Cara buat ikan pekasam mempunyai teknologi yang mudah dan ringkas sahaja. Semua orang yang berminat tentu mudah faham akan teknologi pengawetan ikan pekasam di rumah masing-masing.
Peralatan sedia ada dirumah boleh digunakan dan cuma beli ikan, garam, beras hancur dan asam keping atau asam jawa.
Bahan-bahan asas
Ikan
Langkah pertama ialah ikan mesti dibersihkan dengan sempurna. Pastikan segala isi dalam perut ikan dicuci bersih. Sebaiknya kepala ikan dibuang bagi mengelakkan dari ikan busuk dan dihurung lalat.
Garam
Gunakan garam yang bersih sederhana halus. Sukatan garam disyorkan pada kadar satu kilogram ikan diberikan sebanyak seratus gram garam (Kadar 1,000:100).
Ads
Beras
Beras perlu disangai atau digoreng tanpa minyak dalam kuali sehingga berwarna kekuningan dan rangup. Kemudian beras ini ditumbuk atau dikisar sampai sederhana lumat.
Asam keping
Ads
Asam dicampurkan dalam pembuatan ikan pekasam untuk mengekalkan rasa dan ikan tidak busuk.
Langkah pemprosesan
Ikan dibersihkan dan kemudian masukkan garam dengan kadar anggaran 1kg ikan 100gm garam. Masuk dalam bekas yang sesuai dan kemudian tutup bekas tersebut dan simpan ditempat selamat seperti almari atau peti ais.
Ads
Setelah cukup masa atau pada esok paginya siapkan tumbuk beras yang disangai tadi dan gaul dengan ikan tadi tu.
Pastikan campuran beras tadi lembab dicampur dengan air bersih. Sebenarnya serbuk beras tadi nanti apabila ikan di goreng maka beras ni la jadi serbuk pekasam yang menambahkan keenakan ikan pekasam.
Cari bekas yang bertutup sangat rapat. Susun ikan tadi ke dalam bekas di mana setiap susunan ikan tadi letakkan asam keping 1-2 keping. Pastikan susunan ikan dalam keadaan teratur dan taburan agak rata.
Masukkan air garam yang disimpan dengan ikan malam tadi. Sebelum tu masak dahulu air garam tersebut di atas api sederhana. Dah sejuk air garam tu masukkan ke dalam bekas ikan tu sehingga kesemua ikan tadi terendam.
Kalau ada lagi saki baki beras goreng bertumbuk tadi perlu tuang dalam bekas. Akhir sekali tutup bekas dengan rapat. Letak plastik kat bawah penutup tu supaya betul betul ketat. Seminggu lepas tu try la masak ikan pekasam tadi.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Rakan baik saya Syamil ajak menjala di Tasik Teja, sebuah tasik yang masih belum tercemar dan terletak di kawasan pedalaman di bahagian utara Semenanjung Malaysia. Kami pergi berempat dengan ditemani Zarim dan Chak.
Pakcik Mat, pemilik bot sudah sedia menunggu di jeti. Rupa-rupanya Syamil telah merancang semua aktiviti menjala dan memancing dengan penuh teliti.
Perjalanan dari jeti ke port pertama memakan masa hampir 45 minit. Spot yang dipilih ini betul-betul terletak di sebuah kuala sungai yang menganjur masuk ke dalam tasik dan kami merancang akan bermalam di situ.
Syamil menyuruh kami memasang khemah dan mencari kayu api untuk persediaan memasak dan membuat unggun api. Saya pula ditugaskan untuk memasak. Memandangkan hari sudah beransur petang, saya terus membasuh beras untuk ditanak.
Lauk untuk malam itu ringkas sahaja. Sambal sardin, telur dadar berulamkan timun Jepun yang dibekalkan oleh isteri saya. Saya juga membancuh air kopi O satu cerek besar yang bakal diminum untuk menahan mata daripada mengantuk. Siap semuanya, barulah saya mengeluarkan jaring dan mula membetulkannya dengan dibantu oleh Chak.
Ketika meranduk tebing sungai sedalam paha untuk mengambil wuduk, saya dikejutkan dengan kehadiran tujuh jenis bunga yang mengalir tenang di hadapan saya. Bunga melur, mawar, kenanga, kekwa kuning, dan tiga jenis lagi yang tidak saya ketahui namanya seolah-olah cuba menarik perhatian saya untuk terus memandang hingga hilang dibawa arus.
