Rangkaian mata lingkar yang menekankan konsep strike yang sama. Demon circle hook didatangkan untuk aksi pancingan yang lebih ringan dan sesuai untuk pancingan dasar air tawar.
Ia adalah alternative kepada pemancing yang sudah jemu menggunakan J hook untuk pancingan dasar air tawar.
Mungkin anda boleh mencubanya untuk memancing ikan dasar air tawar seperti baung dan lain-lain spesies yang lebih gemar menelan umpan berbanding mengutisnya.
Shiner Hooks
Mata kail ini direka bentuk berdasarkan bentuk udang. Jika anda perhatikannya betul-betul terbukti ia dibentuk seperti udang.
Berdasarkan reka bentuk tersebut maka ia merupakan mata kail yang paling efisien untuk menyangkuk umpan udang sama ada udang hidup atau pun udang mati.
Cara penggunaannya juga pelbagai. Sama ada menyucuk ke dalam badan udang melalui bahagian ekor atau menggantung seekor atau lebih udang. Selain itu ia juga sesuai untuk memancing spesies ikan keli atau tongsan yang bermulut luas.
Ads
Iseama Hooks
Mata kail yang diperbuatan daripada carbon steel ini dengan warna permukaan yang terang berkilat. Point atau hujung mata kailnya amat tajam dan amat sesuai untuk memancing ikan-ikan yang bermulut tebal dan keras.
Mata kail ini amat sesuai untuk digunakan dengan perambut berangkai dan menjadi pilihan utama untuk pancingan ikan-ikan bermulut kecil seperti rohu atau ikan-ikan bersaiz kecil. Malah ia juga bagus untuk memancing ikan patin dan pacu.
Bream Hooks
Bream hooks sangat sesuai untuk menangkap ikan di laut. Dengan teras pendek dan tempaan keluli tambahan yang kuat menjadikannya sangat kuat.
Sepadan dengan namanya juga ia merupakan mata kail utama untuk memancing ikan yang bergigi keras dan berahang kuat seperti ikan kuku dan bayan, yang sememangnya terkenal dengan kekuatan kunyahannya.
Ads
Ia juga mata kail alternatif untuk memancing ikan yang mampu mematahkan teras mata kail seperti ikan pacu.
Prawn Hooks
Sebagaimana namanya, mata kail ini dicipta khusus untuk memancing udang terutamanya udang galah. Ia dibentuk seperti bilah sabit bagi memudahkan hujung matanya yang halus, nipis dan tajam mudah menembusi mulut udang.
Selain udang, mata kail ini juga boleh digunakan untuk memancing ikan-ikan yang tidak kuat melawan atau ikan-ikan kecil.
Ads
ABERDEEN HOOKS
Ia adalah mata kail biasa yang boleh digunakan untuk pancingan ikan air tawar dan air masin yang bersaiz kecil. Ia biasanya diperbuat daripada logam yang lembut dan boleh dibentuk atau diubai suai beberapa kali sebelum kekuatannya menjadi lemah.
Walau bagaimana pun ia masih tajam dan mampu memegang ikan dengan baik apabila tercangkuk pada mulut ikan.
KAHLE HOOKS
Keluk pada mata kail ini menjadikannya ideal untuk umpan hidup. Dibuat dari logam yang sama seperti cangkuk Aberdeen, mereka akan membengkok jika digantung di bawah beberapa struktur.
Walau bagaimanapun, apabila ikan tertancap padanya, reka bentuk mata kail ini menghalangnya daripada diluruskan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Jaket keselamatan merupakan peralatan keselamatan yang paling penting ketika kita berada dalam air mahupun ketika melakukan aktiviti air. Untuk mengelakkan risiko berlakunya perkara yang tidak diingini, maka penggunaan jaket keselamatan wajar diwajibkan!
Jaket keselamatan merupakan salah satu daripada bahan bantuan apungan atau disebut PFD (personal floatation devices). PFD ini terbahagi kepada beberapa kategori antaranya jaket keselamatan (life jacket), buoyancy AID (BA) dan pelampung (ring rescue).
Namun apa yang ingin difokuskan di sini ialah jaket keselamatan dan BA kerana ia amat penting kepada pemancing dan sentiasa melekat pada badan pemancing berbanding pelampung. Kedua-dua peralatan ini mempunyai fungsi yang sama.
Namun, secara penggunaan dan prestasinya adalah berbeza. Oleh itu sebagai pemancing perlu bijak memilih PFD ini sebelum keluar melakukan aktiviti air.
BA berbentuk seperti vest dan dilengkapi tali pinggang. BA kebiasaannya dihasilkan getah kalis air yang lembut. Ia akan membuatkan kita terapung secara menegak ketika berada dalam air. Perlu diberi perhatian, BA ini hanya boleh bertahan dalam jangka masa yang pendek mengikut kualiti buatannya seperti 48, 24, 12 jam atau kurang daripada itu.
