2 Teknik Utama Memancing Aya Kurik!!

Share

 

Tidak semua ikan aya kurik di pasaran ditangkap melalui penggunaan pukat atau jaring. Tidak sebagaimana ikan pelagik lain, aya kurik memiliki kuasa turbo untuk memecut lari dari kepungan pukat.

Oleh yang demikian, kebanyakan nelayan terutamanya nelayan persisir pantai memiliki kaedah tertentu untuk menangkap aya kurik melalui kaedah tali dan mata kail.

 

Teknik Memancing Aya Kurik (bot bersauh)

Cangkuk anak ikan di bawah perut, atas garis hidup, dekat ekor atau mulut untuk yang hidup. Cangkuk  dalam mulut, mata dan dekat insang untuk umpan mat.

Jika menggunakan bilis, masukkan mata kail melalui mata bilis sama ada seekor atau berangkai mengikut saiz.  Bilis juga digunakan sebagai bahan ‘rasuah pemikat’ untuk mengundang kehadiran aya dekat dengan kawasan pemancing.

 

Labuhkan umpan mengikut arus tanpa pemberat. Biarkan ia hanyut ke arah unjam atau kawasan  dikenal pasti adanya kumpulan aya kurik sedang bermain.

Untuk hasil yang lebih efektif, umpan yang dihanyutkan hendaklah dihenjut lembut setiap masa untuk menarik perhatian mangsa.

Jika mampu membuat balingan (bait casting), pasti lontaran tidak mencederakan ikan hidup yang digunakan sebagai umpan. Jika umpan ikan mati tiada masalah.

 

Sentiasa memeriksa keadaan umpan jika anda memancing berdekatan dengan unjam (umpan sering dikacau sotong dan anak ikan).

Hanyutkan umpan pada kedalaman 10 meter bawah permukaan hingga ke permukaan air.  Lihat kesannya sama ada umpan dirembat di atas permukaan atau di pertengahan air.

 

Teknik Memancing Aya Kurik (bot menunda)

Teknik  ini lebih mudah dan berkesan. Ia lebih produktif di mana hasil melebihi  seekor setiap kali  dinaikkan.

Ia dipanggil menunda (trolling) atau mengolok aya istilah Pantai Timur. Mata apollo berangkai biasanya 20-100 mata dilabuhkan  di belakang bot yang sedang bergerak merentasi kawasan yang dikenal pasti adanya aya.

 

Saiz mata yang digunakan 10-15. Mata kecil yang lebih besar dari mata selar (mata apollo) digunakan dan mempunyai kekuatan tidak mudah patah.

Anak perambut disyorkan 40-60Ib setiap satu diikat pada  100-200Ib perambut utama dan 300Ib untuk tali utama.

Pada tahap ini, jika lebih dari 20 ekor aya menyambar dalam satu-satu masa, 2 hingga 3 orang diperlukan untuk menarik kumpulan aya yang tersangkut pada mata apollo tersebut.

 

Selain itu appollo yang dijual (maksimun 6 mata) boleh digunakan dengan syarat perambut tersebut mestilah melebihi 30Ib.

 

Warna bulu yang digunakan untuk membuat apollo aya biasanya putih (warna bilis) dan sekarang ini warna putih, kuning dan merah digunakan.

 

Selain itu aya juga menyambar gawang sesudu, popper dan jig yang digunakan. Keberkesanan alatan ini anda harus rujuk kepada nelayan atau tekong setempat.

 

 

 

IKLAN