Sebagai pemancing yang beretika, kita seharusnya tahu peranan dalam menjaga sumber alam khususnya sumber perikanan itu sendiri.
Kriteria yang disenaraikan ini perlu digalas dan disemat dalam jiwa semua pemancing.
➡ MEMBAZIR IKAN
Anda tidak perlu untuk menangkap ikan secara berlebihan jika untuk dijadikan makanan. Jika ingin membawa pulang, amalkan konsep beg limit.
Malah, ikan yang bersaiz kecil dan tidak sesuai dimakan, lebih wajar untuk dilepaskan kembali. Cukup sekadar bergambar sebelum dilepaskan untuk dijadikan kenangan.
Sesetengah spesies mengalami ancaman kepupusan. Mungkin bagi sesetengah tempat atau kawasan masih banyak, namun ia perlu dilihat secara menyeluruh kerana mungkin ia telah sukar didapati bagi kawasan lain pula.
➡ MEMBUANG SAMPAH
Peringatan mudah ini sering dipandang remeh, namun ia merupakan asas dan perkara paling mudah untuk dilakukan.
Jika anda pergi memancing di hutan atau di mana-mana, pastikan anda membawa pulang sampah atau menanamnya.
Jangan sesekali membiarkan sampah merata-rata terutama jenis plastik dan polimer.
Begitu juga dengan botol minuman berkaca, jangan sesekali membuangnya terus ke dalam air dan membiarkannya tenggelam kerana ia lebih memburukkan keadaan dasar sungai.
Ads
➡ PERATURAN MEMANCING
Peraturan dan etika memancing wujud untuk memelihara ikan dan sumbernya agar kita terus dapat menikmati dan berkongsi keseronokan memancing.
Tiada sebab untuk anda memancing secara semberono tanpa mengikut etika dan peraturan memancing.
Keseronokan memancing perlu seiring dengan etika dan peraturan terhadap sumber dan ikan itu sendiri.
➡ KEGIATAN TIDAK BERMORAL
Setiap pemancing perlu melaporkan sebarang kegiatan tidak bermoral terhadap sumber. Pemusnahan sumber seperti kegiatan menuba, bom ikan, penggunaan elektrik dan lain-lain perlu dicegah bersama-sama.
Ads
Walaupun di Malaysia, pemancing tidak diiktiraf, tidak ada salahnya jika kita pemancing, mengambil peranan ini terlebih dahulu untuk melaporkan kepada pihak berkuasa tempatan.
Siapa tahu suatu hari nanti, kerajaan melihat pentingnya peranan pemancing, mungkin akan ada ‘Jabatan Pemancing’ untuk kita berhubung terus untuk sebarang masalah.
➡ LINDUNGI KAWASAN SEKITAR PERAIRAN
Jangan sesekali memusnahkan atau menokok tambah kecantikan asli sesuatu kawasan. Kita sering melihat lakaran atau torehan nama pada batu atau pokok di hutan kononnya sebagai kenangan abstrak pernah ke sana.
Ia tidak patut berlaku malah sebenarnya perbuatan ini lebih mencacatkan persekitaran dan nilainya. Biarkan pokok-pokok atau bunga-bunga tumbuh meliar dan jangan sesekali memetik atau merosakkannya.
➡ MAKLUMAT DAN TEKNIK BARU
Ads
Seorang pemancing yang bagus akan sentiasa terus belajar untuk menambahkan ilmu dalam memancing.
Ini termasuk meningkatkan teknik memancing, meluaskan ilmu tentang sifat ikan dan sentiasa tahu jika apa yang pemancing lakukan boleh mendatangkan akibat buruk kepada sumber.
Dengan ini, anda mampu menjadi sebahagian daripada penyelesaian dan bukan sebahagian daripada punca masalah.
Anda tidak perlu untuk terus tahu tentang segalanya, namun anda mampu untuk belajar sesuatu daripada setiap trip yang anda lalui.
