
Penggunaan assist hook adalah satu kemestian dalam segmen pancingan mengunjun atau jigging. Terdapat pelbagai kaedah untuk mengikat assist hook. Apa yang kami sediakan ini adalah salah satu daripadanya yang lebih khusus untuk fast jigging.
Alatan keperluan:
Jig hook
Kevlar (100-200lb)
Solid ring
Gam gajah
Shrink tube
Tutorial 1
Jangan potong tali kevlar terlebih dahulu dan masukkan hujung tali kevlar ke dalam lubang cincin mata kail.
Tutorial 2
Masukkan pula split ring ke hujung tali tersebut.
Tutorial 3
Masukkan kembali hujung tali kevlar ke lubang cincin mata kail.
Tutorial 4
Buat ukuran dengan siaz jig sebelum memotong tali kevlar. Sebaik panjang tali setengah dari panjang jig.
Tutorial 5
Buat simpulan biasa atau simpul mati dengan kedua-dua hujung tali kevlar. Jangan ketatkan simpulan.
Tutorial 6
Masukkan hujung mata kail ke dalam simpulan yang dibuat tadi.
Tutorial 7
Ketatkan simpulan atau ikatan yang terhasil pada teras mata kail.
Tutorial 8
Letakkan gam pada ikatan dan potong sedikit lebihan simpulan.
Tutorial 9
Masukkan shrink tube menutupi simpulan dan bakar dengan lighter untuk mengecutkannya.
Tutorial 10
Ikatan mata jig yang cepat dan ringkas untuk digunakan.
Panduan Asas Pancingan Kolam Komersial

Kebanyakan kaki pancing terutamanya di Lembah Kelang pastinya pernah memancing di kolam berbayar air tawar. Tidak kiralah kolam pancingan tangkap dan lepas atau kolam berlauk. Sekiranya korang belum pernah memancing dan bercadang untuk mencubanya, di sini kami sediakan sedikit panduan untuk korang pratikkan.
Survey dulu
Berkenalan dengan keadaan dan situasi kolam terlebih dahulu. Kalau bertanya terus pada pengusaha dan pekerja kolam pun bagus juga. Ketahui port strategik, umpan dan teknik yang digunakan kerana lain kolam lain umpannya.
Info spesies
Ambil tahu juga jenis-jenis ikan yang ada di dalam kolam. Ini penting untuk mengetahui teknik dan persembahan umpan yang betul. Selain itu tanya juga jadual pelepasan ikan bagi mengelak daripada silap umpan dan kumpau kerana ikan tak bukak mulut. Terutamanya jika ia adalah kolam rohu.
Ikut peraturan
Patuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh pengusaha kolam. Terutamanya jumlah penggunaan mata kail bagi mengelak daripada putih mata kerana ikan yang diperoleh tidak layak disenaraikan dalam ranking jackpot.
Set pancing
Pastikan juga set pancing yang digunakan adalah bersesuaian dengan saiz ikan yang terdapat di dalam kolam bagi mengelakkan kes melayan ikan terlalu lama sehingga mengganggu pemancing lain. Dan lebih penting lagi ikan yang dipancing berjaya didaratkan dengan sempurna.
Adab memancing
Elakkan membaling umpan secara menyilang kerana tidak semua kaki kolam bersifat mesra, bahkan ramai otai kolam yang bersifat ala-ala KL Gangster.
Joran terbang
Sebaiknya guna pancang yang sesuai dan pastikan drag pancing telah dilonggarkan sebelum duduk bersantai menunggu umpan dimakan ikan bagi mengelakkan daripada berlakunya kejadian pancing terbang ke dalam kolam.
Kerjasama
Sentiasa peka pada aktiviti memancing di kolam terutama bila pemancing lain sedang menarik ikan. Beri kerjasama untuk mengelakkan tali pancing bersilang atau menyentap tali pancing pemancing yang sedang melayan ikan.
Sekiranya giliran kita pacak dan bertarung dengan ikan, usah segan untuk bersuara sebagai isyarat kepada pemancing agar tidak menyentap tali pancing kita sekaligus menyebabkan ia putus, ikan terlepas dan kita berputih mata.
Saling tolong menolong. Sekiranya pemancing di sebelah menaikkan ikan, tolonglah tangguk kerana kita juga akan diberi pertolongan jika bertarung dengan ikan nanti.
Soal Jawab Memancing – Boleh Ke Sambung Kabel Dawai Pada Pintail??

