Kebiasaannya pengilang yang mengeluarkan bot telah menetapkan spesifikasi ukuran bot yang boleh dibawa dengan meletakkannya di atas bumbung kereta.
Kelebaran bot sekitar 4 kaki dan panjang 12 kaki ke bawah boleh dibawa di atas bumbung kenderaan.
Namun aspek keselamatan adalah perkara yang tidak boleh diabaikan kerana ianya melibatkan nyawa. Beberapa peraturan perlu dipatuhi.
Bagi kenderaan yang ingin membawa bot, ia mestilah mempunyai permit kelulusan dari Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ).
Beberapa dokumen di perlukan iaitu borang permohonan dari JPJ, salinan geran kenderaan dan lakaran saiz bot yang ingin dibawa.
Ia adalah percuma namun dokumen-dokumen yang diperlukan hendaklah lengkap sebelum diserahkan kepada Bahagian Teknikal JPJ untuk dinilai.
Borang permohonan kelulusan untuk membawa bot boleh di dapati di laman sesawang JPJ.
Ads
Peralatan
Roof carier atau palang sangkut di atas bumbung merupakan elemen penting kerana ia akan menjadi penahan bot agar tidak mencalarkan cat kenderaan. Terdapat 2 jenis body kereta yang mempunyai gutter dan tidak mempunyai gutter.
Anda boleh ke kedai aksesori atau kedai menjual alat tersebut untuk memasangnya. Tapi perlu diingat, palang hendaklah melebihi kelebaran bot tersebut supaya ia mampu teguh berada di landasannya.
Ads
Terdapat pelbagai jenama di pasaran daripada yang biasa hingga yang berjenama. Roof carier yang biasa digunakan adalah daripada jenama THULE.
Walaupun harganya agak mahal namun pembuatannya amat diyakini untuk membawa beban yang dianggarkan sekitar 40 kilogram di atas bumbung kereta.
Cargo Lash atau tali pengikat dengan kekunci wrench juga antara peralatan yang sangat penting untuk mengikat bot.
Bagi sebuah bot ia memerlukan 4 tali pengikat yang kukuh bagi memastikan ia tidak berganjak atau meluncur keluar dari palang penyangkut ketika bot dibawa atau kenderaan berhenti secara mengejut.
Ads
Caranya, 2 tali perlu di ikat di bahagian palang bumbung kenderaan bagi memastikan ianya tidak berganjak ke kiri atau ke kanan ketika dibawa.
Di bahagian hadapan dan belakang pula, tali perlu diikat kemas dan gunakan bahagian penarik kereta kecemasan sebagai lubang pengikat.
Ini amat perlu di beri perhatian kerana ketika kereta berada di atas jalan ia bukan sahaja membawa sebuah bot malah menempuh angin yang boleh mengancam keselamatan orang lain.
Tali perlu diikat kemas dan dikunci menggunakan wrench secara ketat. Pilih tali yang berkualiti dan ia boleh di didapati di kebanyakan kedaikedai hardware.
Memancing di perairan pelantar minyak boleh dianggap antara spot yang begitu mencabar. Perjalanan yang jauh dan memenatkan benar-benar menguji kekuatan fizikal dan metal. Tapi bagi yang berjiwa kental, di sinilah spot terbaik jika mahu merasai kudrat perlawanan menentang spesies monster!
Tidak dapat dinafikan perairan Terengganu dan Kelantan telah dilimpahi rahmat yang Maha Esa kerana dikurniakan sumber alam semula jadi iaitu gas dan petroleum. Tidak hairanlah jika kita dapat saksikan banyak pelantar minyak yang digelar ‘boreng’ berdiri megah bertaburan di Laut China Selatan.
Namun pemancing lebih tertarik dengan sumber kekayaan di dasarnya yang melimpah ruah. Bukannya minyak atau gas tetapi pelbagai spesies sasa dan berharga yang berkongsi hidup di sekitar api boreng (panggilan tempatan untuk nama pelantar minyak). Maka tidak hairanlah jika semua bot-bot tekong tersohor habis ditempah sejak setahun lalu.