Sesaat itu juga saya tercium bau limau purut yang sangat menyegarkan menusuk masuk ke hidung. Saya beristiqfar seketika sebelum meneruskan hajat mengambil wuduk. Tidak saya ceritakan kepada kawan-kawan peristiwa yang baru berlaku itu.
Malam itu saya memasang jaring di beberapa lokasi yang dicadangkan oleh Syamil dengan menaiki bot. Aktiviti menjala tidak dapat dilakukan kerana kawan-kawan berasa letih dan mengantuk. Malam itu saya bermimpi jaring yang saya pasang berjaya ‘menangkap’ seorang puteri jelita yang sedang mandi-manda di sungai itu bersama beberapa dayangnya.
Tuan puteri itu menangis-nangis merayu agar saya melepaskan dia. Katanya, andai saya membantu dia, dia berjanji akan memberikan saya sesuatu yang berharga.
Saya tersentak daripada tidur dan terus mengucap dan beristiqfar. Sempat saya memandang jam. Tepat jam dua pagi. Saya mengambil keputusan untuk mengambil wuduk kembali dan saya memberanikan diri memeriksa dua jaring yang saya pasang.
Saya mendayung perlahan bot dengan bantuan lampu suluh. Pada jaring pertama, kosong. Tiada langsung ikan mengena. Pada jaring kedua pula, saya temukan seekor ikan kecil bersisik emas yang tidak meronta lagi. Seolah-olah sudah pasrah dengan nasib yang menimpa dirinya. Saya mengambil keputusan untuk melepaskan ikan kecil bersisik emas itu.
Keesokan harinya, saya terkejut apabila melihat dua jaring yang saya pasang penuh dengan ikan kelah, sebarau dan baung. Kami seolah-olah berpesta ikan hingga penuh tong ikan yang kami bawa.
Saya juga menjumpai sebentuk cincin berbatu hijau di dalam perut ikan kelah yang saya bersihkan untuk dijadikan hidangan makan tengah hari. Lebih mengejutkan cincin itu memang sesuai dengan jari manis saya.
Sekurang-kurangnya sebulan dua kali aku dan teman sekomplot akan pergi ke mana-mana lubuk untuk memancing sama ada dengan teknik mengilat atau pancingan dasar. Akan tetapi pada suatu cuti minggu, aku tidak dapat beraksi kerana jemputan ke majlis kenduri kahwin rakan ketika sama-sama menuntut di universiti dulu.
Sambil aku dan isteri menikmati nasi minyak pengantin, aku dikejutkan dengan paluan kompang. Rupa-rupanya pengantin sampai awal daripada yang dijangkakan. Jam baru menunjukkan pukul 1.00 petang. Dalam hati terdetik ‘masih awal, ada peluang nak mancing petang ni’. Setelah menghabiskan makanan, aku dan isteri pulang ke rumah.
Setiba di rumah, aku terus capai telefon bimbit dan menelefon Nizam. Rupanya NNizam sedang membangau di kolam. Sasaran beliau ialah rohu tetapi tidak seekor pun yang strike. Dah hampir tiga jam katanya.
Racun punya racun, NNizam akur dengan pelawaan untuk terjah port haruan sekitar tali air di Batang Berjuntai. Tapi beliau perlu ke rumah terlebih dahulu untuk mengambil set casting.
Dari rumahnya ke rumahku hanya mengambil masa 20 hingga ke 30 minit perjalanan. Oleh kerana beliau tidak biasa ke rumah aku kerana kami selalu berjumpa di port-port memancing atau di luar untuk mengeteh, beliau telah sesat hampir sejam lebih.
Setibanya Nizam di perkarangan rumah, kami mengambil keputusan untuk naik satu kereta iaitu kereta aku. Dari rumah aku ke port yang dituju mengambil masa lebih kurang satu jam. Makin hampir dengan lokasi tersebut, tiba-tiba aku teringat dengan kisah-kisah yang pernah diceritakan sebelum ini.
Di situ agak keras tempatnya. Pernah satu masa kawan-kawan lama aku memancing pergi ke sana, tiba-tiba seorang dari mereka hilang. Hampir 40 minit mencari, akhirnya dapat panggilan telefon bahawa orang yang mereka cari telah pulang ke rumah.
