
Benarlah kata pepatah, kusangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Kira-kira 3 jam kami berada di sana, hujan turun dengan lebat dan tak henti-henti. Hujan berlarutan hinggalah ke lewat malam. Kami memang berniat memancing selama 2 hari, tapi keadaan begini mengundang kami untuk pulang pada keesokan harinya.
Bila malam tiba, biasalah kalau dah kaki pancing, masih memancing walaupun hujan turun lebat tanpa henti. Kami bertiga berteduh di dalam khemah dan kami biarkan kesemua 7 joran kami tersusun tegak di tepi pantai.
Kami tidak tutup pintu khemah, jadi kami boleh melihat hujan yang turun dengan lebat sekali. Walaupun hujan tapi suasana tak gelap sangat kerana pancaran dari lampu di jalanraya. Dari khemah, kami masih boleh melihat joran kami di luar dari jauh. Bercahayakan lampu yang khas untuk khemah, kami semua duduk di dalam menghadap laut, sambil berbual dan berborak-borak, saya beralih pandangan ke joran kami.
Di dalam hujan, saya ternampak bahawa salah satu dari joran suami telah diangkat dan seperti seseorang sedang bertarung dengan ikan. Namun kelihat orang tersebut tidak jelas kelihatan. Saya segera meminta suami dan adik angkat saya melihat peristiwa tersebut.
“Korang tengok kat joran tu. Korang nampak apa yang aku nampak?” tanya saya kepada mereka berdua. Mereka terus diam. Suami pula lagi boleh buat lawak. Dia berkata…
“Sudah biarkan. Tempat dah gelap. Harapkan lampu jalan. ‘Dia’ nak join pancing biarkanlah. Mana tahu dapat ikan. Mana tahu dia tak pernah try pancing pakai joran.
Hehehe… Jangan tegurlah. Sekali dia jelma depan mata lagi satu kerja. Dah buat bodoh. Awak tu lemah semangat…”
Selepas suami kata begitu sambil kami memerhatikan joran itu, tiba-tiba seperti benda itu tahu yang kami melihat apa yang dia buat dan terus joran itu dia letak kembali semula ke tempat asal. Ingatkan dah berhenti. Rupanya selang setengah jam dari kejadian itu satu dari joran saya pula dibuat main. Tapi joran saya semua ada saya letak loceng.
Jadi bila benda itu seperti bermain dengan joran saya, locengnya berbunyi. Selepas itu ia berhenti. Ia seakan-akan ingin mencuba semua joran itu. Kelakar tapi menyeramkan kerana tidak dapat melihat. Inilah satu kejadian yang saya alami ketika memancing.
WACANA: Kaedah menangkap ikan yang jahanam!!

Suatu ketika dulu, amalan tangkapan pukat tunda ini tidak memberi kesan melampau. Ini kerana mereka akan cuba mengelak daripada batu karang atau kawasan berbatu di dasar laut bagi mengelakkan pukat mereka koyak.
Begitu pun, pengenalan kepada ‘rockhopper’ sekitar tahun 1980-an mengubah situasi ini. Pukat ini akan dipadankan dengan tayar besar sebagai pemberat sangat berkuasa dan mampu menyeret beban dasar sehingga 25 tan tanpa masalah.
Luahan tekong bot berkaitan hal ini di sekitar perairan Terengganu dan banyak lagi tempat di perairan kita dan masalah ini perlu diatasi secepat mungkin.
Dasar laut merupakan habitat dan rumah yang sangat penting bagi hampir kebanyakan ikan kecil dan juvenil. Seperti kemusnahan hutan, kemusnahan dasar laut ini mengakibatkan penurunan kadar sesuatu spesies untuk terus hidup.
Sianik atau sianida ialah garam hidrosianik asid dan sangat toksid. Dalam amalan ini, pengamal akan melepaskan kandungan sodium sianik atau sianida ke dalam air bagi memengsankan ikan tanpa membunuhnya.
Penggunaan asid sianik ini bermula sekitar tahun 1960-an bagi keperluan dalam bekalan ikan-ikan karang.
Pada awal 1980-an, industri ini menjadi lebih besar bagi permintaan ikan karang hidup dalam pasaran restoran di Hong Kong, Singapura dan China.
Sekitar 20 000 tan ikan karang menjadi hidangan secara tahunan di Hong Kong. Bagi setiap ikan karang yang ditangkap, 1 meter persegi habitat karang ikan ini akan musnah.