Dari Kuala Besar, Tumpat hinggalah ke Kuala Besut, Kuala Terengganu dan Dungun bot-bot pancing laut dalam laris macam pisang goreng panas. Saya juga bernasib baik sempat membuat tempahan awal, jika tidak melepas lagilah peluang ke pelantar minyak.
Bagi penggemar popping dan jigging memang inilah lokasi bagi mereka melepaskan geram sekurang-kurangnya setahun sekali. Tekong dan awak-awak yang profesional sentiasa memberi tunjuk ajar kepada pemancing-pemancing yang baru berjinak-jinak ke sana. Bagi otai-otai no problem cuma kelengkapan sahaja yang perlu diperkemaskan lagi.
Kekili yang dah longgar skru dan gear tu usah dibawa lagi nanti hancur dikerjakan gerepoh mega di sini. Trip kali ini kami ingin menjelajah kesemua pelantar minyak yang ada. Bermula dari Pelantar Puteri Dulang, Semangkok kemudiannya ke Bekok dan akhir sekali ke GT Triangle di ZEE hujung sana yang bersempadankan perairan Indonesia.
PANGGILAN PUTERI DULANG
Cuaca pada hari pertama kelihatan tenang sepanjang perjalanan. Sasaran kali ini tentulah gerepoh bagak di samping spesies mahal seperti ikan merah, kakap merah dan pelbagai spesies kerapu. Dalam perjalanan, kami sempat singgah di pelantar Puteri Dulang. Target kami di sini untuk melayan ikan pisang dan ebek. Bukannya sukar sangat nak pancing si rainbow runner ini.
Kita perlu hanya menghanyutkan umpan sotong segar dan biarkan terapung dibuai arus di belakang bot. Kalau boleh gunakan batu ladung kecil agar umpan sedikit tenggelam. Hulurkan umpan jauh ke belakang hingga rapat dengan pelantar Puteri Dulang ini. Memang banyak rainbow runner yang menyambar.
’Pesta pisang’ berjaya mengejutkan rakan-rakan yang masih dibuai mimpi. Ada yang tidak sabar lagi mencuba nasib setelah lama berehat di bilik tidur. Kasar-kasar betul saiznya kali ini hingga ada yang mencecah hampir 10 kg setiap ekor. Namun apa yang menarik apabila merah suman juga turut mengapungkan diri bermain di permukaan air. Banyak juga merah suman dikerjakan oleh Azman, Asri dan Wahab sepanjang petang dan waktu malam.
TENGGIRI SEMANGKOK
Keesokan paginya perjalanan diteruskan. Sampai sahaja di Pelantar Semangkok, awak-awak segera mengejutkan kami yang masih dibuai mimpi. Setelah beberapa jam di alun ombak akhirnya sampai juga ke destinasi pilihan. Tekong menjerit agar segera bersedia dengan set popping dan jigging. Dari jauh nampak kelibat spesies menyambar sedang galak mengejar anak-anak ikan di permukaan air.
Kalau tak tenggiri pun sudah tentu gerombolan gerepoh. Masing-masing menjerit dan keadaan tiba-tiba menjadi riuh rendah. Tekong segera merapati pelantar tersebut. Wajah jelas terasa bahang panas api boreng apabila bot semakin menghampirinya. Rakan-rakan yang sejak dua hari lalu memendam perasaan mula bersiap sedia dengan senjata masing-masing. Azman dan beberapa orang rakan lagi kaki popping segera ke hadapan bot untuk melancarkan serangan.
