Cara Proses Hasil Pancing Untuk Disimpan Lama

Share

 

Ada sedikit perkara penting dalam pengurusan dan penyimpanan sejuk ikan tangkapan anda. Biasanya, Apabila selesai memancing dan hasil tangkapan kemudian dikeluarkan di akhir sesi pancingan di bawah cuaca yang terik untuk disiang, situasi ini sering dilihat tidak dikendalikan dengan baik. Ini mengakibatkan daging ikan menjadi lembik.

 

 

Gunakanlah kebijaksanaan anda. Proseslah tangkapan anda di tempat yang terlindung. Pastikan tangkapan anda berada dalam ais semasa anda memproses setiap ikan, sebelum menggantikan ikan yang telah dibersihkan ke dalam peti simpanan ikan itu.

 

 

Sememangnya berbaloi mencuci tangkapan dan peti simpanan, sebelum ikan diagih-agihkan. Tujuannya mempastikan ikan yang diproses sentiasa bersih. Ia lebih bersih dan kemas, jika persekitaran kerja turut bersih dan kemas.

 

Sebab itulah proses ini lebih baik dilakukan di rumah, bukannya di jeti. Di rumah, kita juga tak perlu tergesa-gesa dan dapat menguruskannya betul.

 

 

Jika ikan hendak disejuk beku, ia perlulah dibuang kesemua insang dan perutnya. Pastikan semua usus dan darahnya tidak tertinggal. Ruang perut yang kosong sebaiknya digosok dengan berus bagi memanjangkan hayat simpanan. Selepas membasuh, pastikan air dibuang sebelum dibungkus untuk pembekuan.

 

Kalau daging ikan dilapah atau fillet untuk dibekukan, ianya hendaklah dibungkus dalam paket saiz hidang. Kemudian labelkan ia dengan nama spesies dan tarikhnya menggunakan marker pen, sebelum disusun kemas dan rata dalam peti sejuk.

 

 

Penambahan maklumat tarikh menyenangkan anda untuk menguruskan bekalan, di mana ikan yang paling lama disimpan akan digunakan terlebih dahulu.

 

Sebaik-baiknya jangan simpan ikan anda terlalu lama dalam peti sejuk sehingga lebih 5 bulan. Sekiranya anda berniat untuk simpan beku sehingga 5 bulan, disarankan ia dibungkus dalam pek kedap udara.

 

 

Ataupun disimpan dalam beg sejuk beku khas, kemudian disusun dalam bekas sebelum direndam air. Dengan cara ini, air akan membeku dan menghalang ikan menjadi lecur beku.

IKLAN