Bila ditanya mengapa pulang senyap-senyap, dia memberitahu tidak mahu membantutkan rakan yang lain sedang memancing kerana kelibat bola api yang dilihatnya.
Aku sendiri pun pernah mendengar cerita yang sama dan dipesan untuk lebih berhati-hati jika ke situ. Ketika itu aku menunggu rakan bersiap di rumah bujangnya. Sambil menunggu, aku berborak dengan orang yang sama-sama menyewa dan serumah dengan kawanku itu.
Bila mana aku sebut sahaja nak memancing di situ, beliau terus pesan untuk memberi salam dan membaca selawat ketika ingin masuk ke kampung tersebut. Keras katanya. Sebenarnya, aku telah ke tempat tersebut dalam tiga empat kali.
Oleh kerana selamat pergi dan pulang tanpa sebarang cerita, aku tetap ingin ke sana. Walaupun pernah membangau dan hasil tidak memberangsangkan, tetapi port yang boleh didefinisikan sebagai menarik untuk casting menarik minat aku untuk pergi lagi ke sana.
Lokasi semakin hampir, aku sempat berpesan kepada Nizam supaya memberi salam dan baca-bacalah apa yang beliau tahu. Aku sendiri pun lakukan perkara yang sama. Sempat juga aku menceritakan apa yang didengar sebelum ini kepada NNizam. Tapi kami tidaklah rasa apa-apa kerana tengah gigil nak melempar gewang. Untung-untung ada strike.
Separuh jalan memasuki kampung tersebut, aku terlihat beberapa payung pasar malam baru nak dipasang. Disebabkan laluan masih muat untuk kereta lalui, aku meredah sahaja pasar malam yang baru di set-up tersebut.
Agak segan kerana menaiki kereta di tapak pasar malam, aku tidak memandang ke kiri dan kanan, hanya menumpukan perhatian ke depan dan sesekali mengelak payung-payung peniaga yang baru dipasang. Sebenarnya aku tidak pernah sampai ke sini sebelah petang. Selalunya aku akan datang awal pagi dan pulang sebelum Zuhur.
Disebabkan komplot hari ini tidak dirancang, aku sampai agak lewat ke destinasi. Jam 6 petang barulah kami membuat balingan yang pertama.
Tiada sebarang sambaran menyebabkan kami leka. Jam telah menunjukkan pukul 7.15 minit malam. Walaupun hari masih belum gelap sepenuhnya tetapi kami fikir eloklah berhenti dahulu dan pulang ke rumah.
Masuk sahaja kereta, aku menyatakan hasrat kepada Nizam untuk mengikut jalan yang lain kerana terfikir mengenai pasar malam yang kami nampak ketika datang tadi.
Nizam bersetuju, kami melalui separuh jalan seperti ketika datang tadi sehingga nampak kelibat pasar malam dari jauh, kami belok di satu simpang dengan tujuan untuk memintas pasar malam tersebut dan tembus ke jalan depan.
Biasalah kawasan kampung, banyak simpang tetapi kebanyakan dari jalan tersebut bersambung antara satu sama lain. Aku tidak pernah melalui jalan selain jalan yang aku lalui untuk datang tadi maka aku main agak sahaja dengan harapan laluan tersebut betul.
Apabila aku masuk ke simpang yang dirasakan telah lepas dari pasar malam, aku memintas masuk ke lorong yang sama semula, ternyata betul. Dari cermin pandang belakang aku masih nampak kelibat pasar malam dan meneruskan perjalanan seperti biasa.
Sedang asyik menekan minyak, aku rasa seperti ada yang tidak kena. Jalan yang aku lalu tidak seperti yang aku tempuh ketika datang tadi. Nizam mengeluarkan telefon bimbit androidnya dan membuka GPS. Ternyata jalan exit ke highway telah terlalu jauh.
Aku kini berada di tengah-tengah jalan lama yang menghubungkan apa dan ke mana, aku sendiri tidak tahu. Kiri dan kanan hanya pokok dan hutan.
Kami menyedari azan maghrib berkumandang di satu surau kecil ketika ingin keluar tadi, kami berhasrat untuk berhenti solat di mana-mana lokasi ketika dalam perjalanan pulang nanti maka kami tidak terus berhenti di surau tersebut.