Dalam teknik ini, bom atau bahan letupan akan diletakkan di dalam air sebelum diletupkan. Ikan yang mati akibat letupan akan timbul di permukaan air lantas akan dikutip dengan senang.
Hasil letupan bahan api ini akan memusnahkan persekitaran di dalam air dan meninggalkan kesan runtuhan struktur dalam air akibat letupan.
Fakta mengatakan bahawa penggunaan bahan letupan ini mengakibatkan kemusnahan karang-karang dan habitat ikan di Asia Tenggara sejak 20 tahun yang lalu.
Bagi alat tangkapan ikan yang terbiar di dalam air seperti pukat dan jala, ia sebenarnya masih memberikan kesan kepada ikan dan hidupan akuatik.
Contohnya seperti di laut, alat-alat tangkapan ikan ini yang berada di dasar mungkin mengakibatkan hidupan seperti ikan lumba-lumba, penyu dan hidupan lain tersangkut lalu mati.
Walaupun kesan alat terbiar ini kepada kemusnahan habitat akuatik masih belum dapat dikatakan dengan tepat, namun boleh dikatakan alat ini memberi kesan yang besar.
Satu bancian dilakukan di dasar Australia menunjukkan ¼ daripada sampah dan bahan asing di dasar laut merupakan alat tangkapan ikan terutamanya pukat dan jaring.
Koleksi Kisah Seram Pemancing!!

KISAH 1 : Puaka Lubuk Lakom
Tengahari yang cerah, cuaca yang baik untuk pergi ke Lubuk Lakom, Air Kuning, Taiping. Mat dan Bob dari Team RL menyiapkan persiapan mereka untuk memancing ikan tengas.
Di Lubuk Lakom memang terkenal dengan ikan yang besar sehingga mencecah lebih 1kg.
Perjalanan bermula dengan menaiki motosikal dan bersambung dengan berjalan kaki di tepi jeram sungai mendaki bukit untuk sampai ke lubuk tersebut.
Pada jam 2 petang mereka tiba di Lubuk Lakom dan agak memenatkan, mereka pun merehatkan diri di tepi jeram sungai sambil menyiapkan kelengkapan untuk memancing tengas.
“Letak je dah lekat ikan tengas,” kata Mat pada Bob. Memang lapar betul ikan tengas di sini. Mat dan Bob asyik menaikkan ikan tengas yang boleh tahan saiznya.
Bob pula mula naik mencari port yang lebih sesuai lebih tinggi dari port yang dipancing oleh Mat.
Tidak sampai setengah jam, Mat melihat Bob berlari bergegas turun dari celah-celah batu sungai menuju ke arah Mat. Sebaik sahaja sampai di tepi Mat, Bob menepuk bahu Mat sambil menjerit,
“Mat… jom blah!”
Dengan tiba-tiba, selepas ditepuk oleh Bob, Mat melihat keadaan sekeliling menjadi gelap gelita, mereka memang terkelu melihat keadaan sekeliling, mereka merasakan keadaan baru jam 4 atau 5 petang, tetapi jam di tangan menunjukkan pukul 10 malam.
Keadaan yang gelap di hutan tebal, yang tidak ada kampung yang berhampiran. Mereka pula tidak membawa sebarang lampu, dengan hanya pemetik api rokok yang di jadikan lampu untuk menyuluh mereka pulang ke bawah.
Sehingga ke hari ini, Bob dan Mat masih mengatakan mereka baru sahaja tiba di Lubuk Lakom, tetapi hari sudah gelap dengan tiba-tiba.
KISAH 2 : Makhluk Misteri Test Pancing
Kisah pertama ini berlaku di bulan Julai 2009 yang lalu. Saya suami isteri memang minat memancing. Pada waktu itu saya, suami dan seorang adik angkat saya telah pergi memancing di tepi pantai Changi.
Kami tiba di sana di waktu petang. Biasalah bila dah sampai sana apa lagi, kami pasang khemah dan menyiap barang-barang pancing kami.
Tapi rupanya pada hari tu hujan turun tak henti setelah 3 jam kami berada di sana. Hujan berlarutan hinggalah ke lewat malam.
Kami memang berniat memancing 2 hari tapi keadaan begini mengundang kami pulang pada keesokan harinya.
Bila malam tiba, biasalah kalau dah kaki pancing, masih memancing walau pun hujan turun.
Kami bertiga berteduh di dalam khemah dan kami biarkan kesemua 7 joran kami tersusun tegak di tepi pantai.
Kami tidak tutup pintu khemah jadi kami boleh melihat hujan yang turun dengan lebat sekali.
Walaupun hujan tapi suasana tak gelap sangat kerana pancaran dari lampu di jalanraya.
Dari khemah, kami masih boleh melihat joran kami di luar dari jauh. Bercahayakan lampu yang khas untuk khemah, kami semua duduk di dalam menghadap laut, sambil berbual dan berborak-borak, saya beralih pandangan ke joran kami.
Di dalam hujan, saya ternampak bahawa salah satu dari joran suami telah diangkat dan seperti seseorang sedang memancing ikan. Tetapi tidak kelihatan.
Saya terus suruh suami dan adik angkat saya melihat.
“Korang tengok kat joran tu. Korang nampak apa yang aku nampak?”
Mereka terus diam. Suami pula lagi boleh buat lawak. Dia berkata, “Sudah biarkan. Tempat dah gelap. Harapkan lampu jalan. ‘Dia’ nak join pancing biarkan lah. Mana tahu dapat ikan. Mana tahu dia tak pernah try pancing pakai joran. Hehehe… Jangan tegurlah. Sekali dia jelma depan mata lagi satu kerja. Dah buat bodoh. Awak tu lemah semangat…”
Selepas suami kata begitu sambil kami memerhatikan joran itu, tiba-tiba seperti benda itu tahu yang kami melihat apa yang dia buat dan terus joran itu dia letak kembali semula ke tempat asal.
Ingatkan dah berhenti. Rupanya selang setengah jam dari kejadian itu satu dari joran saya pula dibuat main. Tapi joran saya semua ada saya letak loceng.
Jadi bila benda itu seperti bermain dengan joran saya, locengnya berbunyi. Selepas itu ia berhenti. Ia seakan-akan ingin mencuba semua joran itu.
Kelakar tapi menyeramkan kerana tidak dapat melihat. Inilah satu kejadian yang saya alami ketika memancing.
KISAH 3 : Tersampuk Makhluk Misteri
Kelihatan beberapa orang sedang leka dengan kail masing-masing. Ada juga yang sekadar menonton.
Zuuppppp…! Aku melepaskan tali pancing. Kami mula menunggu, setelah semua joran dipasang. Moga-moga kami berjaya hari ini, insyaAllah.
Matahari sudah mula terbenam, namun joran kami masih belum terusik. Sesudah beberapa kali memasang umpan, hanya riak halus air yang kelihatan. Kami ambil keputusan untuk bersolat dahulu.
Sesudah solat, kami makan nasi bekal yang disediakan oleh ibu di rumah tadi, sambil sedia untuk bertindak andainya pancing terusik.
Sesudah makan, kami kembali tumpukan perhatian kepada pancing.
“Isy… kenapa tak ada sekor pun naik ni?”, bisik hati aku. “Belum rezeki agaknya…”
Ketika aku asyik memerhatikan permukaan air, mataku tertumpu ke arah sesuatu yang kelihatan seperti cahaya, kira-kira 5 meter dari tempat aku duduk.
Aku mula memerhatikan objek tersebut yang berkelakuan seperti seekor pepatung yang seringkali kelihatan bermain-main di permukaan air.
“Apa tu aaa…? Kalau pepatung takkan cerah sangat cahayanya tu.” Namun kata-kata itu tidak aku tuturkan.
Cahaya tersebut semakin pudar dan dengan perlahan terbentuk suatu objek lain yang sesungguhnya menyebabkan aku tergamam.
Jelas di hadapanku, kelihatan satu lembaga berbentuk kepala. Mukanya hodoh dan berambut panjang mengurai.
Aku mula menggigil, tapi mulutku benar-benar terkunci. Pakcikku yang tadi berada tidak jauh dariku kini sudah hilang. Aku berasa amat takut.
Lembaga tersebut mengerbang-ngerbangkan rambutnya seperti sayap burung dan memandang ke arahku. Matanya yang merah membuatkan aku semakin takut.
Tiba-tiba aku rasa seluarku basah. Serentak dengan itu, bahu aku ditepuk dari belakang.
“Lan! Lan oii…! Kau tengok apa tu?”