Penggunaan perambut kabel atau dawai untuk memburu spesies bergigi tajam seperti tenggiri, alu-alu, toman atau pacu bukanlah satu kemestian. Sebaliknya ia lebih menjurus sebagai insuran saja. Faktor utama kenapa perambut dawai ini digunakan kerana bimbang pemangsa-pemangsa bergigi tajam ini akan menelan umpan atau gewang hingga boleh memutuskan tali perambut.
Oleh yang demikian penggunaan perambut dawai adalah kemestian terutamanya bagi pancingan menggunakan umpan alami ataupun umpan tiruan seperti pintail dan sebagainya lagi. Ia juga perlu digunakan untuk casting dan trolling di laut kerana tidak pasti spesies apa yang bakal menyambar gewang tersebut.
Tidak dinafikan juga perambut dawai lebih mudah dilihat berbanding leader fluorocarbon tetapi ia masih boleh diatasi dengan menggunakan perambut dawai yang lebih halus diameter. Saya mencadangkan perambut dawai berkuatan 40lb ke bawah. Perambut dawai juga tidak perlu panjang, memadai 10cm ke bawah.
Seperkara yang perlu anda ingat, Pintail biasanya dimainkan dengan karauan yang laju. Dengan karauan yang laju, saya tidak fikir tenggiri berkesempatan untuk melihat dan menilai perambut yang digunakan. Apa yang jelas kelihatan hanyalah aksi renangan pintail tersebut.
Perihal Ikan Jenahak Yang Wajib Diketahui Pemancing

Ikan jenahak… ada ke mana-mana pemancing terutamanya pemancing laut dalam yang tidak mengenali ikan jenahak? Kalau tak kenal eloklah anda berhenti memancing. Ia satu keaiban besar bagi seorang pemancing.
Jenahak merupakan satu spesies ikan yang cukup popular di kalangan pemancing. Selain rasa isinya yang sedap, ia juga mempunyai nilai komersial yang tinggi di pasaran. Tidak hairanlah ikan dari keluarga snapper yang bersisik keemasan dan bertanda hitam bulat di badannya itu sentiasa menjadi buruan para pemancing. Bagi yang berjaya menaikkan spesies ini, khususnya yang bersaiz bagak, ia dianggap sebagai satu trofi peribadi.
Jenahak berwarna emas kebiasaannya diperolehi di lubuk-lubuk yang dalam dan jenahak yang mendiami lubuk yang cetek mempunyai warna yang lebih pudar. Jenahak dikatakan memiliki waktu makannya tersendiri iaitu antara lewat malam hingga ke pagi, khususnya antara 12 -6 pagi. Namun kadang-kadang jenahak kerap juga dinaikkan pada waktu siang.
Jenahak lebih gemar memilih umpan segar dan masih hidup. Umpan terbaik adalah sotong cumit, kurita dan udang lipan. Bagaimanapun, umpan hirisan juga boleh menggoda jenahak. Kaedah lain seperti jigging juga boleh memikat jenahak, namun ia hanya sesuai di sesetengah tempat lokasi sahaja. Dalam erti kata lain jenahak kurang memakan jig.
Spesies berharga ini sering bergerak secara kumpulan kecil dan apabila ia mula makan, bersedia dengan serangannya sehingga ia mula berhenti makan. Amat penting, pastikan pada waktu keemasan ini, tidak berlaku kes tali putus atau rabut. Ini kerana jika ia berlaku, tiada lagi ragutan diterima kerana jenahak telah lari dari lubuknya. Untuk mencari jenahak, tekong kena rajin tukar lubuk.