IKON: Tekong – Wali Saiko Port Klang

Share

 

Nama: Mohd Nazri Kasim

Nama sosmed: Wali Saiko

Servis: Tekong Port Klang

 

 

UMPAN: Boleh saudara perkenalkan diri dan kerjaya?

WALI: Nama saya Mohd Nazri atau lebih dikenali dengan panggilan Wali Saiko. Saya seorang pengusaha bot di Port Klang dan telah beroperasi hampir 15 tahun.

Alhamdulilah, perniagaan saya semakin berkembang hasil berkat usaha dan pertolongan Allah.

Saya sekarang mempunyai 3 buah bot untuk disewakan kepada pemancing yang ingin merasakan thrill dan cabaran memancing di sekitar perairan Port Klang.

 

 

UMPAN: Boleh ceritakan kenapa saudara menceburi bidang ini?

WALI: Saya menceburi bidang ini kerana minat saya yang mendalam terhadap sukan memancing.

Bukan itu sahaja, saya dibesarkan dan dilahirkan di laut dan tidak hairan apabila orang mengaitkan laut Port Klang ini dengan saya kerana saya rasa ia amat sinonim.

 

Saya mula serius untuk menjadi tekong apabila dapat menarik ikan mega di sekitar Port Klang yang sememangnya pada akal saya tidak mungkin ada ikan ikan gred tinggi di lautan ini.

Semakin saya meneroka laut semakin banyak port saya jumpai sekaligus menyemarakkan lagi semangat untuk menjadi tekong.

 

 

UMPAN: Apa kriteria yang perlu ada untuk menjadi tekong?

 

Sememangnya tiada jalan mudah untuk menjadi tekong. Pada saya, seorang tekong perlu tahu tentang selok belok laut.

Apabila kita tahu, kita dapat mengelak pelbagai risiko seperti sesat di laut. Ini mungkin berlaku jika GPS rosak atau tidak berfungsi.

Walaupun kebarangkalian berlaku amatlah rendah, ia sudah cukup untuk menjadikan pengalaman hitam dalam hidup apabila sesat di laut luas.

 

 

Selain itu, seorang tekong perlu pandai beramah mesra dengan para pelanggan. Ini amat penting kerana dari pada perbualan dan percakapan bersama mereka, kita dapat membina

kesefahaman dan muafakat sekaligus dapat menarik minat mereka untuk terus menggunakan servis kita.

 

Ketiga, tahu menjaga kelengkapan dan peralatan bot yang digunakan. Ini merangkumi servis enjin bot, perbaiki canvas dan teritip.

Sebuah bot yang optimum dapat memberi keselesaan kepada pelanggan dan juga mengurangkan risiko berlaku kerosakan di tengah laut.

 

 

UMPAN: Apa rintangan dan harapan anda dalam meneruskan kerjaya ini?

WALI: Pelbagai rintangan dan cabaran yang saya lalui untuk sampai ke tahap ini. Lumrah sebuah bisnes, ada pasang surut terutamanya bulan puasa.

Amat susah untuk kita dapatkan customer dek kerana timing tidak sesuai. Di samping itu, keadaan air laut yang tidak dapat diduga juga membuatkan kami susah untuk mendapatkan hasil-hasil mega.

 

Setiap hari, saya cuba menarik minat pelanggan dengan iklan-iklan yang di post di FB dan ianya amat susah kerana saya kekurangan masa untuk melakukan kerja tersebut.

Oleh itu, displin diri yang kuat perlu saya terapkan dalam diri untuk memastikan bisnes ini berjalan lancar.

 

 

UMPAN: Boleh ceritakan sedikit pengalaman pahit sebagai tekong?

WALI: Salah satu kenangan pahit yang saya lalui adalah ketika bot saya mengalami kerosakkan di border Indo-Mas.

Kita itu enjin mengalami overheating kerana kegagalan water pump. Ia berlaku ketika kami sedang menghampiri spot dengan menggunakan kuasa enjen yang maksimum dek kerana lambungan ombak yang kuat.

 

Secara tiba tiba, enjin berbunyi agak kasar lalu saya perlahan-lahan menghampiri bahagian belakang bot untuk mengenal pasti apa yang berlaku.

Tiba-tiba… boom! Enjen berbunyi seperti meletup! Saya lantas mengelak dan menutup muka daripada serpihan enjin yang sedang melayang.

 

 

Waktu itu kira kira jam 9.20 malam. Suasana amatlah gelap dan hampir tiada bot di sekeliling untuk meminta pertolongan.

Kami terdiam seketika dan berbincang apa yang perlu dilakukan. Setelah mencapai persefahaman, kami melabuhkan sauh dan membelek enjin yang rosak jikalau ada jalan alternatif untuk permasalahan tersebut.

Suasana pada malam itu bertambah buruk apabila hujan mulai turun sekitar jam 12 malam. Hanya berbekalkan canvas dan jacket, kami terpaksa menahan kesejukan.

 

 

Keesokkan paginya, kami sekali lagi cuba melihat enjin jikalau salah satu daripadanya dapat dihidupkan.

Alhamdulilah, sebuah lagi enjen tersebut sememangnya menunjukkan kesan rosak tetapi rupanya hanya cover enjin sahaja yang pecah kerana letupan kecil semalam.

Ketika kejadian, enjin terus ditutup untuk mengelakkan kebakaran jadi kami terlepas pandang enjin yang masih boleh digunakan.

Kami perlahan-lahan membersihkan serpihan di sekeliling enjin dan cuba menghidupkan enjen. Zzut zut zut zzzzuuuutttt… sebuah enjin berjaya dihidupkan.

 

 

Kami semua bersiap untuk menghala ke Marina Pulau Indah berbekalkan hanya satu enjin. Perjalanan amat perlahan kerana kami tidak mahu pisang berbuah dua kali.

Pintu Gedung semakin hampir dengan kami, keriangan dapat dilihat dari semua rakan2 dan setibanya kami di jeti, kami hampir tidak boleh berhenti senyum walaupun tiada tangkapan langsung pada malam tersebut.

 

IKLAN