
Sedikit homework perlu dibuat sekiranya korang bercadang untuk casting di jeram-jeram sungai pergunungan.
Panduan 1
Sebaiknya pakai foot wear atau kasut yang bersesuaian terutamanya kasut yang tidak menambahkan beban berat dan kasut dengan tapak yang boleh mencengkam dengan baik di atas batu-batu yang licin.
Panduan 2
Elakkan memakai seluar jean atau yang diperbuat daripada fabrik yang menyerap dan menyimpan air. Terutamanya jika perlu meranduk air.
Ia akan menyebabkan perjalanan terganggu kerana jean akan membuatkan berat dan sukar untuk berjalan. Sekaligus mudah letih.
➡ Panduan 3
Jika perlu pakailah jaket keselamatan yang diperbuat daripada foam. Ia sebagai insuran sekiranya terjatuh ke air dalam atau lubuk berpusar.
Malah ia boleh dijadikan pelindung badan sekiranya terjatuh ke atas batu.
➡ Panduan 4
Sebaik-baiknya pergilah secara berkumpulan atau sekurang-kurangnya berdua dan jangan memancing secara berasingan.
Kecelakaan yang menimpa secara berseorangan umpama membunuh diri secara perlahan-lahan.
➡ Panduan 5
Bawa pisau atau parang sebagai alat mempertahankan diri bagi mengelak sebarang kemungkinan yang berlaku.
➡ Panduan 6
Bawa beg kalis air bersama untuk menyimpan barang-barang penting dan pastikan ia berkeadaan memerangkap udara.
Sekiranya terjatuh ke air dalam ia mampu berfungsi pelampung jangka masa pendek.
➡ Panduan 7
Selidik atau pantau struktur tanah atau batu terlebih dahulu sebelum pijak apatah lagi melompat ke atasnya. Ia dapat mengelak daripada kejadian jerlus atau tergelincir.
➡ Panduan 8
Jika perlu masuk ke dalam air untuk casting atau melintas, sebaik-baiknya kaji dulu kedalaman dan aliran arus.
Dan jangan sesekali membuka kasut apabila meranduk ke dalam air walaupun airnya jernih.
➡ Panduan 9
Awasi tanda-tanda kejadian kepala air terutamanya jika casting di jeram air terjun. Segera tinggalkan lokasi apabila berlaku simpton yang luar biasa.
Kenali Family Ikan Kelawar (Batfish)

Taksonomi
Kingdom: Animalia
Phylum: Chordata
Class: Actinopterygii
Order : Perciformes
Suborder : Acanthuroidei
Family : Ephippidae
Genus : Platax
Ikan telinga gajah ini dikategorikan dalam nama ikan-ikan yang pelik, yang turut disenaraikan dalam perkongsian portal umpan dengan judul ikan-ikan bernama unik. Yang pasti, kita menamakan sendiri ikan ini tanpa mencedok nama Inggerisnya iaitu batfish (ikan kelawar).
Selain daripada nama tempatannya yang merujuk kepada organ pendengaran haiwan mamalia darat terbesar, ikan telinga gajah turut digelar tudung periuk atau manchung laut di beberapa tempat tertentu.
Platax teira
Ikan telinga gajah dikategorikan dalam keluarga spade fishes, batfishes dan scat atau Platacidae. Ia bernaung di bawah genus Platax dan terdapat banyak spesies bernaung di bawah genera ini.
Di perairan Malaysia terdapat tiga spesies telinga gajah yang ditemui iaitu Platax orbicularis, Platax teira dan Platax pinnatus. Walau bagaimana pun hanya spesies P. orbicularis yang popular khususnya di kalangan pemancing kerana hanya spesies ini yang boleh dipancing.
Platax Pinnatus
Sementara spesies P. teira dan P. pinnatus hampir pasti tidak berminat dengan umpan walaupun banyak berlegar di permukaan air di kawasan unjam. Kedua-dua spesies yang `tak makan pancing’ ini boleh dikenali dengan memiliki sirip dorsal yang lebih panjang dan menonjol keluar.
Morfologi
Ikan telinga gajah dikelaskan sebagai ikan bermulut kecil. Ia jelas ketara berbanding saiz badannya yang besar, lebar dan berisi tebal. Badan ikan ini berwarna coklat dan putih berbelang dari mulut hingga ke pangkal sirip pektoral.
