
Jangan ingat manusia dan monyet saja suka makan pisang! Terdapat beberapa jenis pisang dipercayai menjadi makanan kegemaran beberapa spesies ikan.
Kalau ikan suka makan pisang, maknanya pisang bolehlah dijadikan umpan untuk memancing ikan.
Dalam perkongsian ini kami tunjukkan bagaimana caranya untuk jadikan pisang embun sebagai umpan memancing ikan spesies kap dan sebagainya.
Bahan-Bahan
Pisang (embun atau emas)
Perambut 3 mata kail (mata kail teras panjang)
Straw
Manik polisterin
Cara Penyediaan
Langkah 1
Potong pisang dalam anggaran 1-2 inci dan kupas kulitnya secara memanjang.
Langkah 2
Kulit pisang itu kemudian dijadikan tapak umpan dan potong lebihan pada sekelilingnya.
Langkah 3
Ambil mata kail paling tengah dari perambut 3 mata kail dan cangkukkan kulit pisang yang dijadikan tapak umpan.
Langkah 4
Masukkan straw pada mata kail tersebut (straw hanya membalut teras mata sahaja).
Langkah 5
Masukkan pisang melalui pangkal perambut dan melekap pada mata kail dan tapak umpan.
Langkah 6
Cangkukkan 3-4 manik polisterin pada dua lagi mata kail daripada perambut 3 mata kail.
Langkah 7
Cangkukkan dua mata kail tersebut pada bahagian sisi umpan dan ia sudah boleh digunakan sebagai umpan memancing.
Cara Membahagi Hasil Mancing (Candat Sotong)!!

Ketua trip atau organizer berhak menentukan kaedah pembahagian hasil dalam pasukannya. Namun jarang sekali organizer meletak syarat yang memberi kelebihan kepada dirinya.
Hasil candat yang diperoleh sebaik-baiknya dibahagi sama rasa dan sama rata kepada setiap peserta terlibat sama ada penglibatan mereka secara langsung atau sekadar pemerhati sahaja (tak mencandat tetapi membayar kos trip).
Tekong dan awak-awak lazimnya akan membantu dalam proses tangkapan candat dan semua hasil terakhir program diberi kepada peserta. Jika ada awak-awak yang mencandat untuk diri sendiri maka korang berhak untuk mempersoalkannya.
Hasil sotong segar boleh dimasak di atas bot atau dibuat umpan memancing jika perlu. Dalam perkara ini ketua atau peserta sendiri perlu pandai beramah mesra dengan tekong dan meminta bantuan jika perlu. Sotong yang dimasak segera di atas bot adalah nikmat sebenar mencandat sotong.
Dalam sebuah bot candat, sikap bekerjasama secara berpasukan adalah sangat penting untuk memastikan semua peserta melibatkan diri dan mengambil peluang dan pengalaman mencandat.
Kalau boleh jauhi sikap pentingkan diri (jika hasil candat hak milik masing-masing). Saling membantu kepada peserta yang kurang pengalaman di lautan.
Sebagai ketua, anda perlu pastikan tiada pertengkaran semasa program mencandat berlangsung, sebaiknya diselesaikan diluar program.
Pembahagian hasil candat sebaiknya dibuat semasa berada di darat. Bahagikan kepada jumlah peserta terlibat mengikut longgokkan sotong mengikut saiz dan jenis. Biar adil dan saksama.
Lady Angler – Dunia Memancing Queen’s Latiffah

