
Ikatan atau simpulan Uni Knot ini merupakan ikatan simpulan yang paling asas untuk menghubungkan tali pancing atau perambut pada swivel atau mata kail bercincin. Ikatannya agak kuat tetapi tidak sesuai untuk memancing ikan bersaiz monster.
Tutorial 1
Masukkan hujung tali perambut atau tali utama ke dalam gelung cincin swivel atau mata kail. BUatkan simpulan sehingga terbentuk seperti satu lingkaran. Rujuk di dalam gambar.
Tutorial 2
Kemudian mulakan simpulan dengan lilitan tersebut menindan dua lapisan tali yang terbentuk sebagai lingkaran tadi.
Tutorial 3
Buat kira-kira tiga hingga lima lilitan dan pada lilitan terakhir, masukkan hujung tali ke dalam lingkaran besar yang terbentuk.
Tutorial 4
Tarik hujung tali dalam pada masa yang sama pegang bahagian simpulan lilitan. Setelah jerutan ikan yang agak ketat, tarik pula bagian tali utama agar jerutan simpulan rapat ke bagian gelung cincin.
Tutorial 5
Tarik hingga ketat bahagian hujung tali kemudian potong bahagian lebihan hujung tali. Sebaiknya bakar hujung lebihan tali sebagai stopper agar ikatan tidak terbuka.
Mengenal Habitat, Tabiat & Sifat Spesies Channa Striata

Spesies Channa striata merupakan spesies ikan air tawar dari keluarga Channa atau snakehead yang cukup terkenal. Sama ada di kalangan kaki pancing atau penggemar ikan air tawar, haruan merupakan ikan yang amat popular.
Spesies haruan merupakan satu spesies ikan natif di Malaysia, dengan kata lain merupakan spesies ikan asal atau tempatan. Spesies ini datang daripada keluarga Channidae yang juga merupakan famili yang sama kepada spesies toman.
Ikan berkepala ular atau snakehead memang cukup dikenali dengan sifat agresif dan mengawal sempadan atau territorial. Sifat agresif ikan ini menjadikannya antara ikan kegilaan kaki pancing untuk diburu.
Bagi spesies haruan, pola taburan spesies ikan ini banyak tertumpu di kawasan Asia Tenggara termasuklah dari Lembah Sungai Mekong dan Chao Phraya hingga ke Semenanjung Malaysia, Borneo dan Sumatera. Terdapat juga kehadiran spesies ikan ini di kawasan Eropah namun dipercayai sebagai spesies ikan asing.
Di Malaysia, tidak sukar untuk menemui spesies ikan haruan. Spesies ini boleh ditemui di hampir kebanyakan kawasan berair tawar dan payau. Malah ikan ini juga boleh ditemui dalam hampir kebanyakan punca air kerana tolenrasi survival haruan sangat tinggi. Ikan haruan mempunyai kadar survival yang tinggi lantas tidak sukar baginya untuk memilih habitat.
Dari sungai, sawah padi, terusan, tali air, bekas lombong, paya, kolam tadahan hinggalah ke kolam terbiar kita boleh menemui spesies ini. Walaupun spesies haruan merupakan merupakan ikan air tawar, namun kita masih boleh menemui ikan ini di perairan air payau. Ini menunjukkan spesies haruan juga mempunyai kadar tolenrasi saliniti yang agak tinggi walaupun tidak hidup di air masin.
Spesies haruan juga merupakan spesies ikan pemangsa yang mana tarikan agresifnya membuatkan ia diburu oleh kaki pancing. Terdapat dua cara pancingan haruan yang popular iaitu menggunakan umpan hidup ataupun umpan tiruan. Bagi istilah umpan hidup, umpan yang popular digunakan adalah katak, anak ikan, cicak, cacing, udan sungai atau cengkerik.
Katak merupakan umpan semulajadi yang paling popular. Penggunaan katak boleh dilakukan dengan teknik merendam, unjunan atau pun mengilat (casting). Bagi peminat mengilat (casting) umpan tiruan, pancingan haruan merupakan sesuatu yang menyeronokkan.
Justeru muncul pelbagai jenis, rupa, bentuk, nama, istilah dan variasi umpan tiruan sama ada diperbuat daripada kayu, getah, metal, plastik dan sebagainya. Katak rambutan, spinnerbait, jump frog, soft frog, gewang minnow, gewang permukaan, soft plastik dan sesudu metal merupakan gewang atau umpan tiruan yang boleh digunakan untuk memburu spesies haruan ini.
Tidak dinafikan juga, antara punca mengapa haruan kerap diburu (selain rekreasi perikanan dan untuk sumber protein) adalah nilai perubatan yang tinggi yang terdapat dalam daging ikan ini.
Secara umumnya, haruan telah terbukti fungsi dan keberkesanannya dalam mengubat luka-luka dalaman terutama kepada wanita selepas bersalin dan selepas pembedahan.
Hasil penyelidikan juga mendapati dagingnya mengandungi asid arachidonic yang mampu menyembuhkan luka dalaman dengan cepat di samping kaya protein serta asid amino yang diperlukan untuk pertumbuhan badan. Bahkan, ia juga dikatakan mampu menyembuhkan luka selain meredakan penyakit berkaitan kulit seperti radang, gatal-gatal dan sebagainya.
Buat Sendiri Umpan Pancing!!

