Cacing air hidup berkumpul dalam jumlah yang banyak dan dapat dikesan dengan melihat himpunan tahi cacing ini di permukaan tebing sungai yang berair.
Cara untuk mendapatkannya ialah dengan menyeluk kedua-dua tangan hingga ke siku atau ke pangkal lengan, bila terasa cacing bergerak-gerak maka dengan segera mengaut dan menarik keluar selut yang mengandungi cacing tersebut.
Ads
Proses ini perlu dilakukan dengan pantas kerana ia cepat melarikan diri. Jika lambat maka sedikitlah cacing yang berbaki.
Cacing air ini merupakan santapan lazat bagi kebanyakan spesies seperti kelah, tengas, tengalan, lampam, patin, begahak, temoleh, temperas, baung dan lain-lain lagi ikan sungai.
Ads
Malah udang galah turut menyukai cacing tanah ini. Pendek kata ia sememangnya amat berbaloi mencarinya biarpun terpaksa berlumpur.
Ads
Diceritakan orang bahawa cacing air ini pantang dilangkah. Jika dilangkah ia akan putus. Sejauh mana kebenarannya tidak dapat dipastikan kerana saya sendiri tidak pernah buat eksperimen.
Begitu juga ketika mencangkuk cacing ini ke mata kail. Mulakan mencangkuk pada bahagian kepala dahulu. Jika dimulakan di bahagian ekor, badannya juga mudah putus.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Kita sudah ada umpan udang peram atau tapa khusus untuk memancing baung, kali ini kami ingin berkongsi pula cara-cara untuk menghasilkan umpan sotong peram pula. Umpan ini biasanya untuk memancing sembilang, duri dan lain-lain spesies bermisai. Jika kena pada lubuk, ikan gred A seperti jenahak, merah dan kerapu juga memakannya!
Bahan-bahan:
Sotong cumit (anggaran 500gm)
1 paket belacan
Cara penyediaan:
Terlebih dahulu ambil belacan dan bakar dengan api kecil. Boleh juga guna penyepit dan bakar secara langsung ke atas api atau gunakan tudung periuk sebagai lapik. Bakar jangan sampai hangus pulak… agak-agak je la. Tujuan dibakar untuk meningkatkan lagi bau belacan tersebut.
Potong sotong secara memanjang, saiz tak kisah…ikut selera pemancing dan saiz sotong. Kalau sotong cumit saiz kurang sejengkal biasanya potong 4 saja.
Selepas siap susun kepingan tadi atas kertas surat khabar untuk buang air dalam isi sotong. Tak perlu kering sgt. Atau boleh juga mengelapnya dengan kertas tisu. Tapi tidak perlu dicuci sotong terlebih dahulu.
Selepas itu sediakan satu mangkuk plastik atau bekas kedap udara dan tabur belacan untuk lapisan pertama. Tidak perlu tabur banyak sangat, memadai sajalah.
Setelah itu susun isi sotong tadi secara memanjang atas lapisan belacan tadi dan ulang proses yang sama sehingga selesai. Tabur ikut selera pemancing. Kalau nak lagi power belacan kasi lebih.
Tutup mangkuk dengan kemas dan ketat lepas tu bungkus dengan plastik dan ikat ketat-ketat. Atau boleh juga simpan terus dalam bekas kedap udara dan masukkan dalam peti ais. Perap dalam masa sekurang-kurangnya 24jam sebelum menggunakannya.
Tip tambahan:
Umpan ini hanya sesuai digunakan sekali saja. Oleh itu buat anggaran banyak mana nak guna sebelum menghasilkannya.
Selain sotong, anda juga boleh menggunakan ikan lain seperti ikan belanak, selayang atau tamban.
Udang Galah sebenarnya tidak memilih umpan, tetapi pemancing mesti juga memikirkan ketahanan umpan pada mata kail. Antara umpan terbaik untuk memancing udang galah adalah cacing tanah, anak udang atau udang nasi atau udang beras dan organ dalaman ayam.
Waktu memancing
Memancing udang galah sebaiknya jangan masa air pasang dan cuaca dengan curahan hujan cukup tinggi. Waktu terbaik memancing udang galah ialah pada saat kemarau dan air surut.
Biasanya udang sangat agresif pada malam hari. Tempat kegemaran bagi udang galah biasanya di antara kayu atau balak yang terendam di sungai. Selain itu udang galah juga sering bermain di dasar sungai.
Beberapa hal yang perlu diperhatikan untuk menentukan lokasi terbaik udang galah antaranya, kenali struktur dasar sungai tempat di mana kita memancing. Selalunya dasar sungai berbentuk liku-liku dan beralun-alun.
Kedua, lihat pada keadaan arus sungai lazimnya aliran air agak perlahan atau alirannya tidak terlalu deras. Jika arus deras menandakan kawasan tersebut lebih dalam, manakala aliran perlahan pula adalah sebaliknya.
Cara memakan umpan
Apabila udang galah beratnya lebih 300 gram, maka umpan akan langsung dilarikan dan hujung joran akan langsung melentik atau melengkung.
Bagi udang ukuran biasa dan kecil, biasanya sewaktu umpan dimakan, umpan akan dipegang dan ditarik-tarik menggunakan sepitnya sehingga hujung joran akan melentik beberapa kali seperti ikan kecil yang makan.
Memancing udang galah haruslah sabar dan toleransi. Pada saat umpan dimakan oleh udang, joran akan melentik atau melengkung, yang perlu kita lakukan tahan saja jangan disentap kerana ia akan menjadikan mulut udang koyak dan pastinya udang galah akan terlepas.