Warna yang hampir sekata selepas sirip pektoral dan kembali berbelang berdekatan dengan pangkal sirip kaudal. Ia memiliki sirip pelvik umpama lawi melengkung memanjang ke belakang dengan asas kekuningan dan ada juga kelihatan kecoklatan.
Platax Batavianius
Ikan telinga gajah turut memiliki bahagian pangkal ekor atau caudal peduncle yang tegap dan padu bentuknya. Memiliki sisik halus dan mempunyai bonggol tulang pada bahagian belakang. Ia mampu membesar panjang sehingga 50 cm namun saiz purata yang mudah ditemui kurang dari 6 kg.
Habitat dan tabiat
Ikan telinga gajah juvenil gemar mendiami kawasan perairan cetek estuari malah turut menyusur masuk ke sistem sungai yang masih dipengaruhi saniliti tinggi. Lazimnya mereka bergerak secara berkumpulan kecil dan sesetengahnya secara individu.
Telinga gajah dewasa pula lebih menggemari kawasan pinggir pulau yang berkarang atau berstruktur seperti tukun kapal karam. Lokasi tumpuan biasanya berkedalaman sehingga 50 meter. Mereka biasanya bergerak secara berkumpulan yang lebih besar bagi mengatasi ancaman dari pemangsa dan untuk menakluk sesuatu kawasan dengan lebih mudah.
Ikan telinga gajah menjadikan ikan-ikan kecil, krustasi dan alga sebagai diet utamanya. Lantaran daripada tabiat pemakanannya itulah ia turut boleh dipancing dengan menggunakan dedak ayam sebagai umpan alternatif bagi penggemar memburu spesies yang mampu memberikan tentangan yang padu lagi mendebarkan.
Mancing Guna Buntat Saka

“Percayakah kamu sekiranya saya menyatakan adalah sesuatu yang sangat sukar untuk menaikkan seekor temoleh seberat 40 kg ke dalam sampan kecil berseorangan?”
Dalam fikiran aku, tentu saja sedang kita membongkok cuba menaikkan ikan liar yang terperangkap dalam jala panjang 10 kaki itu ke dalam sampan, sampan akan terumbang-ambing dan terus senget.
“Sudah tentu air akan mencurah-curah masuk. Kamu boleh bayangkan nasib penjala tersebut!” ucap Cek Mat kepadaku ketika aku sedang menghirup kopi pekat di anjung rumah pusaka datuknya. Cek Mat terus menceritakan lagi kisahnya…..
Aku sendiri pun pada mulanya tidak yakin, tapi setelah melihat sendiri Pak Jangit mendayung sampan dengan membawa seekor temoleh besar dalam perut sampannya yang sedang merapat ke tebing memang sungguh mengejutkan.
“Ada orang tolong Pak Jangit tadi ke?” kata aku sambil memerhati sampan Pak Jangit mula merapati tebing.
“Kamukan nampak aku seorang je ni,” ujar Pak Jangit sambil tersenyum.
Aku terdiam. Dalam fikiranku mungkin ada seseorang yang sedang mudik ke hulu bertembung dan membantunya menaikkan ikan tersebut ke dalam sampan. Mana mungkin seseorang menaikkan ikan tersebut bersendirian, fikirku lagi.
Aku segera membantu Pak Jangit memikul ikan temoleh menuju ke rumahnya yang berjarak suku batu. Suasana agak suram bila memasuki lorong kebun getah yang menuju ke rumahnya yang jauh dari rumah jiran-jiran.
Terasa pelik dan kagum apabila melihat Pak Jangit masih gagah memikul tanpa mengeluh ikan tersebut naik ke dapurnya. Pak Jangit mengeluarkan golok dan menyuruh aku memotong mana-mana bahagian yang aku sukai.
Melihat aku masih ragu-ragu, Pak Jangit lantas memotong bahagian kepala dan memasukkan ke dalam buntil tepung dan menyerahkan padaku untuk dibawa pulang.
Esoknya, selepas pulang dari bekerja di Kilang Getah Kati Estate, aku mencapai batang-batang joran lantas mencapai basikal. Hajatku untuk pergi memancing. Di simpang jalan aku singgah di Kedai Runcit Pak Alang Him untuk membeli rokok dan sedikit roti manis buat bekalan.
