Umpan kini berada di dalam aplikasi   
Umpan kini berada di dalam aplikasi   
Home Berita Trip Retro – Rezeki Geng HSM!!

Trip Retro – Rezeki Geng HSM!!

 

Perjalanan hari pertama berjalan lancar dengan cuaca begitu cantik. Menurut Din, trip ini bukanlah 100 peratus trip ke Pulau Jarak, tetapi akan lebih banyak singgah ke check point lubuk-lubuk kegemaran Ah Heng.

 

Tiba di lokasi pertama, aktiviti pancingan pun bermula. Perambut apollo berumpankan hirisan kembung, udang pasar dan sotong diturunkan.

Tidak lama kemudian, umpan yang dihulur disambut ramah oleh kawanan ikan karang terutamanya ikan kerisi dan anak kerapu.

 

Walaupun tidak sebagak mana, namun sambutan galak yang diterima memberikan senyuman kepada kami terutama Sabiq yang kali pertama turut serta.

Ah Heng beberapa kali menukar lokasi mencari lubuk paling strategik bagi mendapatkan boron dan si bantal emas. Ini kerana, trip geng paramedik dan TNB ini mensasarkan pancingan dasar sepenuhnya.

 

Malam itu semasa makan malam, kekili bangla Dr Rizal yang dipasang di bahagian belakang bot ditekan kuat oleh penghuninya.

Nyata itulah kelebihan bangla yang tiada pada set pancing lain. Sambil makan nasi tekan sahaja punat dan tunggu ikan naik. Akhirnya jenahak dalam skala 2 kg lebih menyerah diri.

 

Kami cuba mencandat sotong, namun tiada seekor pun sotong yang berjaya di candat, malahan malam itu kelibat sotong juga langsung tidak kelihatan di alunan bot.

Apa yang boleh diharapkan ialah menggunakan umpan mati yang ada di dalam tong ais. Beberapa spesies ikan karang berjaya dinaikkan menghiburkan suasana walaupun umpan berkenaan lambat digetu.

 

IKLAN

HARI KEDUA

Tekong Ah Heng cuba untuk memberikan kepuasan kepada kami dengan sedaya upaya menjejaki lubuk-lubuk yang berpotensi sepanjang hari kedua ini.

Apa yang menariknya, jika tempoh 10-15 minit langsung tiada tanda umpan di getu, Ah Heng akan membunyikan hon sebagai tanda kami perlu mengangkat umpan untuk beralih lokasi lain.

 

Tengah hari, kami tiba di lokasi tukun kapal karam. Dr Rizal dan Dr Yu cuba untuk jigging terlebih dahulu.

Baru sahaja jigging Dr Yu melangkaui beberapa meter di bawah, terus sahaja jig miliknya direntap kuat. Selang beberapa saat beraksi, jig tersebut putus yang dipercayai mangsa adalah spesies tenggiri.

 

Cubaan mereka untuk terus jigging terus hampa kerana tiada langsung sambutan yang diterima. Bagi geng TNB, mereka memang terus setia menggunakan kekili bangla.

Hasilnya walaupun tidak besar tetapi ragutan yang kerap terutama dari spesies tanda dan kerapu menceriakan suasana. Dengan senyum Atok, berkata “Pancingan ekstrem bagilah kat orang muda,” katanya.

IKLAN

 

Lewat petang, angin begitu kuat menderu tiba-tiba sahaja datang dan pada malam itu ribut berserta hujan lebat menimpa kami. Memang tiada pilihan, kecuali bertahan sahaja di dalam bot. Mujur bot Ah Heng memiliki kabin yang luas dan tertutup.

 

Malam itu, kami semua melayan sahaja alun laut sehinggalah jam 3 pagi keadaan mulai reda. Ketika ini, geng-geng paramedik yang dah lama ketagih mencari ikan sasaran, menurunkan umpan masing-masing.

Dr Rizal, Dr Jeeva, Dr Yu, Din, Atok dan Azzahari dilihat antara paling konsisten. Selain tidak jemu-jemu memeriksa umpan,

 

Dr Rizal antara yang paling rajin mencandat sotong. Berbekalkan joran teleskopik khas yang diletakkan candat sotong dan dipasang pada rod holder sendiri, beberapa ekor sotong akhirnya berjaya di candat.

 

Hasil menggunakan umpan hidup beberapa ekor gerut-gerut bersaiz kasar serta jenahak bersaiz hampir 3 kg berjaya dinaikkan.

IKLAN

Syafiq yang menukar umpan baru tersenyum riang apabila Banax Kaigen miliknya menjerit kuat. Tetapi bila dinaikkan, hasilnya cumalah yu cicak. Patutlah kuat melawan katanya.

 

KERAPU PENGUBAT DUKA

Menjelang subuh, hujung joran milik Dr Jeeva yang duduk di bahagian belakang bot melentur habis.

Melihat aksi rod yang ‘minum air’ kami menjangkakan ikan boron besar berjaya dinaikkan dan apabila dihela sahaja ke atas, timbul seekor kerapu bersaiz sedap hidangan menjadi rezeki.

Dr Jeeva tersenyum riang kerana walaupun ia bukan bersaiz boron dan hanya seberat hampir 4 kg, ternyata ia ikan yang paling besar dalam trip ini.

 

Menjelang tengah hari, bot mula bergerak pulang menuju ke Jeti Hutan melintang dan tiba di jeti bot Ah Heng kira-kira jam 2 petang.

Dr Jeeva dinobatkan sebagai pemenang ikan terberat iaitu dengan tangkapan kerapu seberat sekali gus menerima hadiah sehelai T-shirt Umpan. Walaupun hasil tidak memberangsangkan, tetapi trip ini berjaya menjalinkan hubungan sesama kami.

 

Nyata geng-geng paramedik ini begitu mendambakan tangkapan yang memuaskan. Terbaru saya menerima e-mel gambar tangkapan dari Dr Rizal yang kembali ke perairan ini.

Memang teruja melihat hasil tangkapan mereka, boron terberat 14 kg dan enam ekor yang lain bersaiz 6-9 kg setiap ekor .

 

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI