Secara umumnya, ikan sembilang atau gemang lebih menggemari kawasan laut yang berhampiran dengan mulut muara atau estuari.

Kadangkala ia turut memasuki sungai hingga ke kawasan berair tawar mengikut aliran air laut terutama apabila berlaku fenomena air pasang besar.

Kebiasaannya ia akan bergerak berpasangan atau dalam kumpulan yang kecil.

 

Manakala sembilang karang pula lebih suka mendiami kawasan terumbu karang sepanjang pantai terbuka dan kadangkala bergerak ke muara tetapi jarang sekali memasuki perairan yang bersaliniti rendah.

Ia juga bergerak dalam kumpulan yang agak besar yang terdiri dari beberapa ratus individu.

 

Walaupun kedua-dua spesies ini mempunyai habitat berbeza, namun mereka mempunyai tabiat hidup yang hampir sama.

Sebagaimana sifat kebanyakan ikan bermisai (catfish) lain mereka tidak suka bergerak bebas.

Sebaliknya lebih banyak menghabiskan masa dengan melekapkan diri pada dasar perairan dan sesekali merayap mencari makanan.

Dalam hal ini, sesungut yang berada di sekitar mulut banyak membantu dalam proses mencari makanan.

 

umpun-umpun merupakan antara umpan terbaik

 

Tabiat pemakanan yang agak pasif ini menyebabkan jenis makanan yang diambil adalah terhad kepada kehadiran makanan di bahagian dasar dan juga organisma yang tidak mampu bergerak pantas.

Berdasarkan analisa kandungan perut, kedua-dua spesies sembilang ini secara semulajadinya menjadikan krustasea kecil, moluska dan anak-anak ikan sebagai makanan utama.

 

Di kalangan pemancing, tabiat pemakanan sebegitu sedikit sebanyak memberi peluang kepada mereka untuk memancing sembilang dengan mudah.

Ini kerana ikan-ikan sebegini tidak terlalu cerewet dalam memilih umpan. Jadi pemancing tidak perlu terlalu serius mencari umpan jika ingin memburu sembilang.

Mereka turut memakan umpan yang mudah dicari seperti isi ikan yang dipotong-potong.

 

 

Namun begitu banyak pendapat yang mengatakan sembilang lebih tertarik kepada umpan-umpan yang semulajadinya terdapat di sekitar kediaman mereka seperti perumpun, anak-anak udang dan siput.

Selain itu bivalvia seperti kerang segar turut menjadi umpan pilihan pemancing. Bau umpan yang hanyir ini akan menarik perhatian sembilang yang terdapat di sekitarnya.

 

Memandangkan tabiat sembilang yang kurang bergerak, pengetahuan tentang tempat mereka berkumpul adalah penting.

Di kawasan tertentu, sangkar-sangkar ternakan ikan sering menjadi pilihan pemancing. Ini kerana kebanyakan ikan termasuk juga sembilang sering berkeliaran di bawah sangkar menunggu sisa makanan yang terjatuh ke dasar.

 

 

Walaupun ikan sembilang bukan dari jenis yang mampu bersaing hebat, namun rentapannya semasa merampas umpan sememangnya mendebarkan.

Apatah lagi jika ia adalah sembilang bersaiz kasar atau gemang. Gemang bukan sahaja ganas merentap umpan tetapi turut membuatkan pemancing lenguh mengawal kekili sebelum dapat menewaskannya.

 

Seperkara lagi yang menarik apabila memancing sembilang ialah sekiranya anda bertemu rombongannya (biasanya sembilang karang).

Dalam hanya beberapa ketika anda sudah mampu mendaratkan berpuluh-puluh ekor ikan.

 

Tinggalkan Komen