Tetapi kini suara azan isyak telah pun berkumandang di radio. Dalam tidak sedar, telah hampir sejam kami sesat. Sementara itu, koordinat GPS tetap tidak dapat mengesan di mana lokasi kami. Nekad untuk berpatah balik walaupun tahu pasti akan mengambil masa dua kali ganda untuk bertemu jalan masuk, sempat aku berseloroh,
“Kita cari balik pasar malam tu, ini semua salah pasar malam tu!”.
Nizam yang tadinya ligat mencari jalan dan sesekali berbual hal memancing kini senyap. Mungkin keletihan agaknya. Mujur setelah berpatah balik mengikut jejak dan laluan yang ingat-ingat lupa, kami berjaya bertemu dengan kawasan berhampiran pasar malam tersebut.
Tetapi yang menghairankan, tiada langsung tanda-tanda ada pasar malam di situ. Takpelah, mungkin dah habis, fikir saya dalam hati.
Kali ini lebih mudah kerana aku tidak perlu menyusur jalan lain. Sebelum keluar dari kampung ke jalan besar, aku sempat berhenti dan bertanya kepada seorang pakcik yang kebetulan berjalan kaki di laluan bertentangan.
“Pak cik, mana pasar malam dekat situ?” pakcik itu kehairanan dan menjawab,
“Takde pasar malam dekat situ, lagipun mana ada perumahan dekat sini, siapa yang nak datang kalau ada pasar malam.”
Baki perjalanan yang ada, aku dan Nizam hanya diam seribu bahasa. Tidak sepatah pun perkataan yang keluar dari mulut masing-masing. Walaupun telah tiba di rumah, Nizam hanya mengambil dan memindahkan set beliau ke dalam keretanya dan terus berlalu.
Sempat aku menegur beliau sebelum masuk ke rumah, “Jumpa lagi Zam!” Tetapi tidak diendahkan oleh Nizam sebaliknya Nizam terus memecut laju pulang ke rumah.
Malam itu sebelum tidur, aku terima Whatsapp dari Nizam, cukup singkat, “penat…” katanya. Lega sedikit rasa di hati.
Tiba-tiba aku teringat, walaupun aku menempuh kawasan pasar malam tadi, sebenarnya tidak ada langsung pun kelibat seorang manusia di situ melainkan aku dan Nizam sahaja yang berada di dalam kereta.
Tiada penjual mahupun pembeli, hanya payung besar yang berwarna-warni dan meja jualan serta sedikit sayuran segar yang berlonggok. Sehingga kini, kejadian pelik itu masih terpahat di memoriku.
Tiada syarikat produk memancing atau badan-badan tertentu menganugerahkan titel SIFU atau MASTA kepada mana-mana pemancing. Titel yang ada cuma gelaran atau tanda hormat semata-mata. Namun, korang boleh diangkat sebagai sifu atau masta sekiranya mengamalkan sikap berikut:
Kita tidak lagi atau berhenti terus dari menilai dan menghukum pemancing lain. Sebaliknya mengambil sikap untuk fokus bagi merubah diri sendiri.
Kita boleh menerima minat pemancing lain seadanya. Kita faham makna perbezaan pendapat. Tidak perlu taksub kepada sesuatu teknik atau segmen memancing yang sealiran dengan minat sendiri.
Kita berani melepaskan kenangan lama yang pahit (kena kencing atau sebagainya). Tidak berdendam dan simpan dalam hati buat selama-lamanya.
Kita berhenti mengharap dan meminta dari pemancing lain, tetapi mula memberi. Biar sedikit kita memberi, tetapi jangan pernah meminta.
Kita melakukan sesuatu, hanya untuk mendapat ikhlas. Melakukan sesuatu bukan untuk mendapat pujian dan pengiktirafan netizen. Tidak tersinggung bila dikeji, dikutuk dan dihina netizen.
Kita berhenti menunjuk kepandaian, kehebatan dan mula mengakui kepandaian, kebaikan dan kehebatan pemancing.
Kita berhenti membandingkan hasil kita dengan hasil orang lain. Kita berdamai dengan diri sendiri. Tidak iri, dengki dan sakit hati melihat hasil pemancing lain.
Kita boleh bezakan antara dan keperluan memancing, lalu mengutamakan keperluan dari kehendak .
Kita berhenti meletakkan nilai kebahagian pada kebendaan. Kita lebih menikmati “strike” dari menikmati “mahalnya set pancing”.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...