Masing-masing seolah-olah geram dicabar sang gerepoh yang semakin galak. Dalam ramai-ramai nasib Wahab dan Sobri lebih baik. Namun nasib kurang baik apabila banyak popper putus akibat gerepoh menyelinap ke tiang pelantar yang penuh siput teritip tajam. Sobri yang gemar berjigging mendapat satu sambaran. Rupa-rupanya jig yang di unjun disambar tenggiri. Pecutannya juga boleh tahan. Berdesup laju di permukaan air tanpa memberi amaran.
Pengalaman memancing di Yan, Kedah membuatkan kami lebih bersedia dengan kehadiran tenggiri cuma yang bimbangnya tiang pelantar yang selalunya menjadi penyelamat. Selain jig ada juga yang melontar popper dan juga casting bulu ayam dan ’kembung spinner’. Apa yang penting kita harus mencuba dan terus mencuba. Ternyata kehadiran tenggiri sedikit sebanyak menyelamatkan keadaan.
Malam itu cuma Asri berjaya menewaskan beberapa ekor tenggiri dan ikan bandang namun kelibat gerepoh masih gagal dikesan. Akibat kurangnya sambutan daripada ’target spesies’ ini kami mengambil keputusan terus ke pelantar seterusnya.
Pada hari hujung minggu awal bulan yang lalu, satu komplot untuk mencari tenggiri telah dilaksanakan dengan jayanya.
Komplot diuruskan oleh kenalan saya di Pekan, Pahang yang mana segala urusan sewaan bot, makan dan minum dan termasuk makan malam diuruskan oleh dia.
Bagi saya, hobi memancing ini untuk mendapatkan hasil buruan adalah perkara kedua. Perkara pertama ialah apabila berjaya pergi keluar memancing.
Ini kerana perlu membahagikan masa antara kerja, hobi dan kawan-kawan menjadikan satu cabaran untuk memenuhi komplot memancing itu.
Walaupun jeti kami di Cenderawasih, Kuantan kami perlu tiba di Kuantan dari Kuala Lumpur seawal jam 5 pagi bagi memenuhi selera makan ikan tenggiri yang makan pada awal pagi.
Ini juga bagi menampung waktu masa yang diperlukan untuk sampai ke lokasi unjam yang berada di Kemaman, Terengganu mengambil masa lebih kurang 2 jam.
Sesuatu yang sangat mengujakan kerana jarang sekali kami perlu berlepas dari jeti seawal 5 pagi.
Bot sewaan kami berlepas tepat jam 5.30 pagi. Saya dan rakan-rakan mengambil kesempatan untuk tidur bagi memberi tenaga sewaktu tiba di lokasi unjam.
Saya diberi kelebihan untuk tidur atas `tilam’ di bot memandangkan saya memandu di sepanjang perjalanan.
Ikan tenggiri yang terdiri dalam keluarga Scomberomorus disukai oleh rata-rata pemancing di Malaysia kerana kekuatannya mencuri tali keluar dari kekili hingga menyebabkan kekili berdesing. Deringan inilah yang amat dirindui oleh rata-rata pemancing.
Saya sebelum ini didedahkan dengan teknik pancingan berhanyut menggunakan ikan tamban bagi memikat sang tenggiri.
Lain pula pada kali ini teknik yang digunakan kali ini 100 peratus menggunakan gewang besi yang digelar speed jig.
Tiba di lokasi unjam kami bersemangat tinggi melempar gewang dan menggunakan teknik karau laju bagi meniru aksi anak ikan yang berenang bebas.
Tekong menghanyutkan bot berdekatan kawasan unjam bagi memikat tenggiri.
Boleh dilihat, kumpulan ikan tongkol meloncat-loncat kegembiraan di tepi bot kami tapi memandang ia bukan ikan sasaran kami hanya melihat dengan tenang tetapi geram.
Hampir lenguh tangan kami mengarau laju jig tetapi tenggiri tidak berjaya dipikat. Tekong memberitahu kami yang karauan kami tidak cukup laju.
Sampai bergegar-gegar bahu kami barulah tekong luluskan tahap kelajuan itu.
