IKLAN

 

Sotong katak bukanlah sotong buruan utama kaki candat. Selalunya katak ditangkap secara tidak sengaja ketika pencandat memburu sotong mengabang dan amat sukar ditangkap oleh pecandat-pecandat sotong torak.

 

Ini disebabkan pencandat torak kerap mengunjun jig pada paras pertengahan air. Sotong katak selalunya ditangkap dalam jumlah yang banyak oleh nelayan-nelayan menggunakan bubu. Saiz tangkapan selalunya saiz yang hampir sebaya.

 

Sebelum kita belajar tentang teknik menjerat sotong katak, terlebih dahulu kita perlu tahu tabiat sotong ini. Pengetahuan tentang tabiat katak akan memudahkan proses kita menjeratnya. Sotong katak merupakan sotong yang mencari makan di bahagian dasar.

 

 

Jarang sekali sotong ini naik ke permukaan atas air kecuali di kawasan cetek. Sotong katak boleh dikategorikan dalam kumpulan sotong yang pemalu. Pergerakannya untuk melarikan diri juga agak lambat berbanding sotong-sotong lain.

 

Sotong katak menangkap makanannya secara memeluk dan menerkup. Ini kerana sotong katak tidak mempunyai dua tentakel seperti sotong lain yang memburu secara menyumpit dan memegang dengan laju.

 

Disebabkan semua tantakelnya hampir sama panjang, setiap tentakel berpotensi untuk terkena mata candat. Selalunya candat udang akan dipeluk kemas di dalam semua tentakelnya.

IKLAN

 

 

Warna candat

 

Warna candat yang digunakan tidak kisah. Saya pernah dapat sotong katak menggunakan warna jig hijau dan merah. Saiz di kawasan pantai 2.0 dan 2.5

 

Tarik candat secara perlahan atau kenjutan lembut Jangan tarik terlalu laju. Badan sotong katak lebih berat menyebabkan ia gagal mengejar candat yang ditarik laju. Kalau boleh… tarik candat secara mengheret dan berhenti-henti.

 

IKLAN

 

Lokasi memainkan candat hampir dengan dasar.

 

Agak sukar menjerat katak jika candat dimainkan di tengah atau permukaan air kecuali di kawasan cetek. Peratus tarikan di kawasan dasar adalah paling tinggi. Adakalanya tarikan berlaku ketika candat hampir hendak dinaikkan ke atas.

 

Melayan Sotong Katak

 

Sotong katak yang terkena candat sukar terlepas jika saiz candat sesuai dan mata candat tajam. Keadaan ini berlaku kerana lengan yang terkena candat lebih besar dan tusukan mata candat akan lebih kukuh. Jangan tarik terlalu kuat. Sotong katak tidak kuat melawan kecuali sotong bersaiz besar.

 

 

Ketika ditarik, rasanya sangat berat seperti menarik plastik berisi air. Selalunya sotong katak mengikut sahaja tarikan pencandat dan membalas dengan tarikan lembut. Sotong katak selalunya akan lebih kuat ketika di tarik menghampiri permukaan air.

 

Perlu juga diketahui, sotong katak mempunyai dakwat yang cukup banyak dan lebih hitam. Ada juga pencandat yang melengah-lengah untuk mendaratkan sotong katak sehingga dakwatnya habis dilepaskan di dalam air.

 

Sotong katak bukan sotong yang sedap di makan. Dagingnya lebih keras dan liat. Jika tidak kena cara masakannya memang tak best langsung.

 

 

Jika anda bukan peminat sotong katak, disyorkan sotong yang berjaya dicandat dilepaskan semula ke habitatnya agar ia dapat memberikan pertarungan di lain kali.

(Sumber: sotonglaut.blogspot.com)