Nama : Latiffah binti Hashim
Nama socmed : Queen’s Latiffah
Port: Johor
UMPAN : Sejak bilakah anda mula terlibat dengan hobi memancing ini?
QUEEN : Secara tak rasmi sejak dari kecil lagi. Sejak sekolah rendah dah diajar oleh abah. Selalu ikut abah pergi kebun.
Sambil tunggu abah siapkan kerjanya, abah akan bagi sebatang kayu siap dengan tangsi dan mata kail untuk saya memancing. Umpan abah guna cacing je.
Kat kebun senanglah nak cari cacing. Saya memancinglah di parit dalam kebun abah tu. Bila naik sekolah menengah saya stop terus memancing.
UMPAN : Apa yang membuatkan anda memilih hobi memancing ini berbanding banyak hobi lain yang ada?
QUEEN : Mungkin sebab jodoh saya dengan seorang kaki pancing. Pengaruh dari suami yang sememangnya seorang pemancing tegar.
Lepas kahwin saya aktif semula memancing sehinggalah ke hari ini. Kalau suami sibuk kerja, saya akan pergi memancing dengan kawan-kawan perempuan.
Saya memilih hobi ini mungkin juga sebab ia tidak sama dengan hobi lain. Keseronokan menarik ikan itu tidak boleh nak bandingkan dengan hobi lain.
Boleh kata selepas saya memancing ni saya dah tak buat hobi lain lagi dah.
UMPAN: Apa pula rintangan yang dihadapi dalam meneruskan hobi ini dan harapan anda?
QUEEN : Ramai orang memandang perempuan memancing ni pelik. Jangan kata orang perempuan saja, orang lelaki pun sama.
Pada mereka memancing ni hanya hobi kaum lelaki. Kadang-kadang dalam FB ada kaum lelaki yang merendahkan kami pemancing wanita dengan pelbagai komen yang menyakitkan hati.
Harapan saya moga masyarakat dapat menerima kami lady anglers dalam dunia hanyir ni. Apa salahnya kami berkongsi hobi yang bukan khusus untuk lelaki saja ni?
UMPAN : Boleh kongsi sedikit pengalaman pahit manis semasa memancing?
QUEEN : Kalau pengalaman memancing yang pahit tu tentulah masa bila mabuk laut. Bukan setakat pahit saja tapi dah sangat terseksa rasanya.
Pulak tu rasa rugi sangat dah kat tengah laut tapi tak boleh nak memancing. Tapi memancing jugak la sambil bergilir-gilir dengan muntah. Hehehe.
Pengalaman manis pula tentulah bila dapat tarik ikan. Rasanya takde pemancing yang rasa tak best bila dapat tarik ikan.
Dan pengalaman paling berharga pula bila saya dapat kenal ramai kaki pancing dan berkawan dengan mereka terutamanya pemancing wanita.
Selain itu saja ada jugak melibatkan diri dalam game (pertandingan memancing) tapi tak pernah dapat ranking pun tapi tu semua pengalaman. Cabutan bertuah tu pernah la dapat.
Yang penting ukhwah dalam dunia memancing. Yang penting keseronokan berlawan dengan ikan dan keseronokan dapat ramai kawan dari seluruh Malaysia dalam hobi yang sama. Itu satu kepuasan.
Dua Kaedah Perlu Tahu Untuk Pancing Ikan Tongkol

Tidak semua ikan tongkol di pasaran ditangkap melalui penggunaan pukat atau jaring. Tidak sebagaimana ikan pelagik lain, tongkol memiliki kuasa turbo untuk memecut lari dari kepungan pukat. Oleh yang demikian, kebanyakan neltongkoln terutamanya nelayan persisir pantai memiliki kaedah tertentu untuk menangkap tongkol melalui kaedah tali dan mata kail.
Teknik Memancing Tongkol (bot bersauh)
Cangkuk anak ikan di bawah perut, atas garis hidup, dekat ekor atau mulut untuk yang hidup. Cangkuk dalam mulut, mata dan dekat insang untuk umpan mati.
Jika menggunakan bilis, masukkan mata kail melalui mata bilis sama ada seekor atau berangkai mengikut saiz. Bilis juga digunakan sebagai bahan ‘rasuah pemikat’ untuk mengundang kehadiran tongkol dekat dengan kawasan pemancing.
Labuhkan umpan mengikut arus tanpa pemberat. Biarkan ia hanyut ke arah unjam atau kawasan dikenal pasti adanya kumpulan tongkol sedang bermain. Untuk hasil yang lebih efektif, umpan yang dihanyutkan hendaklah dihenjut lembut setiap masa untuk menarik perhatian mangsa.
Jika mampu membuat balingan (bait casting), pasti lontaran tidak mencederakan ikan hidup yang digunakan sebagai umpan. Jika umpan ikan mati tiada masalah.
Sentiasa memeriksa keadaan umpan jika anda memancing berdekatan dengan unjam (umpan sering dikacau sotong dan anak ikan).
Hanyutkan umpan pada kedalaman 10 meter bawah permukaan hingga ke permukaan air. Lihat kesannya sama ada umpan dirembat di atas permukaan atau di pertengahan air.
Teknik Memancing Tongkol (bot menunda)
Teknik ini lebih mudah dan berkesan. Ia lebih produktif di mana hasil melebihi seekor setiap kali dinaikkan.
Ia dipanggil menunda (trolling) atau mengolok tongkol istilah Pantai Timur. Mata apollo berangkai biasanya 20-100 mata dilabuhkan di belakang bot yang sedang bergerak merentasi kawasan yang dikenal pasti adanya tongkol.
Saiz mata yang digunakan 10-15. Mata kecil yang lebih besar dari mata selar (mata apollo) digunakan dan mempunyai kekuatan tidak mudah patah.
Anak perambut disyorkan 40-60lb setiap satu diikat pada 100-200lb perambut utama dan 300Ib untuk tali utama.
Pada tahap ini, jika lebih dari 20 ekor tongkol menyambar dalam satu-satu masa, 2 hingga 3 orang diperlukan untuk menarik kumpulan tongkol yang tersangkut pada mata apollo tersebut.
Selain itu appollo yang dijual (maksimun 6 mata) boleh digunakan dengan syarat perambut tersebut mestilah melebihi 30Ib.
Warna bulu yang digunakan untuk membuat apollo tongkol biasanya putih (warna bilis) dan sekarang ini warna putih, kuning dan merah digunakan.
Selain itu togkol juga menyambar gawang sesudu, popper dan jig yang digunakan. Keberkesanan alatan ini anda harus rujuk kepada neltongkoln atau tekong setempat.