Tidak memerlukan masa yang lama seekor tenggiri bersaiz lengan budak umur 1 tahun berjaya dipikat oleh ahli komplot.
Selang beberapa minit seeokor lagi tenggiri juga bersaiz lengan budak menyambar jig. Tiada pertarungan hebat berlaku kerana tenggiri agak kecil.
Seekor haruan tasik juga menyambar jig ahli komplot lain yang memberikan tarungan yang agak mendebarkan.
Agak tertekan melihat ahli komplot dah dapat melayan ikan saya mengambil keputusan untuk tidur. Tidak dinafikan teknik karau laju gewang ini memenatkan saya.
Saya dikejutkan dengan jeritan ‘dorado! Dorado!’. Rupa-rupanya satu pertarungan antara tekong dan seekor ikan dorado yang bersaiz kasar.
Saya teruja kerana ituada lah antara ikan ikan idaman saya yang juga menjadi buruan. Tanpa berlengah-lengah lagi saya melempar jig dan mengarau selaju mungkin bagi memikatnya.
Tidak semena-mena satu henjutan dirasakan. Tanpa membuang masa saya menyentak joran bagi mengemas kedudukan mata kail pada mulut ikan.
Kedengaran bunyi kekili berdesing yang mengubat rindu. Tekong menjerit `tenggiri tu!’.
Saya memastikan sewaktu ikan berenang patah balik ke bot tali sentiasa tegang bagi mengelakkan dipotong oleh gigimya yang tajam seumpama pisau.
Selepas beberapa minit ikan keletihan dan tekong berjaya membantunya naik ke atas bot.
Kami bersyukur kerana perairan di Kemaman banyak mempunyai unjam yang masih banyak menyimpan berbagai bagai jenis spesies.
Walaupun hujan lebat kami masih memburu ikan target kami bagi mengumpul sebanyak mungkin ikan sasaran kami.
Sepanjang waktu memancing hampir tidak dapat dihitung berapa ketul jig kami dicukai atau sangkut pada unjam.
Demi hobi dan keseronokan apalah sangat nak dibandingkan dengan perkara itu, bukan? Kami hadap situasi itu dengan sempurna bagi mengelak kemurungan.
Selepas bot berlabuh di jeti dan menurunkan barang kami membahagikan ikan sama rata. Dan saya bersiap untuk keseronokan seterusnya iaitu acara makan.
Perkara wajib selepas memancing ialah makan beramai-ramai ikan segar terus dari lautan.
Restoran Cina yang diyakini halal menjadi pilihan kami untuk memasak hidangan menjamu selera.
Jelas terpancar kepuasan di mata setiap ahli sungguh pun tangan kami dah terasa besar sebelah akibat teknik karau laju.
Selesai makan kami berangkat pulang ke Kuala Lumpur. Satu rekod bersejarah kerana sepanjang memancing saya tidak pernah terlalu penat begini.
Bayangkan dari Kuantan untuk ke Kuala Lumpur mengambil masa 4 jam akibat sering berhenti dan tidur bagi mengelakkan kecelakaan jalan raya.
Sampai di hadapan rumah saya pun kami sambung tidur dalam kereta sampai Subuh. Nak angkat jari pun dah tak larat.
Kuantan, Pahang terkenal dengan kepelbagaian padang pancingannya. Dari light jigging, micro jigging, pancingan pantai, pancingan muara dan tak ketinggalan pancingan sungai pergunungan.
Padang pancing yang terkenal seperti perairan Balok sehingga ke perairan Kempadang, muara-muara dari Cherating ke Cherok Paloh, sungai-sungai pergunungan seperti di
Sungai Lembing dan hulu Sungai Kuantan menyediakan variasi ikan sesuai dengan semua genre pancingan yang dapat anda bayangkan.
