Memancing udang galah secara jujurnya bukanlah ‘forte’ penulis dalam arena memancing. Sudah terbiasa melayani sentapan dan tarikan ikan pastinya agak janggal untuk penulis melayan tarikan syahdu dan lemah gemalai si sepit biru.

 

Di kesempatan mengunjungi Temerloh yang juga terkenal dengan julukan Bandar Ikan Patin, memberikan peluang berharga buat penulis apabila turut diundang memancing udang galah di sini.

 

Tekong Jo atau lebih dikenali sebagai Jp Mc di Facebook dipilih penulis untuk menjejaki jenggo di Temerloh.

Memilih tekong dan guide yang tersohor di Temerloh ini ternyata memberikan kelebihan buat penulis untuk mempelajari teknik yang terbaik selain untuk mendapatkan hasil yang lumayan.

 

Trip Retro – Punggah Jenggo Sado Temerloh

 

Misi Bermula

 

Seawal 8.00 pagi kami telah mempersiapkan diri untuk menjejaki lubuk jenggo yang ada di Temerloh.

Usai bersarapan, Jo terus memacu bot fiber 14 kaki miliknya ke lubuk pertama. Harus tahu bahawa untuk memancing udang galah, antara perkara utama yang perlu dititikberatkan ialah mengenal pasti habitat udang.

Inilah yang menjadi antara kelebihan Jo kerana beliau boleh dikatakan arif tentang lubuk-lubuk yang ada di sekitar Temerloh ini.

 

Di lubuk pertama, tidak perlu menunggu lama, Jo menjadi pembuka tirai menaikkan udang galah bersaiz sederhana.

Petanda baik buat kami apabila joran lain milik Jo turut disambar seekor lagi udang galah. Bila tiba giliran penulis disambar udang, penulis terus menyentap joran.

Akibat kurangnya pengalaman, dengan mudah udang terlucut dari mata kail.

 

Trip Retro – Punggah Jenggo Sado Temerloh

 

“Sentap udang macam sentap GT,” kata Jo.

Penulis hanya mampu tersenyum kelat tersipu malu. Agak kecewa juga apabila beberapa sambaran yang penulis terima masih menemui kegagalan sebaliknya Paez yang berada di hadapan bot begitu galak menarik udang galah.

Bertekad untuk menebus beberapa kegagalan awal, penulis cuba mengorek sedikit petua daripada Jo.

IKLAN

 

Tak lokek dengan ilmu Jo terus memberi sedikit demo untuk melayan tarikan udang.

Katanya, apabila udang mencuri umpan yang dihulurkan sebaiknya sentap dengan lembut dengan cara mengangkat tinggi joran bagi membolehkan mata kail tertancap kemas di mulut udang.

 

Trip Retro – Punggah Jenggo Sado Temerloh

 

Katanya lagi, ada masanya bila udang mula menjamah umpan, jangan terus menyentap joran, sebaiknya beri lebih banyak tali sebelum melakukan sentapan.

Ini bagi memberikan lebih banyak peluang buat udang leka menjamah umpan sebelum kita menyentapnya naik.

 

Apabila udang telah mengena juga, seeloknya, jangan terlalu memaksanya naik ke permukaan. Apabila tiba turn si udang melawan, lebih baik kita biarkan sahaja ia menarik tali dan apabila ia berhenti melawan, gulunglah semula tali.

 

Trip Retro – Punggah Jenggo Sado Temerloh

 

Mendapat sahaja rentak, penulis akhirnya berjaya menaikkan udang galah yang pertama. Walaupun masih bersaiz ‘baby’ ia cukup memberikan kepuasan buat penulis. Selepas itu sahaja, satu demi satu udang galah berjaya ditawan penulis.

 

Pindah Lubuk

 

IKLAN

Menariknya turun memancing bersama Jo, beliau akan kerap mengajak kami berpindah lubuk apabila kurang sambaran.

Dari lubuk berhampiran sangkar ikan hinggalah ke lubuk berhampiran tunggul kayu kami terokai.

Biarpun tak semua lubuk menjanjikan hasil buat kami, tetapi sekurang-kurangnya pasti ada sambaran di setiap lubuk yang kami singgahi.

 

Trip Retro – Punggah Jenggo Sado Temerloh

 

Menjelang tengah hari, Jo membawa kami ke sebuah lubuk berhampiran pam pasir. Katanya, di sinilah tempat biasa beliau menaikkan jenggo yang bersaiz sado.

Memang benar jangkaan beliau, beliau sekali lagi menjadi orang pertama menaikkan jenggo yang saiznya benar-benar mengagumkan.

 

Dengan warna yang sudah agak coklat kehitaman dan sepit yang sudah berlumut ternyata ‘jenggo sado’ ini memberikan tentangan yang kuat. Bagi penulis sendiri, inilah pertama kali melihat jenggo bersaiz sebesar itu di depan mata. Memang syok!

 

Trip Retro – Punggah Jenggo Sado Temerloh

 

Akhirnya, penulis juga menerima sambaran. Melihat kepada cara tarikannya Jo menjangkakan ia tarikan daripada si jenggo.

Memang benar, tidak lama selepas sesi tarik menarik, muncullah sepit biru di  permukaan air. Penulis yang pertama kali melayani jenggo cuba melayan tarikannya dengan berhati-hati.

 

IKLAN

Alhamdulillah safely landed jenggo ini ke dalam bot. Walaupun mata kail hanya tersangkut di sepitnya sahaja dan tak ‘boll’, tapi penulis tetap berbangga lebih-lebih lagi dengan Paez yang masih belum mendapat jenggo sado yang diidam-idamkan.

 

Trip Retro – Punggah Jenggo Sado Temerloh

 

Hujan Lebat

Menjejak ke petang tidak semena-mena hujan turun dengan lebatnya. Walaupun begitu kami terus bertekad untuk teruskan sesi pancingan apatah lagi apabila diasak bertubi-tubi oleh udang galah Sungai Pahang.

 

Ternyata Jo yang banyak pengalaman menaikkan paling banyak jenggo. Lepas dia, dia, lepas tu dia lagi.

Sedangkan penulis dan Paez hanya berpesta udang telur dan udang bersaiz sederhana. Apabila cuaca menghampiri gelap, kami terus berkemas untuk pulang semula ke rumah rakit.

 

Trip Retro – Punggah Jenggo Sado Temerloh

 

Melihat sahaja hasil tangkapan kami bertiga sudah cukup membuatkan kami tersenyum puas. Hampir 3kg udang galah pelbagai saiz termasuk 7 ekor bersaiz sado menjadi tawanan kami.

Champion sudah tentulah Jo yang paling banyak menaikkan udang disusuli saya dan Paez.

 

Untuk pengalaman pertama ini memang penulis akui memancing udang ada keseronokannya yang tersendiri. Selain teknik yang berbeza, tarikan lemah gemalainya antara keunikan dan karen memancing udang galah.

(Oleh: Mohd Fazrul)

 

Kalau tak best tolong beritahu kami, kalau best tolong la SHARE. Terima kasih! UMPAN

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @ majalah umpan

 

Baca juga

 

Tip & Trik Menjenggo Sungai Temerloh

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI