari satu meter tetapi kebanyakanya adalah yang bersaiz kecil. Gegerut yang bersaiz besar 500gram ke atas hanya boleh diperolehi di perairan yang lebih dalam dari 10meter ke atas.
Gegerut gemar kepada kawasan kuala sungai, pantai dan kawasan batu karang di persisiran pantai atau pulau. Pilihan utama gegerut di kawasan kuala sungai ialah berpasir dan juga di kawasan reba pokok bakau.
Walaupun saiz kecil, ia boleh mengejutkan pemancing dengan larian pantas ketika melarikan diri dari pemancing dan mampu menghabiskan umpan yang dua kali ganda besar dari mulutnya. Gegerut yang bersaiz 500gram ke atas sangat popular di Australia sebagai salah satu hidangan sumber protein mereka selain dari negara kita sendiri.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...