Walaupun begitu, dengan peredaran masa, pembangunan dan penerokaan tanah dan pesatnya perkembangan sukan pancingan rekreasi, padang-padang pancing ini semakin lemah dan tidak berdaya dalam menangani tekanan pemancing-pemancing.
Artikel ini bertujuan untuk membongkar satu penemuan peribadi penulis tentang betapa kroniknya penurunan bilangan dan kualiti sumber perikanan dari kaca mata seorang pemancing rekreasi.
IMBAS KEMBALI
Segalanya bermula apabila penulis menemui sebuah sungai yang mana penulis yakin amat jarang dikunjungi pemancing.
Semakan melalui Google Map pada ketika itu menunjukkan sungai itu mengalir melalui hutan belantara pedalaman Kuantan tanpa melalui sebarang penempatan manusia.
Aksesnya agak senang kerana terdapat jalan raya hingga ke hulunya dan muaranya berakhir di jalan utama Kuantan-Sungai Lembing.
Trip tinjauan pertama penulis amat memberangsangkan. Boleh dikatakan sungai tersebut bertanggungjawab membekalkan stok sebarau yang sentiasa diburu kaki pancing di sekitar Hulu Kuantan.
Ini kerana, sungai inilah satu-satunya sungai yang tidak dapat ditembusi alirannya kecuali di hulu dan muaranya.
Bermula dari situ, penulis telah merangka satu trip menggunakan bot getah, untuk berhanyut dari hulu hingga ke muara untuk menduga penghuni sungai tersebut.
Dua kereta diperlukan, satu diletakan di hilir, dan satu lagi ke hulu membawa segala peralatan dan bekalan.
Kereta pertama tadi akan digunakan untuk mengambil kereta kedua setelah berhanyut sepanjang sungai di penghujung trip.
Berbekalkan GPS, sebuah bot getah serta hati nekad mengharungi jeram deras dan binatang liar, penulis berjaya menghilir sungai tersebut dan menaikkan beberapa sebarau dalam berat kira-kira 1-3 kg.
Pendekatan hit & run iaitu tidak menduga lama satu-satu lubuk terpaksa penulis amalkan kerana takut tidak cukup masa untuk sampai ke muara sebelum hari gelap.
Walaupun trip tersebut amat berjaya tanpa sebarang masalah, penulis tekad tidak akan mengulanginya kerana penat jerih dan risiko yang dihadapi.
JEJAK SPOT LAMA
Setelah lama ditinggalkan terdetik hati penulis untuk menduga kembali sungai tersebut setelah menaikkan badong seberat 3kg di bahagian hulunya sebelum ini.
Bermacam tanda tanya bermain di fikiran tentang apa perubahan sungai tersebut setelah lama dilupakan.
Penulis yakin keadaannya masih sama seperti dulu yakni tiada tanda-tanda pencerobohan pembalakan mahupun aktiviti perladangan di kawasan tersebut.
Bersama seorang caster tegar dari Pulau Labuan, Faderick atau nama pangilannya Ikau telah nekad untuk menghilir sungai tersebut sekali lagi.
Sebuah bot fiber glass 13 kaki milik saudara Suhardi digunakan kali ini berbanding dulu menggunakan bot getah. Trip bermula seawal jam 7.00 pagi.
Ternyata andaian awal penulis meleset sama sekali. Dalam perjalanan ke hulu di mana tempat bermulanya berhanyut, sudah kelihatan kesan gelojoh tangan manusia mengikis keindahan hutan.
Kawasan yang dulunya hutan tebal kini gondol digantikan pokok kelapa sawit. Hancur luruh hati melihat keadaan tersebut.
Musim tengkujuh yang melanda Pantai Timur baru-baru ini telah membawa pasir dan lumpur dari bukit-bukit gondol tersebut terus ke dalam sungai.
Sungai yang dulu dasarnya berbatu kelikir kini dipenuhi pasir dan menjadi cetek. Namun trip tetap diteruskan seperti yang dirancang.
