Memancing di atas sampan atau bot memang mempunyai kelebihannya yang tersendiri kepada kaki pancing terutama jika mahu meneroka lubuk yang lebih berpotensi tidak kiralah ditengah laut, tasik mahupun sungai. Tetapi harus diingat, biarpun ada kelebihan memancing di atas bot, namun risiko terdedah kepada bahaya juga amat tinggi. Berikut merupakan beberapa langkah keselamatan yang boleh diambil kira ketika memancing di atas bot:

 

Sentiasa memakai jaket keselamatan yang diikat kemas pada badan (jangan hanya menyarung pada badan tanpa mengikatnya). Dan pastikan juga jika menggunakan jaket keselamatan berkenaan mampu mengapungkan berat anda, tidak kira jenis jaket keselamatan yang digunakan.

 

Jika anda memiliki bot dan enjin sendiri, pastikan bot dan enjin berada dalam keadaan baik sebelum keluar memancing. Begitu juga jika anda adalah seorang tekong. Jangan abaikan perkara ini. Juga pastikan kelengkapan peralatan membaiki dan minyak tambahan mencukupi.

 

Jaga adab dan tutur kata ketika memancing di tengah laut mahupun kawasan terpencil di sungai pergunungan. Yang penting sekali mulut jangan CABUL! Kecuali korang memancing seorang diri.

 

Waspada terhadap ancaman ribut. Jika boleh, tamatkan trip atau cari kawasan berlindung dengan segera sebelum ribut melanda.

 

Bawalah lampu suluh walaupun tidak bercadang untuk pulang lewat petang atau malam. Ia umpama sediakan payung sebelum hujan kerana tiada siapa yang dapat menjangkakan apa yang bakal berlaku.

 

Sentiasa waspada terhadap tunggul kayu atau kayu balak hanyut tidak kiralah di sungai atau laut. Banyak kejadian sampan terbalik gara-gara melanggar kayu hanyut.

 

Elakkan memegang joran ketika hujan lebat atau ribut petir untuk elakkan risiko daripada terkena renjatan elektrik. Barang-barang elektronik pada bot juga boleh terjejas jika joran disambar kilat.

 

Untuk casting di dalam bot, adalah lebih baik jika pemancing bertolak ansur untuk cast dan harus sentiasa memastikan jarak yang selamat sebelum melontar gewang. Casting di atas sampan merupakan risiko paling tinggi terkena mata tiga gewang.

 

Bawa peti keselamatan yang lengkap dengan ubat-ubatan dan sewaktu dengannya.

Tinggalkan Komen