Apa Yang Korang Perlu Tahu & Ada Untuk Mancing Bawah Jambatan

Share

 

Memancing di bawah jambatan yang dimaksudkan bukanlah dengan cara menaiki bot dan kemudian berlabuh di bawah jambatan berkenaan. Sebaliknya, menjadikan platform atau pelantar pada tiang jambatan sebagai spot memancing. Dalam artikel ini lebih merujuk kepada teknik memancing di bawah jambatan Pulau Pinang yang pertama.

 

Set pancing

 

Set pancing yang disarankan ialah set pancing yang murah harganya tetapi kuat dan tahan lasak. Ini kerana ketiadaan tempat pancang memaksa korang sekadar mengikatnya dan letak di atas pelantar begitu saja. Impak daripada ikan menyambar umpan akan menyebabkan set pancing akan terseret dan bergesel teruk pada pelantar.

 

 

Tali utama & perambut

 

Kelasakan perambut dan tali utama terhadap geseran dan kakisan pada struktur tajam, tukun, karang di dalam air menjadi penentu kejayaan mendaratkan ikan. Jadi, pilih tali utama dan perambut yang sepadan.

 

Disarankan anda menggunakan tali tangsi 20lb dan ke atas sebagai tali utama dan perambut sekurang-kurangnya 40lb.

 

 

Anda boleh menggunakan teknik perambut batu hidup atau batu gantung tetapi pastikan batu ladung diikat dengan ikatan yang memudahkan ia lucut apabila tersangkut pada sesuatu objek. Kehilangan batu ladung adalah lebih baik daripada set lengkap perambut dan juga ikan.

 

Lubuk

 

Kelebihan memancing di bawah jambatan ini ialah kita berada berdekatan dengan lubuk. Lubang-lubang atau struktur di bawah jambatan lazimnya menjadi kediaman ikan pemangsa. Oleh yang demikian kita tidak perlu membaling umpan jauh dari kawasan tiang jambatan.

 

 

Teknik

 

Teknik pancingan dasar dan pertengahan air merupakan kaedah terbaik untuk menjerat ikan-ikan pemangsa. Anda boleh gunakan apa saja teknik perambut asalkan umpan kekal berada di dasar dan pertengahan air.

 

 

Umpan

 

Walaupun umpan terbaik adalah hidupan yang terdapat perairan sekitar lokasi seperti ikan-ikan kecil dan udang tetapi sebaiknya bawalah umpan tambahan yang turut menjadi dietnya. Manalah tahu anda akan berhadapan dengan kesukaran untuk memperoleh ikan-ikan umpan di tempat tersebut.

 

 

Alatan tambahan

 

Disamping kesemua peralatan penting yang perlu dibawa, jangan lupa bawa bersama gancu bertangkai panjang. Ia amat penting untuk mendaratkan ikan terutamanya apabila memperoleh ikan bersaiz kasar ketika air laut sedang surut rendah.

 

Boleh dikatakan hampir semua pelantar bawah jambatan tidak mempunyai tempat untuk memancang pancing. Jadi, korang perlulah membawa sendiri tali bagi mengikat pancing pada tiang jambatan.

 

 

Bagaimana cara untuk mengikat pancing pada tiang jambatan itu terpulanglah pada kreativiti korang sendiri. Yang penting ia dapat menyelamatkan set pancing korang terhumban ke laut apabila disentap ikan.

IKLAN