Jika udang sudah mengena, angkat joran perlahan-perlahan sambil mengarau kekili dengan posisi hujung joran mendongak ke atas sehingga line tegak lurus dengan permukaan air.
Udang biasanya jika terkena pancing akan mundur ke belakang dan membengkokan tubuhnya, jika disentap atau ditarik terlalu kuat akan membuat mulutnya koyak terkena kail.
Jadi pancinglah dengan atau situasi yang tenang dan santai. Kadang-kadang juga udang galah makan tanpa ada gerakan, jadi untuk 10-15 minit sekali perhatikan keadaan umpan dengan karau perlahan lebih kurang 1 kaki karauan.
Isyarat udang memakan umpan adalah tidak sama mengikut keadaan. Ada pula yang menyambar dengan kasar seperti ikan. Sambaran yang kecil dan perlahan tidak semestinya udang kecil dan sambaran yang kasar dan kuat tidak semestinya udang besar.
Cara memancing di atas sampan
Untuk memancing di atas sampan, paling sesuai dan selesa ialah 2 orang untuk sebuah sampan sepanjang 12-17 kaki. Lima atau tiga batang joran seorang adalah bertepatan. Tidak menghairankan jika ada yang menggunakan lebih dari itu jika ia mampu mengawal kesemuanya.
Susunan joran di atas sampan semasa memancing juga penting mengikut aturan yang betul seperti joran 1 dilontar jauh, diikuti joran 2 dekat sedikit dan begitulah seterusnya hingga joran terakhir dihulur saja bawah sampan. Ini semua dapat mengelakkan dari berbelit sesama sendiri.
Melontar umpan sehingga batu ladung menjejaki dasar sungai, kemudian karau tali dikekili sehingga tegang. Seterusnya diletakkan joran di tepi sampan tanpa dipegang dengan tangan dan tunggu. Jika sudah pasti udang telah menelan umpan lakukan sentapan yang lembut atau terus mengarau tali.
Memancing udang galah di tebing (menebing)
Pilih kawasan tebing yang lapang dan tidak terlalu bersemak untuk mengelakan gangguan haiwan atau binatang seperti ular dan sebagainya. Ia juga untuk memudahkan untuk membuat lontaran dan karauan pancing. Lima atau tiga batang joran seorang adalah bertepatan dan mencukupi.
Susunan joran di tepi tebing juga penting semasa memancing mengikut aturan yang betul seperti joran 1 dilontar jauh, diikuti joran 2 dekat sedikit dan begitulah seterusnya.
Ini semua dapat mengelakkan dari berbelit sesama sendiri. Pastikan juga menggunakan pancang atau rod holder bagi mengelakkan joran terjun ke dalam sungai.
Ketika pertama kali tiba di sini, penulis melihat cukup ramai pemancing memenuhi lubuk di tepi sungai dengan berbekalkan joran masing-masing. Di Gerik, memancing tenggalan boleh dikatakan bermusim dan spesies ini turut menjadi antara spesies kegilaan pemancing di Sungai Perak.
Sebelum ke sini, rakan penulis telah mencuba ‘riki’ tenggalan di sini selama 3 minggu berturut-turut. Menurutnya, dalam tempoh itu, hanya sekali dia pulang hampa dengan tangan kosong. Setelah berkira-kira, kami berpendapat kemungkinan mendaratkan tenggalan masih tinggi.
Namun hari pertama, kami pulang dengan tangan kosong. Keadaan arus sungai yang deras membawa sampah dan daun-daun kering agak mengecewakan. Umpan yang dibaling hanya mendaratkan sampah apabila dikarau.
Menurut pemancing di sini, sampah yang dibawa arus menyebabkan umpan menjadi tersorok antara kemungkinan yang menyebabkan kami ‘kumpau’ sampai ke pagi. Menurut Pak Andak, seorang pemancing tegar yang ditemui, arus deras disebabkan berkemungkinan daripada pelepasan air di empangan sekitar sini.
Hari kedua, kami mencuba lubuk berlainan memandangkan arus sungai masih tidak berubah. Selepas Asar, kami meneruskan misi tenggalan di Gerik ini. Keadaan tidak banyak berubah berbanding semalam, dari petang hingga ke malam langsung membawa ke pagi masih hampa.
Sekitar jam 7.00 pagi, barulah kami dikejutkan dengan lenturan hujung joran. Bergegas rakan penulis menyentap dan berjaya menaikkan tenggalan pertama. Selepas itu, barulah agak galak ikan menjamah umpan. Dah extra time barulah ikan di sini sudi menjamah umpan.
Pak Andak yang tiba pagi tersebut turut tidak ketinggalan menaikkan tenggalan bersaiz sekitar 600 gram. Menurut Pak Andak, saiz tenggalan yang lebih besar sudah sukar diperolehi dengan mata pancing sekarang.
Beberapa pemancing lain yang melabuhkan pancing sekitar kami juga turut berjaya mendaratkan spesies tenggalan. Namun saiznya tiada yang bersaiz lebar dua tapak tangan seperti yang diidamkan. Cuma kateh saja.
Istilah kateh digunakan oleh pemancing di sini bagi merujuk kepada tenggalan juvenil atau tenggalan yang bersaiz kecil. Istilah ‘kateh’ terhapus apabila saiz tenggalan tersebut mencapai saiz ‘secekak’ iaitu mampu dicekak oleh tangan orang dewasa.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...