➡ BERKONGSI ILMU
Setiap pemancing perlu berkongsi tentang kesedaran dan ilmu dengan pemancing lain. Malah ia mampu menarik perhatian bagi individu lain untuk terjun ke dunia memancing.
Berkongsi ilmu sebegini lebih mendatangkan manfaat berbanding hanya kita yang tahu dan praktikkannya.
➡ PROGRAM KESEDARAN
Program kesedaran sumber penting dan amat digalakkan untuk kita turut sedikit sebanyak menyertai atau menyumbang ke arah program sebegini.
Di negara kita, terdapat beberapa badan bukan kerajaan yang khusus untuk pemancing seperti PeMM, Onag, kelab, forum-forum dan lain-lain yang mempunyai program ke arah kesedaran sumber.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Seawal pagi kami berempat memulakan perjalanan menuju ke arah 180 darjah sebaik sahaja keluar dari muara Pulau Pintu Gedung. Biasanya kami akan menempuh alun agak tinggi di muara Pintu Gedung selepas berlakunya angin barat.
Alun menjadi semakin rendah apabila mula memasuki kawasan selat air dalam di kawasan laluan kapal. Jika alun berterusan, batalkan sahaja rancangan kerana aktiviti menotok akan terbantut disebabkan suasana yang amat tidak selesa.
Perjalanan akan mengambil masa selama 30 minit lagi untuk tiba di lokasi pertama. Kalau kekurangan umpan, boya merah terakhir di mana tempat kapal menukar haluan di hujung laluan masuk ke Pelabuhan Kelang boleh disinggahi untuk apollo anak-anak ikan.
Dari lokasi yang pertama kami akan berhanyut mencari lubuk didiami ikan dan ulang kembali di posisi sama sekiranya terdapat strike.
Jika tiada sambaran, sampan akan dibiarkan hanyut untuk tempoh masa tertentu sebelum berpindah ke lokasi berikutnya jika masih tiada sebarang sentapan.
Setibanya di lokasi, perkara pertama yang dilakukan ialah memerhatikan kapal dagang yang bertali arus. Hari itu saya memilih untuk memancing di Paloh 2 iaitu laluan kapal yang hanya melalui Selat Melaka tanpa singgah di Pelabuhan Kelang.
Paloh 3 pula ialah kawasan khas di mana kapal tangki dan kapal besar sahaja menggunakannya.
Saya memilih untuk berhanyut di celah antara laluan kapal di mana sebelah kanan ialah haluan yang menghala ke utara dan sebelah kiri haluan kapal yang menghala ke selatan.
Kawasan ini dikenal pasti sedikit selamat kerana kapal-kapal ini jarang menggunakan laluan tengah.
Cuma yang dibimbangi ialah sampan hanyut ke arah laluan khas untuk kapal. Setelah memastikan laluan selamat dan jauh dari kiri kanan laluan kapal, berulah peralatan digunakan.
Penggunaan kekili elektrik sangat efektif di kawasan ini kerana kedalaman air sekitar 60 meter ke atas. Kekili manual boleh digunakan sekirinya memiliki tenaga mengarau yang konsisten kerana ada ketikanya tali pancing perlu dikarau secepat mungkin apabila sampan disedari berada di haluan kapal.
Waktu ini, pasti hon kuat kedengaran dari kapal menandakan bot sudah hampir di haluannya.
Misi pertama ialah ikan demersal sebagai buruan utama seperti kerapu, jenahak, ibu gelama, gegerut dan kadangkala kaci serta tebal pipi. Perambut kekuatan 60 lb ke atas sepanjang 4 depa dengan tali utama 80 lb hingga 100 lb.
Ini berikutan jika tersangkut pada karang kebiasaannya perambut lebih kecil dari tali utama akan putus, dengan ini ladung terselamat daripada menjadi tukun.
