Dunia Hanyir Danie Anwa

Share

 

Bagi yang mengikuti perkembangan industri hiburan suatu masa dulu, nama Danie Anwa atau Danny X-Factor pastinya tidak asing lagi bagi anda. Bagai tak disangka selebriti yang memulakan karier sebagai penyanyi berkumpulan sebelum terjun ke dunia lakonan ini juga meminati dunia hanyir ini.

 

 

Dari Industri Hiburan ke Dunia Hanyir

Baru-baru ini penulis sempat meluangkan masa untuk bertemu dan menemu bual Danie di Kolam Memancing Taman U, Seri Kembangan, Selangor. Danie yang memiliki sebuah kafe di kolam ini memang menjadikan kolam ini sebagai rumah keduanya dan sering menghabiskan masa memancing di sini.

 

Bila ditanya tentang bagaimana beliau boleh terjerumus ke lembah hanyir ini, Danie lantas menjawab, Zul Huzaimy (pelakon) merupakan orang pertama yang memperkenalkan dunia memancing ini kepada beliau sekitar tahun 2004/2005 yang lalu. Pada waktu itu, Zul membawanya merasai pengalaman trip 3H2M menaiki boathouse di Tasik Kenyir.

 

 

“Boleh kata Zul lah orang pertama yang bawa saya ke kedai pancing untuk beli alatan yang sesuai memancing di Tasik Kenyir. Tapi nak jadikan cerita selepas trip itu saya terkena demam yang teruk dan dari situlah saya mula rasa memancing ni bukan bidang saya dan terus stop memancing selepas itu,” tambah Danie lagi.

 

Walau bagaimanapun, menurut Danie pada tahun 2014 tiba-tiba sahaja beliau mendapat pelawaan seorang rakan untuk memancing di kolam. Beliau yang tiada set memancing pada waktu itu terpaksa meminjam set rakannya untuk turun memancing bersama. Dan pada waktu itulah bermula bibit-bibit cintanya kepada dunia memancing selepas mendapat “karennn” yang pertama dan hobi ini diteruskan hingga ke hari ini.

 

 

Pengalaman Manis

Bercerita tentang pengalaman manisnya dalam dunia hanyir, menurut Danie beliau bermula sebagai seorang pemancing yang gemar mengaplikasikan teknik pelampung di Kolam Taman U ini.

 

Sudah puas dengan teknik pelampung beliau kemudiannya beralih kepada teknik bottom dan seterusnya rakan-rakan di kolam ini mengajak dan mengajarnya teknik casting yang lebih teknikal tetapi lebih berpotensi untuk mendapat sambaran. Evolusi yang dipelajari inilah menjadikan cintanya kepada dunia memancing lebih kukuh.

 

Siapa sangka dengan meminati dunia memancing beliau tiba-tiba mendapat panggilan daripada Astro untuk menyertai Program Juara Joran. Ibarat bulan jatuh ke riba, Danie terus menerima tawaran tersebut dan bergandingan dengan seorang otai dalam dunia pancingan iaitu Mie Ngail.

 

 

Dari sini, walaupun kecundang di pusingan pertama, beliau telah mempelajari banyak perkara dalam dunia pancingan laut dan pada masa yang sama mendapat lebih ramai rakan daripada kalangan kaki pancing.

 

Tak lama selepas itu boleh dikatakan rezeki Danie memang murah apabila sekali lagi beliau mendapat tawaran dan kali ini untuk mengacarakan sebuah program yang fokusnya 100% kepada memancing iaitu program Jaguh Joran terbitan RTM (yang akan disiarkan tahun ini).

 

Dan untuk program inilah Danie berpeluang mengenali ramai ‘hardcore angler’ dan lebih meluas ilmu yang diperoleh dalam pelbagai bidang pancingan sama ada laut, sungai, tasik dan lain-lain.

 

 

Sebelum mengakhiri temu bual kami, penulis sempat bertanya tentang harapan Danie kepada industri memancing Malaysia. Menurut beliau, beliau amat berharap agar ada lebih ramai pihak buka mata untuk menaikkan lagi industri ini. Beliau percaya jika lebih banyak sokongan dan usaha dilaburkan, industri ini mampu berkembang lebih pesat kerana potensi yang ada sungguh besar.

 

Pada masa yang sama Danie juga berharap agar pemancing-pemancing Malaysia cuba untuk mencapai tahap menjadi pemancing profesional. Beliau juga amat menyeru mereka yang terlibat dengan aktiviti tidak sihat seperti melepak, rempit dan sebagainya untuk terjun ke dunia hanyir ini kerana dengan aktiviti memancing sebeginilah mampu menjadikan kita lebih sabar dan sekaligus menjauhi perkara yang sia-sia.

 

 

IKLAN