Apabila foam telah dipenuhi air, ia tidak lagi bertindak sebagai bahan apungan dan akan terus tenggelam. Sebab itulah BA hanya sesuai untuk aktiiti air yang tidak melibatkan masa yang lama.
Life jacket pula membantu kita mengapungkan diri dalam jangka masa yang lama seperti terapung akibat kapal tenggelam, jatuh kapal terbang dan sebagainya. Bahan gas perlu diisi semula selepas digunakan dengan kos tertentu.
Jangka hayat ketahanan gas pula bergantung kepada saiz orang yang memakainya. Kebiasaannya ia akan berfungsi apabila berlaku hentakan atau tekanan yang kuat contohnya akibat terjatuh ke dalam air dan ia akan mengembang secara automatik.
Terdapat yang sejenis lagi hanya akan mengembang apabila ia dimasukkan angin melalui tiupan atau tarikan pada tali yang disediakan.
Oleh itu, jangan sesekali mengambil mudah apabila anda turun memancing atau melakukan aktiviti air. Pastikan bot yang dinaiki mempunyai kemudahan PFD ini atau paling kita bawalah sendiri.
Ikan kuku mempunyai diet pemakanan yang cukup unik. Dari krustasia kecil, moluska, anak ikan sehingga ketulan daging ayam, roti dan tepung yang diuli. Dari segi rangkaian makanan saya berpendapat ketam angin adalah kegemaran utama kuku diikuti anak udang ketak, udang pasir berkulit keras, anak ikan, perumpun dan sebagainya.
Pengunaan isi ayam goreng, capati atau roti canai separa masak, tepung yang diuli sebagai umpan kini menjadi kemestian memandangkan tidak banyak ikan-ikan muara lain mengemarinya. Atas dasar ini kadar sentapan ikan kuku lebih besar di sebabkan ikan-ikan lain jarang mengacau jenis umpan makanan darat ini.
Roti canai dan tepung saya pernah mencubanya tetapi isi ayam goreng belum lagi. Seeloknya umpan jenis digunakan semasa banyak ikan lain datang mengacau umpan.
Di Australia, pengunaan soft plastic begitu meluas untuk menjerat spesies ikan bream. Soft plastic berupa anak udang dan cacing laut menjadi pilihan kebanyakan pemancing di Australian ini. Ia jarang diamalkan di negara kita memadangkan sukar bagi pemancing mengesan spot utama kuku kerana kehadirannya berkait rapat dengan musim.
Ketam Kecil
Ketam batu, ketam angin atau ketam Rumput dikatakan paling mujarab malah mampu menarik perhatian siakap merah. Umpan ketam dicangkukkan dari bahagian bawah hingga menembusi kulit atas. Sebaiknya ketam hidup.
Roti sandwich
Umpan roti juga boleh digunakan. Biasanya menggunakan roti Gardenia yang dikepal kecil-kecil sebelum dicangkukkan. Roti Gardenia butterscotch dikatakan lebih berkesan kerana memiliki aroma mentega.
Udang hidup
Udang hidup agak jarang digunakan untuk memancing kuku namun tidak mustahil menaikkan kuku bersaiz besar. Gunakan udang bersaiz kecil anak jari.
Roti canai
Roti canai antara umpan kuku popular di Terengganu. Roti canai yang dimasak separuh dikatakan paling baik dibuat umpan.
Ayam goreng
Ayam goreng sama ada digoreng sendiri dengan minyak yang telah digunakan atau menggunakan ayam goreng KFC. Cangkukkan sahaja cebisan isi ayam goreng sebagai umpan.
Umpan tepung
Umpan campuran tepung biasanya digunakan oleh pemancing yang telah lama memancing kuku. Campuran tepung yang diuli dengan pelbagai resepi menjadi umpan rahsia untuk memancing kuku.
Sate ayam
Sate ayam merupakan satu lagi alternative pilihan kaki pancing untuk menjerat spesies ini. Ada sesetengah pemancing menggunakan sate tongkeng ayam kerana bahagian ini lebih berlemak dan mengeluarkan minyak untuk dikesan oleh kuku.
Teritip
Teritip merupakan makanan asasi bagi ikan kuku. Tengok sajalah bagaimana rupa gigi ikan kuku. Untuk menggunakan umpan ini sebaiknya dikupas kulit dan diambil isinya.
Udang ketak
Tentu saja ia merupakan umpan kegemaran ikan kuku tetapi untuk mencari anak udang ketak yang bersaiz sebesar ibu jari bukannya mudah.
