Menggunakan telur ikan tapah untuk memancing ikan baung, mungkin sesuatu yang amat janggal bagi pemancing di Semenanjung Malaysia. Mana nak dapat telur ikan tapah?

Jangan kata telur ikan tapah, ikan tapah itu sendiri pun masih ramai pemancing yang belum pernah menyentuhnya, apatah lagi berjaya mendaratkannya.

 

Namun, penggunaan telur ikan tapah sebagai umpan bagi memancing ikan baung bukanlah sesuatu yang asing di Sarawak, terutamanya di Tasik Bakun.

Tentu saja ia bukan sesuatu yang pelik kerana bukan saja populasi ikan baung yang banyak, bahkan ikan tapah juga berkembang biak dengan baik di sana.

 

Tapah yang diambil telurnya

 

Penulis berpeluang menguji sendiri keberkesanan telur ikan tapah sebagai umpan apabila berkunjung ke Tasik Bakun tidak lama dahulu.

Ia berlaku secara spontan apabila pekerja di sebuah rumah terapung atau jelatong yang menjadi kediaman penulis, menyiang ikan tapah untuk dijadikan hidangan kami pada malam tersebut.

 

Tindakan pekerja tersebut mengasingkan telur tapah di dalam bekas itu mendorong penulis untuk bertanya.

Apabila dinyatakan telur tersebut bagus untuk dijadikan umpan memancing baung, penulis segera meminta izin untuk mengujinya.

 

Memandangkan kedatangan kami ke Tasik Bakun lebih kepada trip casting, maka kami tidak membawa peralatan untuk pancingan dasar.

Jangankan batu ladung, mata kail pun tiada seorang pun yang membawanya. Sebagai alternatif, penulis cangkukkan sedikit telur tapah itu pada mata kail gewang sesudu.

Sesudu seberat 7 gm yang bersifat tenggelam itu pastinya tiada masalah untuk menghantar umpan telur tapah ke dasar tasik.

 

Mengena

 

Memandangkan tidak pasti bagaimana rupa permukaan dasar tasik, penulis tidak membiarkan sahaja sesudu berumpan telur tapah itu terendam di dasar.

Sesekali penulis mengangkatnya beberapa inci dari dasar dengan cara mengujun. Tidak sampai lima minit mengunjun, penulis dapat rasakan ada sesuatu yang menyambar sesudu berumpankan telur ikan tapah berkenaan.

Tidak sampai seminit kemudian, seekor baung anggaran berat hampir satu kilogram berjaya didaratkan!

 

Hasilnya…

 

Tinggalkan Komen