STRIKE
Strike pertama diterima penulis apabila gewang Rapala Shallow Shadrap berwarna goldfish yang dilontar ke satu deburan air yang disyaki sebarau mengejar anak ikan terus bersambut.
Larian pertama yang padu mengatakan ikan di hujung tali bukanlah juvenil.
Penulis hanya bertahan dengan tali mencicit keluar dari kekili. Belum pun sempat mengepam, tali sudah kendur dan ikan terlepas pergi.
Apa yang tinggal hanyalah sisik ikan yang misteri saiznya melekat di mata tiga gewang.
Permulaan yang agak thrilling seperti menjanjikan bakal banyak babak menarik di sepanjang perjalanan nanti.
Berbekalkan semangat baru, perjalanan diteruskan. Sekali sekala melalui jeram cetek dan deras.
Kami terpaksa turun dari bot, berjalan di tebing sambil menghanyutkan bot mengikut arus.
Dengan begini, risiko bot bocor akibat terlanggar batu dapat dikurangkan kerana kelajuannya hanyut boleh dikawal dan tiada berat tambahan yang boleh menyebabkan dasar bot bersentuhan dasar sungai.
Apabila berada di kawasan air dalam dan tenang, aktiviti casting diteruskan. Setiap lubuk diduga, manalah tahu berpenghuni.
Penulis yang dari tadi mengemudi bot agar Ikau dapat casting di kawasan deras mencuri peluang melontar sesudu Abu Garcia Island II 12 gram ke satu muara anak sungai.
Lontaran terus bersambut dengan sebarau juvenil. Bot ditambat seketika kerana percaya muara tersebut mungkin dihuni sebarau bersaiz mega.
Lontaran kedua penulis bersambut lagi dan sebarau yang naik pun hanya berkelas juvenil. Ikan segera dilepaskan dan perjalanan diteruskan.
KAWASAN GAJAH
Di suatu jeram panjang, penulis terdengar buluh-buluh pecah dan tumbang tidak jauh di hilir. Terdetik di hati bahawa itu adalah angkara sang `fumakila’ sedang mencari makan.
Kami berdua yang dari tadi sedaya upaya tidak membuat bising dalam bot dan berhanyut sesenyap mungkin, berpandangan satu sama lain.
Mungkin pendekatan senyap kami sangat efektif sehingga kawanan gajah tersebut tidak menyedari kehadiran kami.
Melihat kawasan sekeliling, memang tempat itu merupakan ‘highway’ gajah melintas sungai!
Akibat gigil yang amat sangat, satu gambar pun tidak diambil. Secara keseluruhannya, kami menaikkan 9 ekor sebarau pada hari itu dengan yang paling besar anggaran berat kira-kira 1.5 kilogram.
Satu perbezaan yang amat ketara berbanding kunjungan pertama penulis dahulu.
Kegiatan penerokaan hutan dan pembalakan telah meninggalkan kesan yang tidak mungkin dapat dibaiki.
Mujur setakat ini, kerosakan tersebut belum menyebabkan kepupusan penghuni sungai namun sekiranya tiada tindakan pencegahan awal daripada pihak yang bertanggungjawab nescaya tarikan sebarau mega di daerah Kuantan hanya menjadi kenangan.
Kemerosotan stok tangkapan Kesimpulannya, walaupun trip kami kali ini memuaskan dengan tarikan sebarau bersaiz sederhana, namun bagi penulis, ternyata sungai tersebut kian susut bilangan ikan serta kualitinya.
Penulis hanya dapat membayangkan bagaimana kualitinya dalam masa dua tahun akan datang sekiranya keadaan sekarang berterusan.
Semakin susahlah caster-caster Kuantan merasai tarikan sebarau yang begitu didambakan. Apa pun,teruskan catch and release kerana setidak-tidaknya kita sebagai pemancing
rekreasi sudah memainkan peranan kita dalam memelihara spesies igauan kaki-kaki casting ini.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...