Mulutku cuba untuk-untuk berkata-kata tapi tak berdaya. Mataku tetap memandang ke arah lembaga tersebut yang kelihatan semakin kabur.
Seketika kemudian, ia lenyap sepenuhnya. Aku tetap tak boleh bercakap, walaupun aku sedar dengan apa yang berlaku di sekelilingku.
Pakcikku terus memanggil-manggil namaku.
Semakin lama aku rasa semakin lemah dan akhirnya aku pengsan.
Keesokannya, aku mula sedar. Aku berada di rumah dan ibuku berada di sebelah.
“Mana pakcik?” spontan aku bersuara.
“Pakcik ada kat luar tu…”, ibuku menjawab.
Aku rasa badanku lemah, tapi aku masih boleh melangkah perlahan-lahan ke serambi rumah.
Pakcikku yang sedang leka menghembuskan asap rokoknya, lantas membetulkan duduknya apabila aku bersila berhampiran dengannya.
“Kau kena sampuk semalam agaknya”. Pakcikku bersuara sambil tergelak kecil.
Aku cuma mendengar apa yang diceritakannya. Katanya, dia lihat aku seolah-olah dipukau sesuatu dan langsung tak hiraukan panggilannya.
Dia terus mengangkat semua joran dan mengemaskan barang. Aku kemudiannya didukung masuk ke kereta dalam keadaan kejang, seperti terkena kejutan elektrik.
Aku tak dapat huraikan sepenuhnya bentuk lembaga tersebut kerana setiap kali teringat, aku akan berasa takut.
Sehingga ke hari ini, aku tidak berani memancing pada waktu malam. Mungkin aku dah kena fobia agaknya.
Trip Menjejak Hulu Jeram Berembun!!

Trip ini sebenarnya lebih kepada mengenal kawasan dan mengenal pasti lubuk-lubuk ikan bagi tujuan pemeliharaan terkawal pada masa-masa mendatang.
Dengan bantuan dari tiga orang rakan Orang Asli atau `Star Geng’ bagi panggilan mereka di sekitar Semenyih kami memulakan perjalanan dengan menaiki motosikal.
Jalan yang dilalui cukup mencabar, melalui jalan belakang pinggir hutan, ladang kelapa sawit dan melalui bekas jalan pembalakan dan seterusnya sehingga lereng-lereng bukit hutan. Dianggarkan memakan masa sejam perjalanan sehingga sampai di satu tempat.
Seterusnya kami terpaksa trekking atau berjalan kaki kerana motosikal tidak boleh memasuki kawasan sungai dan bukit tinggi. Selama satu jam lebih lagi memakan masa dengan pendakian 3 buah bukit akhirnya kami sampai di destinasi hulu Jeram Berembun.
Kami tiba sudah lewat petang jadi kami segera mendirikan khemah, membuat unggun api dan lain-lain perkara sebelum malam menjelma yang menyukarkan untuk melakukan sebarang kerja.
Pada malam hari kami mula memancing. Target saya adalah untuk mencari ikan keli limbat batu.
Memandangkan kami tidak membawa set pancing moden, maka kami hanya menggunakan joran bertam berumpan cacing tanah. Kami mula mencari lubuk atau celah-celah batu yang tiada arus untuk melabuhkan umpan.
Tidak perlu menunggu lama… kami sudah berjaya memperoleh hasil. Ikan sasaran iaitu keli limbat batu sudah mengena.
Ada juga di antara kami yang menggunakan umpan biskut dan roti yang digaul hancur untuk mencari spesies ikan sisik seperti tengas dan spesies ikan batu yang lain.
Lewat malam barulah kami berehat untuk menghilangkan penat. Kami akan menyambung aktiviti memancing pada keesokan harinya.
Waktu subuh sehingga matahari mula menampakkan sinar adalah waktu paling sesuai untuk menjerat tengas.
Dari hasil pancingan kami juga berjaya mendapatkan beberapa spesies tengas yang agak kasar.
Ini menandakan bahawa kawasan sungai hutan pergunungan ini masih ada penghuninya yang boleh dibanggakan.
Kami juga sempat memasak sedikit hasil untuk merasa bagaimana nikmatnya hasil alam dengan keadaan cuaca yang sejuk, nyaman dan jauh dari kebingitan kota. Selesai makan tengah hari kami mula mengemas barang utk berangkat pulang.