Bunyi riang-riang rimba yang tingkah meningkah menyambut kedatanganku di pinggir sungai. Dua batang pancing segera kusiapkan dan siap kutambatkan pada anak pokok pinang. Aku pun bersandar pada perdu pokok sambil mengeluarkan bekalan roti yang dibawa.
Tiba-tiba aku teringat pelawaan Pak Jangit mengajak aku menjala ikan bersamanya. Seingat aku Pak Jangit Tamih pernah memberitahu dia berasal dari suku Kerinci dari daerah Jambi, Indonesia. Telah setahun Pak Jangit mengambil upah menoreh getah di kebun ketua kampung. Pak Jangit pernah berkahwin tapi bercerai tanpa meninggalkan zuriat.
Aneh, orangnya. Rela tinggal bersendirian di hujung kampung dan menghuni rumah kecil peninggalan Bidan Mak Limah.
Sekiranya tidak menoreh kerana hujan, dia akan membuat jala. Kadang-kadang ada juga orang kampung turut menempah jala darinya. Cuma dia agak kurang bergaul. Satu-satunya yang menentang keras akan kehadirannya adalah Pak Malim, seorang guru silat di kampung kami.
Pernah tiga bulan yang lalu, Pak Jangit menggemparkan penduduk Kampung Beluru dengan tangkapan ikan temoleh seberat 40kg di Sungai Jawang. Berita kejayaannya telah menjemput kaki-kaki pancing dan pemukat dari kampung-kampung berhampiran.
Namun ramai yang hampa. Cuma Pak Ngah Tago agak bernasib baik dapat menaikkan temoleh 17 kg, itu pun dibantu oleh anak bujangnya yang ikut bersama.
Aku menyalakan sebatang rokok. Nyamuk yang berlegar di sekeliling badanku mulai berkurangan. Ada juga desas-desus menyatakan Pak Jangit mengamalkan ilmu hitam. Ada juga menyatakan Pak Jangit ada pendamping.
Terasa seram menyelubungi diri sewaktu aku berpaling ke kiri. Berderau darahku. Berdiri di bawah pokok salak kelihatan Pak Malim yang sedang melangkah ke arahku. Kami pemuda-pemuda Kampung Beluru dan kampung-kampung sekitarnya sangat menghormatinya kerana ilmu persilatannya yang tinggi.
“Aku mencari kerbau aku yang terlepas!” ujar Pak Malim sewaktu aku bertanya akan kehadirannya. Aku dengar kau nak ikut Pak Jangit menjala? Berhati-hati jangan cepat percaya dengan orang luar.”
Aku mula merasa tidak selesa. Bagaimana Pak Malim boleh tahu rancanganku? bisik hatiku. “Mat, kau ada rasa kelainan tak semasa berada di halaman rumahnya?”. Aku mengangguk perlahan.
Memang aku akui. Ada ketikanya suasana tiba-tiba rasa sejuk yang melampau, bau kemenyan yang nipis menusuk ke hidung sewaktu berada di halaman rumahnya. Lebih-lebih lagi waktu rembang petang.
“Kebaikan kau akan dipergunakannya, berkemungkinan dia akan melepaskan sakanya pada kamu.” Aku merenung jauh memikirkan kata-kata Pak Malim. “Kehebatannya menaikkan ikan-ikan besar seorang diri ke dalam sampan hanyalah dibantu oleh pendampingnya. Tapi ingat itu hanyalah ilmu dunia yang sementara!”
Aku mula merenung muka Pak Malim. Sayup-sayup kedengaran bunyi kereta api barang melintasi jambatan besi Victoria. Petang yang cerah tiba-tiba bertukar kelam. Langit hitam beserta angin kencang membawa gerimis. Sebaik bunyi guruh berdentum kuat, tiba-tiba kami dikejutkan kelibat Pak Jangit di bawah pokok kabong, sambil merenung tajam ke arah kami.
Daripada pandangan mata wajahnya, perlahan-lahan seakan berubah menjadi harimau. Suaranya kedengaran garau dan bersedia dalam kedudukan untuk menerkam kami.