Pada hujung minggu lalu, diberitakan dua penganjur pertandingan memancing terpaksa berhadapan dengan kemarahan peserta atau mungkin diambil tindakan berikutan kegagalan mereka menyediakan wang hadiah secukupnya kepada para pemenang.
Ia berpunca gara-gara pihak penganjur mengamalkan konsep kutipan yuran penyertaan sebagai hadiah kemenangan.
Apabila penyertaan berkurang maka wang hadiah pun tidak cukup untuk dibayar kepada para pemenang sebagaimana yang dijanjikan.
Fenomena pertandingan memancing di Malaysia sudah lama dan ia mulai berkembang sejak awal tahun 2000 lagi.
Di dada akhbar, banner, bunting digantung di tepi jalan hingga ke media sosial facebook dan blog, pasti terlihat iklan pertandingan memancing yang menawarkan pelbagai hadiah untuk pemenang.
Persepsi masyarakat pula bercampur baur mengenai pertandingan memancing. Bagi yang tidak meminatinya, mereka akan beranggapan ia suatu pelaburan yang belum tentu dapat membuahkan hasil.
Sudahlah begitu, modal sebelum menyertai pertandingan pun besar. Mana duit untuk beli peralatan memancing, umpan, yuran penyertaan, makan minum, tol dan minyak petrol kereta dan sebagainya.
Itu belum lagi beli rokok berbungkus-bungkus bagi kaki pancing yang merokok. Adalah lebih baik, duit tersebut digunakan untuk keperluan keluarga.
Namun, bagi ramai kaki pancing tegar lain pula ceritanya. Bagi mereka, mana tahu rezeki akan berpihak kepada mereka.
Kalau menang tempat pertama dah menang puluhan ribu ringgit. Dah tak perlu bersusah payah menabung.
Tambahan pula untuk pertandingan memancing sirkit, berpeluang menang hadiah utama sebuah kereta…uishh bukan kepalang lumayannya.
Melihat kepada situasi tersebut dapat kita lihat percanggahan pendapat mengenai perkara ini.
Adakah benar tohmahan sesetengah pihak mengenai pertandingan memancing ini sekadar membuang masa, wang dan tenaga atau adakah ia mampu memberi impak yang positif bukan sahaja kepada individu malahan kepada negara?
Impak positif
➡ silaturahim
Seperti yang diperkatakan awal tadi, terdapat beberapa elemen positif yang dapat dilahirkan melalui aktiviti pertandingan memancing ini:
Pertamanya mengenai silaturahim yang dapat dibina melalui program sebegini.
Jika dapat kita lihat senario ini, tidak kira di mana sahaja pertandingan memancing dianjurkan pasti akan mendapat sambutan menggalakkan dari kaki pancing yang datangnya dari seluruh pelosok negara.
Jadi medium seperti inilah yang akan membantu para pemancing untuk mendapat lebih ramai rakan pancing yang datangnya dari daerah dan negeri yang berbeza.
Para pemancing pula dapat berkongsi idea dan teknik terbaru bila mereka dapat berkumpul seperti ini.
➡ sumber pendapatan
Pertandingan memancing sebagai satu sumber pendapatan? Mungkin kedengaran agak janggal mengenai perkara ini, namun kita harus memandangnya melalui aspek yang lebih meluas.
Sumber pendapatan di sini bukanlah hanya terhad kepada pemenang sahaja, bahkan ia meliputi keseluruhan industri ini.
Bagi pemancing yang berjaya menjadi juara di dalam sesebuah pertandingan memancing memanglah dianggap sebagai bonus untuk diri sendiri dan keluarga.
Justeru itu, ini sedikit sebanyak dapat membantu pendapatan mereka.
Melalui pertandingan memancing ini jugalah dapat membantu peniaga-peniaga kecil yang ada di Malaysia.
Apa tidaknya, bukan mudah untuk mereka mendapat peluang berniaga di dalam suasana meriah yang dapat mengumpulkan beribu-ribu orang di dalam satu masa.
Jadi aspek sebeginilah yang dapat diperkatakan bahawa pertandingan memancing boleh menjadi salah satu sumber pendapatan.
➡ angling tourism
Pertandingan memancing juga boleh menyumbang sesuatu kepada industri pelancongan Malaysia.
Melalui pakej-pakej memancing tertentu yang lengkap dengan khidmat bot, guide, penginapan, makan minum misalnya, sesebuah spot memancing itu akan menjadi lebih terkenal di mata kaki-kaki pancing.
Tourism Malaysia kini dilihat aktif memajukan potensi angling tourism dengan meminta setiap negeri menonjolkan lokasi-lokasi memancing setiap menerusi pakej-pakej tertentu.
Beberapa spot memancing negara kini telah pun menarik kunjungan kaki-kaki pancing dalam dan luar negara datang untuk turut merasai pengalaman memancing selain penganjuran pertandingan memancing antarabangsa di beberapa lokasi.
