Bertemu Kerandang Endau-Rompin

153

 

Tidak lama dulu, saya bersama beberapa orang rakan caster telah menyertai satu trip ke perkampungan Orang Asli di Taman Negara Endau-Rompin. Tujuan kami adalah untuk meneroka ke kawasan berkenaan di samping cuba bermalam semalaman di sana.

 

Selepas bertolak dari Kluang, kami akhirnya tiba di perkampungan orang asli di situ dalam anggaran jam 4 petang. Setibanya kami di sana, kami terus membuat keputusan untuk turun ke sungai sambil casting, malangnya tiada satu pun spesies yang dapat dinaikkan. Bila hari sudah semakin gelap. Cikgu Kadir meminta kami semua membuat khemah untuk bermalam di tepi sungai.

 

Selesai mengalas perut, kami melakukan aktiviti memancing dasar dengan harapan dapat mendaratkan kelah atau ikan lain dengan menggunakan umpan cacing dan juga kelapa sawit. Tapi, hampa kerana tiada seekor pun yang berjaya kami daratkan walaupun seekor baung.

 

 

Mungkin port tak kena agaknya. Perasaan kecewa itu membuatkan kami semua rasa mengantuk dan tidur kerana esok kami mengambil keputusan menaiki bot menuju ke hilir.

 

MISI SEBENAR BERMULA

 

Pagi-pagi lagi selesai sarapan, kami telah pun bersiap berkemas untuk meneruskan perjalanan. Affizi telah berjaya mendaratkan ikan parang sungai pertama menggunakan set fly. Untuk ke hilir, kami mengambil keputusan cara untuk berhanyut.

 

Tidak sampai beberapa minit berhanyut, saya telah berjaya menaikkan seekor anak sebarau bersaiz 300 gram. Tidak lama kemudian, seorang demi seorang daripada kami mula menaikkan hasil. Selain dari berhanyut, kami turut berhenti di tebing spot berpotensi dan mula melontarkan gewang dan juga sesudu.

 

Ada satu kejadian di mana saya dan Izzy terjatuh dari bot kerana Izzy terlalu gembira kerana lontaran sesudu ke sisi kayu balak melintang di tebing sungai disambar rakus kerandang. Dek kerana terlalu gembira, bot yang dibawanya melanggar tebing sungai. Mujur kerandang tidak terlepas.

 

Cikgu Kadir pula terlepas seekor sebarau yang agak besar sehinggakan rod miliknya patah. Selain itu, banyak juga kes rabut berlaku selain sebarau yang galak mengejar tetapi tidak mahu menghentam gewang. Mungkin di sebabkan air sungai yang agak jernih ia culas.

 

Ketika di satu lubuk yang tenang, Izzy gagal mendaratkan spesies yang tidak dapat dipastikan. Mungkin mama toman. Tali Ryujin 20lb putus akibat geseran di celah-celah kayu. Gewang milik Izzy terkorban dan kami cuba menyelam untuk mendapatkannya kembali, tetapi gagal.

 

Saya sendiri hanya berjaya memperoleh sebarau dan juga toman. Jealous juga melihatkan Izzy dan Affizi kerana masing-masing berjaya mendapatkan kerandang dalam trip ini. Takpe… belum rezeki lagi. He….he…

 

CABARAN

 

 

Ketika berhanyut ke hilir, ia bukanlah perkara mudah walaupun nampak macam mudah. Ada ketikanya tiba di kawasan air cetek, kami terpaksa turun dari bot dan menolak bot untuk melepasi kawasan cetek. 2-3 kali jugalah kami berbuat demikian.

 

Selain itu, tunggul kayu yang banyak turut menyukarkan perjalanan kami. Sesekali bot turut melanggar tunggul dan juga batu kerana gagal dikawal akibat arus yang deras kerana enjin bot yang kami gunakan hanyalah berkuasa kecil. Jadi kami terpaksa berhati-hati agar bot tidak ditimpa kemalangan.

 

Secara keseluruhan, kami berjaya mendaratkan hampir 20 ekor sebarau termasuk toman. Kesemua ikan toman dilepaskan dan hanya beberapa ekor sebarau sahaja dibawa pulang.

 

 

Kami naik semula ke jeti pada pukul 6 petang. Ternyata pengalaman berkhemah dan menaiki bot bersama rakan-rakan caster yang lain tidak akan saya lupakan kerana banyak ilmu yang saya pelajari. Saya pasti akan kembali semula untuk memburu sebarau mega di situ.

(Catatan: Man Kodak)

Tinggalkan Komen