Pak Malim lantas mengeluarkan kain hitam berjalur merah. Dari mulutnya meluncur ayat-ayat suci. “Mat kamu jangan gentar, teruskan membaca ayat Qursi.” Aku akur sambil cuba melangkah pantas ke belakang Pak Malim.
Belum sempat aku berada di belakang Pak Malim, satu tamparan singgah di dada kiriku. Sepantas kilat Pak Malim merentap daunan dan menepuk sambil mulutnya kumat kamit menghembuskan ke dadaku dan tangan kiriku menekup daunan seperti diarahkan. Aneh!
Dalam beberapa saat dada terasa seperti terbakar mula reda seperti di sirami air dingin. Jelmaan Pak Jangit yang telah bertukar wajah kepada harimau jadian mengaum sekuat tenaganya.
Terkamannya yang agak tersasar memberi peluang Pak Malim melibas muka harimau jadian dengan kain hitam dengan sekuat hati. Lantas ghaib dari pandangan mata kami dan meninggalkan bau kemenyan yang tajam. Perlahan-lahan Pak Malim memapahku pulang….
“Peristiwa ini telah 20 tahun berlalu. Pak Malim pun telah lama meninggal dunia. Pak Jangit telah lama menghilangkan diri tanpa berita. Lihatlah ini bekas cakarannya masih meninggalkan parut di dadaku sebagai kenangan,” Ucap Cek Mat sambil tertawa kecil.
Matanya merenung jauh ke puncak Bukit Karai. Sesekali mataku merenungi bunga-bunga teratai di permukaan kolam yang berada di pinggir rumah pusaka Cek Mat.
“Setiap kejadian ada hikmahnya. Cuma kita harus selalu berwaspada. Ingatlah pada yang Esa!” ucap Cek Mat perlahan kepada ku.
Akibat Melanggar Pantang Penunggu Lubuk!!

Dalam seminggu sekurang-kurangnya sekali saya dan kawan-kawan lepak kat kedai kopi Pak Abu. Kami lepak di kedai Pak Abu berdekatan simpang kampung. Di sini kami akan berkongsi cerita. Dan menjadi kebiasaan, topik utama yang kami kongsi pastinya tentang ikan dan lubuk-lubuk ikan.
Rata-rata di antara kami semua adalah kaki pancing tegar. Di mana ada lubuk, di situlah kami akan terokai. Pada satu malam minggu, sedang kami asyik berborak tentang lubuk-lubuk yang telah kami teroka, datang seorang pak cik dalam lingkungan umur 50-an menyapa kami.
“Kamu semua ni dah teroka semua lubuk ikan kat Malaysia ni ke?,” Sapa pak cik tersebut sambil tersenyum.
Saya pun menyapa balik pak cik itu, “Takdelah pak cik, kita orang teroka lubuk yang pernah orang pergi sahaja, itu pun kalau ada orang yang cerita tentang lubuk tersebut.” Pakcik itu pun tersenyum sambil menarik kerusi dan duduk di sebelah saya. Selepas itu, kami berborak panjang dengan pakcik itu. Di memperkenalkan namanya Pak Wahab.
Mulai saat itu, Pak Wahab mula menceritakan pengalaman-pengalaman tentang ikan dan lubuk-lubuk yang pernah diterokai. Kami semakin teruja untuk mendengarnya. Pada masa itulah, Pak Wahab menawarkan kepada kami satu lubuk yang jarang-jarang dikunjungi orang.
Cerita Pak Wahab lagi, di situ terdapat pelbagai jenis ikan dan berat ikan tidak kurang dari 1 kg. Dia pernah menaikkan seekor ikan sebarau seberat 3kg di situ dan pelbagai jenis lagi ikan yang puratanya 2-5 kg.
Jom like & See First www.facebook.com/umpanmania101
Dan lubuk itu dinamakan lubuk Batu Dalam. Asal usul nama lubuk itu tidak pula diceritakan kepada kami. Ia terletak di hulu Sungai Dungun. Lokasinya tidaklah jauh dari kampung kami. Kami semakin teruja dan berhasrat untuk mengunjungi lubuk tersebut.
Keesokan harinya, Fizul, Siran dan Firus datang ke rumah. Mereka mengajak saya untuk ke lubuk rusa itu. Selepas berbincang, kami sepakat untuk ke sana selepas Zuhur dengan menggunakan 2 buah motosikal.