Bahan-Bahan Keperluan:
1 Genggam perut atau usus ayam
1 Biji telur ayam (ayam kampung lagi bagus)
1 Keping keju Cheddar
Mi segera (dikisar halus)
Cara Penyediaan:
Pastikan perut ayam dibersihkan dengan sempurna. Kemudian dipotong pendek kira 2-3 inci. Ia bertujuan agar mudah dalam proses mengisar.
Kukus perut ayam hingga separuh masak atau menjadi lembut. Kemudian sejukkan seketika perut ayam tersebut.
Seterusnya masukkan perut ayam, telur ayam dan keju kraf ke dalam blender, kemudian kisar sehingga lumat. Seterusnya simpan di dalam bekas bertutup.
Cara Penggunaan:
Gaul bahan-bahan yang dikisar itu dengan sedikit serbuk mi segera sehingga menjadi doh yang lembut tetapi liat.
Kepalkan doh (sebesar ibu jari) pada mata kail dan lontarkan ke kawasan yang berpotensi ikan keli berkumpul.
Mengenal Tabiat Ikan Tongsan Sebelum Memancing!!

Ikan tongsan ini tidak suka kehadiran ikan-ikan air tawar yang lain seperti ikan patin, rohu, pacu dan lain-lain lagi. Sekiranya sarang dan koloninya diganggu, ia akan lari dan akan membina koloni yang baru selepas itu.
Di setiap kawasan atau lubuk tongsan ini akan ada seekor ikan tongsan sisik halus yang bersaiz besar disitu, kadang-kadang terdapat 1-6 ekor ikan tongsan di setiap lubuk termasuk yang saiz besar mencapai saiz 20kg ke atas.
Walaupun ia telah terkena mata pancing ia seperti biasa 2 hingga 3 hari kemudian ia akan kembali tinggal di lubuk lamanya. Bagi pemancing yang sudah tahu lokasi ikan ini tinggal maka beruntunglah ia, kemungkinan besar ia akan berkali-kali menaikkan ikan besar seberat 20kg.
Namun, bancuhan umpan mestilah berbeza-beza. Ikan tongsan bersaiz besar dapat mengenal pasti umpan yang telah dimakannya dahulu selama 6 bulan lamanya, percaya atau tidak?
Pengalaman saya memburu ikan tongsan bersaiz besar banyak kali melihat ikan yang bersaiz besar ini banyak kali telah didaratkan di tempat yang sama atau di lubuk yang sama. Ikan yang telah terkena mata pancing ini akan kembali lagi menyedut umpan setelah mulut atau tubuhnya kembali sihat dan lukanya kembali pulih.
Sekiranya di dalam sesebuah kolam itu hanya terdapat seekor sahaja ikan tongsan sisik halus bersaiz 20kg (contoh sahaja), lazimnya ia akan akan dijadikan ikan jakpot atau tangkapan bonus.
Sekiranya kita pernah menaikkan ikan ini maka bancuhan umpan tongsan jakpot ini perlulah ditukar. Jika tidak, peluang ikan tongsan didaratkan oleh si Pemancing lain amat cerah. Sedangkan kita tahu di mana lubuk ikan tongsan ini jadi perlulah tukar bancuhan bau umpan kita ini.
Ikan tongsan ini seakan-akan mempunyai seekor ketua di setiap lubuknya, namun begitu ia akan mencari makan di setiap sudut kolam dan kembali semula ke sarang atau lubuknya. Begitulah perangai ikan tongsan ini di saban hari.
Ikan tongsan amat suka tinggal di kawasan air yang tenang dan sunyi jauh dari gangguan ikan-ikan. Sesiapa yang mahir, ia pasti akan dapat melihat ikan-ikan ini keluar dari sarangnya melalui olak air di kawasan itu maka di situlah sarang ikan-ikan ini boleh dikenal pasti.