Isu negatif
Sebagaimana yang kita tahu, pertandingan memancing juga tidak terlepas daripada dicemari dengan isu-isu atau insiden yang sedikit sebanyak dapat merencatkan industri ini.
➡ Halal ke haram?
Kini timbul perdebatan mengenai isu halal atau haram sesebuah pertandingan memancing itu. Ia telah pun menimbulkan kesan dan persoalan kepada ramai kaki-kaki pancing.
Terdapat beberapa ahli Ulama yang berasa terpanggil untuk memberi komen mengenai perkara ini.
Berikut jawapan daripada Halaqah.net yang dapat menjelaskan mengenai isu halal dan haram pertandingan memancing.
“Dalam hukum mengadakan pertandingan memancing dan menyertainya serta menerima hadiah daripada penganjur, ada beberapa persoalan yang harus diberi perhatian oleh penganjur dan peserta.
Di antara perkara yang harus diberi perhatian ialah hadiah kepada pemenang diambil daripada sumber yang mana?
Adakah ia diambil daripada wang penyertaan atau hadiah itu sumbangan daripada individu atau agensi?
Sekiranya hadiah itu diberi hasil wang kutipan penyertaan maka hukumnya HARAM. Maka sumber haram ini tidak boleh dimanfaatkan untuk makan minum atau pakaian.
Dua, keadaan haram yang wujud dalam pertandingan memancing ini.
Pertamanya kerana menyertai pertaruhan dan yang keduanya menerima hadiah dari pertaruhan tersebut.
Contohnya, setiap peserta dikenakan yuran RM100, kemudian daripada yuran yang terkumpul itu diberikan hadiah kepada peserta yang berjaya menangkap ikan yang paling
berat atau yang paling banyak (ikut peraturan pertandingan yang ditetapkan) menang, maka cara tersebut adalah haram kerana ia termasuk dalam pengertian pertaruhan (al-qimar) yang diharamkan.
Jika hadiah kepada pemenang ditaja oleh pihak luar tanpa membabitkan wang peserta, maka ia diharuskan kerana ia termasuk dalam hibah (hadiah) daripada penganjur atau agensi yang menaja.”
PERSAINGAN PENGANJUR
Selain daripada isu halal dan haram, pertandingan memancing juga tidak terlepas daripada dicemari insiden persaingan yang kurang sihat di kalangan penganjur.
Ada penganjur yang berlumba-lumba untuk menganjurkan pertandingan yang menawarkan hadiah lumayan sehingga sanggup menutup peluang penganjur-penganjur kecil yang lain.
Adalah lebih baik sekiranya penganjur di Malaysia duduk dan berbincang di antara satu sama lain bagi mengelakkan persaingan yang kurang sihat ini.
Selain itu, berilah juga peluang kepada penganjur-penganjur baru untuk bersama-sama memeriahkan industri ini selain tidak mengadakan tarikh yang sama dengan penganjur lain.
Jika kesefahaman antara para penganjur dapat dicapai, nescaya pertandingan memancing Malaysia akan dapat dikembangkan ke peringkat yang lebih tinggi.
HARAPAN
Oleh kerana trend pertandingan memancing ini berkembang pesat, diharapkan ada sebuah badan atau persatuan yang boleh memantau pertandingan memancing di Malaysia.
Ini bagi mengelakkan berlakunya lagi kes-kes yang tidak diingini sekali gus boleh menjatuhkan industri ini.
Persatuan ini juga harus ditubuhkan kerana ia boleh menjadi nadi penggerak untuk pertandingan memancing di Malaysia dan juga menjadi tempat rujukan kepada penganjur untuk menganjurkan pertandingan yang lebih berprestij di masa akan datang.
Melalui persatuan atau badan yang ditubuhkan nanti, penganjur-penganjur pertandingan memancing di Malaysia boleh duduk berbincang untuk menangani masalah pertandingan memancing dan bersatu untuk memajukan industri memancing yang ada di Malaysia.
KESIMPULAN
Pertandingan memancing tidak sepatutnya dilihat hanya sebagai satu aktiviti riadah kepada kaki pancing. Ia boleh dianggap sebagai satu industri yang lahir dari hobi memancing.
Di sini membolehkan cabang perniagaan dapat dijana, membantu sektor pelancongan, membangunkan menaikkan nama sesebuah lokasi atau tempat sebagai destinasi memancing dan sebagainya.
Justeru itu, diharapkan ada lebih banyak agensi-agensi kerajaan mahupun swasta yang menyokong dan memberi suntikan dana kepada pertandingan memancing yang ada di Malaysia ini sekali gus hobi sukan dan pertandingan memancing diangkat lebih tinggi.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...