Kami menuju ke lubuk rusa berpandukan arah yang diberitahu oleh Pak Wahab malam tadi. Walaupun salah seorang daripada kami tidak pernah sampai ke situ, jalan yang diberitahu oleh Pak Wahab tidaklah susah sangat. Jalannya pun tidak lah teruk dan bahaya kerana ia melalui jalan ladang kelapa sawit sahaja.
Selepas 2 jam perjalanan, akhirnya kami selamat tiba di lokasi yang dihajatkan. Masing-masing tersenyum lebar kerana lubuk yang kami dengar dari mulut Pak Wahab sudah berada di depan mata. Air sungai jernih menghijau.
Pokok-pokok rendang tunduk mencecah permukaan air. Di situ terlihat juga anak sungai kecil yang menuruni lereng bukit dan batu besar sebelum memasuki sungai di hadapan kami. Lubuk sebeginilah yang menjadi kegilaan kaki casting.
Belum sempat saya membetulkan joran dan memasang umpan, satu kelibat ikan sebarau menyambar anak ikan sudah kelihatan. Saiznya agak kasar, mungkin 2kg ke atas. Apa lagi, masing-masing menguji kepakaran masing-masing.
Beberapa minit selepas itu, kami mengambil keputusan untuk berpecah. Saya dan Fizul ke kawasan berbatu. Manakala Firus dan Siran menuju ke kawasan berpasir.
Jom like & See First www.facebook.com/umpanmania101
Jam menunjukkan pukul 6 petang. Walaupun nampak kelibat ikan sebarau mengejar anak ikan, tetapi seekor ikan pun belum kami perolehi. Tiba-tiba langit yang cerah bertukar menjadi hitam. Angin bertiup kencang sehingga ada pokok tumbang berhampiran kami.
Saya berasa risau dan mengajak Fizul, Siran dan Firus segera pulang. Kami bergegas menuju ke arah motosikal. Belum sempat kami menghidupkan motosikal, tiba-tiba Siran menyebut kalimah Allah dengan kuat sambil menuding jari ke atas.
Alangkah terkejutnya saya, apabila mendongak ke langit. Kelihatan satu lembaga hitam yang sangat besar berada di hadapan kami. Matanya yang besar, kelihatan merah menyala.
Rambutnya pula panjang menegak hingga mencecah pucuk pokok yang tinggi. Tiada tangan dan kaki, hanya bertubuh besar, tinggi dan berwarna hitam. Makhluk tersebut tidak berkelip sambil menganga menampakkan taring.
Kami terdiam sambil memandang sesama sendiri. Tubuh saya waktu itu menggigil dan terasa sejuk seperti berada di dalam peti ais. Mujurlah rakan saya, Firus adalah anak kepada seorang ustaz.
Dia melaungkan azan sambil membawa ayat Kursi dengan kuat. Serta-merta lembaga hitam berkenaan hilang dan cuaca berubah cerah. Firus menyeru kami beristighfar dan beredar dari kawasan itu dengan segera.
Mujurlah kami tidak diapa-apakan oleh lembaga hitam berkenaan. Kami selamat sampai ke kampung lewat maghrib. Sepanjang perjalanan, kami tidak bergurau seperti biasa kerana masih terkejut dengan kejadian tadi.
Jom like & See First www.facebook.com/umpanmania101
Malam keesokan harinya, kami duduk bersembang di kedai Pak Abu. Cuma Siran tidak dapat join kerana demam dan masih terkejut. Waktu itu Pak Wahab datang menghampiri kami. Dia bertanyakan tentang lubuk yang kami pergi dan kami menceritakan apa yang telah kaki lalui kepadanya.
Kami hanya memandang sesama sendiri dan saya berkata kepadanya “kenapa tempat tu keras sangat Pak Wahab?” Pak Wahab tersenyum dan memberitahu lubuk rusa itu memang keras dan berpenunggu. Dia terlupa memberitahu kepada kami perkara sebenar dan pantang larang tempat tersebut.
Di situ sebenarnya ada pantang larang. Tidak tahulah ia perkara benar atau tidak. Sesungguhnya peristiwa berkenaan akan saya ingat sampai bila-bila.