Elakkan menggunakan kekili mendatar kerana ia lebih cepat meletihkan pemancing apabila disuruh karau setiap kali sampan ingin beredar ke lokasi lain.
Mata kail 5/0 jika mata tunggal atau 2 bentuk mata 3/0 digunakan mencangkuk seekor sotong kurita hidup.
Ladung biasanya saiz 24 agar ia terseret di dasar ketika berhanyut atau menotok. Kalau umpan hanyut jauh ke atas dari dasar peluang sentapan adalah tipis kecuali di kawasan yang adanya ikan pertengahan seperti GT, talang dan haruan tasik.
Jika sampan hanyut dengan melintang arus, 6 joran boleh dipasang sekali gus, jika ia hanyut senget memadai 3 joran sahaja.
Pastikan joran di belakang dihanyutkan jauh dari kedudukan pemancing kedua dan ketiga. Yang seronok menotok ialah cara sentapan dilakukan ikan. Oleh kerana umpan bergerak, ikan seperti marah dan menerkam dengan rakus.
Joran pula perlu dipastikan kuat dan diikat kemas pada sampan kerana banyak sentapan ikan adalah dengan mengejut. Beberapa kes joran tercampak kerap juga berlaku gara-gara pemancing leka menjaga dan mengikat joran.
Tentangan di awal sentapan cukup kuat dan ia berterusan hingga 1/3 dasar sebelum ikan demersal akan lumpuh apabila gelembung udara terhasil di mulutnya. Umpan perlu dilabuhkan satu persatu bagi mengelakkan tali pancing berbelit antara satu sama lain.
Umpan selain sotong kurita, udang lipan, pelaling mati, hirisan cabut, belanak, ikan tembakul, anak gelama da udang kertas boleh digunakan. Jika berhanyut pada malam hari sotong cumit adalah umpan nombor 1!
Sambil itu jika membawa sonar, sentiasa perhatikan tahap kedalaman air kerna ia berbeza di setiap kawasan. Bermula dari 30 meter hingga menjunam 70 meter.
Bila umpan masuk lubang dalam, hulurkan lagi tali pancing hingga ladung dikesan terhentak pada lantai dasar. Bila umpan terlepas jauh, ikan jarang mengejarnya.
Begitu juga apabila kedalaman menaik, tali pancing perlu dikarau sedikit. Jika tidak ia amat mudah melekat apabila memasuki kawasan berkarang.
Jika tersangkut karang, pegang joran sehingga lurus, dapatkan koyan kosong segera belitkan beberapa lilitan talipancing pada koyan kosong. Tahan sehingga putus. Jangan gunakan joran.
Sampan yang sedang berhanyut membantu pemancing menarik hingga terlepas sangkut berkenaan. Sama ada perambut atau tali utama putus itu soal kedua kerana melepakan tali sangkut adalah perlu.
Ambil dalam masa sejam setiap kali berhanyut sebelum naik ke arah arus semula. GPS adalah perlu sebagai panduan wajib bagi mengetahui arah sampan hanyut serta membuat data simpanan setiap kali sentapan terjadi.
Rujuk balik kawasan berlaku strike tadi melalui bacaan sonar untuk mengesan struktur dasar. Pasti ada karang atau lubang dalam tempat ikan bersembunyi.
Kemudian ulang laluan yang sama sehingga laluan berkenaan tiada lagi sebarang tanda sentapan ikan. Panduan utama berhanyut di kawasan ini ialah aliran arus.
Jika sampan berhanyut ke arah utara maka ia menandakan air bergerak surut dan jika sampan hanyut ke arah Singapura ini menunjukkan air pasang.
Kecuali bila angin menolak sampan lebih kuat daripada arus. Ketika berhanyut sentiasa ingat darat adalah sebelah timur manakala sempadan Indonesia di sebelah Barat.
Kalau panik hilang arah terutama ketika kabus atau jerebu, tuju timur sehingga nampak pedoman darat. Yang mudah dikesan ialah bukit Jugra, Banting.
Jika mengantuk, jangan tidur serentak, ambil giliran sebab apa yang penting seorang perlu berjaga mengawasi sebarang pergerakan kapal dan sentapan.
Ada masa kita pasti terserempak dengan bot Indon kecil yang disyaki membawa puluhan PATI melepasi sempadan. Yang kelihatan ialah tekong laut di bumbung bot, PATI berselindung macam ikan sardin di dalam kabin yang kecil.
Kalau boleh rujuk carta pasang surut air. Kunci penggera pada handphone waktu-waktu air dijadualkan bertukar arus.
Bila dah hampir masanya sentiasa standby atau pegang joran kerana waktu ini adalah paling produktif. Pastikan semua joran yang dilabuhkan, umpannya segar dan ditukar baru jika perlu.
Kadangkala seharian ikan berhanyut hasil hanya diperolehi dalam 10 hingga 30 minit sahaja ketika arus bertukar.
Waktu-waktu lain hanya dok termenung menunggu joran melentur sambil kena karau umpan yang sering kehabisan dikerjakan kumpulan ikan mengkerong.
Jika kena lubuk ikan jarang menolak umpan yang hanyut di depan mata masa arus lemah.
Biasanya waktu begini saya memilih untuk berhanyut berdekatan dengan lubuk potensi yang banyak sentapan sebelumnya.
Ini pernah terjadi di mana kesemua joran yang dilabuhkan mengena ikan. Yang mana satu ingin dikarau dahulu terpulanglah kepada pemancing itu sendiri.
Kalau pakai bangla suruh je bangla yang karau sambil perhatikan keputusannya. Nak kepuasan lebih, kayuh dengan kudrat tenaga tangan uatu pusing manual.
Jika trip menotok pulang dengan tangan kosong, baki umpan boleh digunakan untuk memancing di dalam sungai. Setidak-tidaknya ada ikan muara yang boleh menceriakan hati suram bak kata pepatah tiada enjin, dayung pun berguna.
Memakan sotong celup tepung atau sambal sotong memang menyeronokan. Lebih-lebih lagi kalau sotong segar.
Dan tambah lagi seronok kalau kita cuma jadi tukang makan sahaja.
Tau ke korang perkara yang paling menyampah untuk dilakukan sebelum sotong ini dijadikan juadah dan boleh dimakan?
Ya… tentu saja part nak menyiang atau membersihkan sotong.
Cara menyiang atau membersihkan sotong sebenarnya tidaklah tidaklah rumit sehingga boleh melukakan jari sebagaimana menyiang ikan.
Namun ia satu kerja yang sedikit renyah terutamanya untuk membuang kulit dan kantung atau pundi dakwatnya.
Kita perlu berhati-hati ketika membersihkan sotong bagi mengelakkan dakwatnya daripada pecah.
Memang tidak bahaya pun kalau kantung dakwatnya pecah malah dakwatnya pun tak beracun.
Tetapi memang leceh sikit kerana air dan tangan menjadi hitam. Silap-silap terkena pulak pada baju… lagi leceh dan satu hal pulak nak sental baju.
Cara untuk mengelakkan kantung dakwat sotong ini mudah saja. Pertama sekali sediakan plastik kosong.
Kemudian buatlah kerja-kerja menyiang sotong ini di dalam plastik kosong tu bagi mengelak segala percikan merata tempat.
Ceraikan bahagian kepala sotong dari badan terlebih dahulu dengan berhati-hati dan pastikan kesemua isi perut yang bercantum pada kepala sotong itu ditarik keluar.
Kemudian carilah di mana letaknya kantung dakwat sotong tu. Proses ini yang paling penting – pegang dan buang bahagian kantung dakwat sotong dari bahagian atas (kepala) ke bawah (badan).
Ingat! Jangan cabut kantung dakwat dari bahagian bawah ke bahagian kepala!
Selepas kantung dakwat berjaya ditanggalkan terus buang ke dalam plastik. Jangan dicucuk dengan pisau pula.
Jika sotong yang hendak dibersihkan itu adalah sotong pasaraya (bukan sotong segar terus dari laut), jangan rendam terlalu lama di dalam air kerana ia akan menyebabkan sarung kantung dakwat mencair dan dakwat mudah meleleh keluar.
Sekiranya korang ingin mencui sotong yang telah disejuk bekukan pula, sebaiknya jangan direndam sotong sehingga lembik.
Biarkan hingga 3/4 lembut tetapi kantung dakwatnya masih membeku. Cara ini memang paling selamat dan bijak.
Dakwat yang masuk membeku tetapi boleh dibersihkan itu tidak akan mengotorkan air rendaman sotong dan tangan anda.
Sementara untuk membuang kulit sotong yang nipis memang satu kerja yang paling memboringkan.
Boleh patah pinggang dibuatnya kalau banyak sotong yang nak dibuat. Tapi sebenarnya ada cara yang mudah tetapi sangat berkesan.
Caranya ialah dengan menggunakan kertas surat khabar. Gunakan kertas surat khabar untuk melurut atau menarik kulit sotong tersebut!
Joran atau rod merupakan salah satu daripada alatan terpenting yang digunakan untuk memancing.
Oleh yang demikian ia memerlukan penjagaan yang teliti bagi memanjangkan usianya. Joran bukan sekadar perlu dijaga ketika sedang digunakan malah turut penting ketika proses penyimpanan.
MALAS CUCI
Selepas memancing di laut atau air masin, bilas cincin-cincin joran dengan air paip secukupnya sebelum disimpan bagi mengelakkan cincin berkarat akibat pembentukkan garam.
TEKNIK PAM
Sebaiknya elakkan dari mengepam atau menaikkan joran melebihi 90 darjah ketika bertarung dengan ikan bagi memelihara backbone atau tulang belakang joran.
KARAT
Sapukan baby oil pada blank (batang joran) dan cincin bagi memanjangkan usianya khususnya jika sering memancing ketika panas.
PACAK TEGAK
Elakkan dari menegakkan joran secara tegak (90 darjah) ketika meletakkannya pada pancang atau rod holder kerana sentapan kasar ikan boleh menyebabkan tip (hujung joran) patah.
Berikan perhatian apabila membawa joran terutama joran 1 piece kerana sering berlaku tip joran patah kerana kemalangan di dalam kereta.
SANGKUT BELAKANG
Sebelum membuat balingan, sentiasa perhatikan belakang anda tip joran cukup mudah patah sekiranya mata kail atau umpan yang akan dilontar tersangkut pada sesuatu objek.
UMPAN BERAT
Pastikan juga berat umpan yang anda gunakan sepadan dengan skala kemampuan joran anda untuk menampungnya.
Begitu juga batu ladung yang digunakan. Jangan guna batu ladung yang terlalu berat dan sepadan dengan kekuatan joran.
SANGKUT KARANG
Jangan sesekali menarik tali pancing yang tersangkut di dalam air dengan menggunakan joran kerana dengan mudah joran akan patah.
Kalau tali yang putus tak mengapalah… tapi lazim tip joran yang akan jadi mangsa.
Seboleh-bolehnya gunakan sauk atau gancu untuk mendaratkan ikan walaupun ikan tidaklah sebesar mana. Jangan terikut-ikut dengan aksi Gong Lei dalam video memancingnya.
Dia pun tahu tahap mana kekuatan joran dan ikan sebesar mana yang sesuai untuk jerk ke dalam sampan.
BAGI PINJAM
Ini yang paling susah untuk dilakukan. Jangan terlalu mudah bagi pinjam pada kawan… terutamanya kawan yang baru belajar memancing atau mempunyai rekod sering patahkan joran.
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...