Ada sesetengah pemancing tidak gemar memancing dengan menggunakan set pancing yang dipinjam. Kepuasan menggunakan set pancing sendiri adalah lebih berbanding menggunakan set pancing pinjam.

Namun, sekiranya anda harus meminjam set pancing kawan untuk memancing, maka beberapa perkara anda perlu lakukan.

 

KETAHUI LIMIT KLASIFIKASI SET PANCING

Ini merupakan perkara utama yang perlu dilakukan sebelum meminjam dan menggunakannya.

Semak dulu kesesuaian set pancing tersebut dengan jenis pancingan yang anda ingin lakukan.

Contohnya jika ingin berjigging maka pastikan set pancing tersebut adalah untuk jigging. Bukannya untuk memancing di kolam.

Kalau memancing di laut, pastikan set pancing tersebut khusus untuk pancingan air masin. Begitu juga dengan had aksi kekuatan set pancing. Pastikan ia sepadan.

Ia penting kerana bukan saja akan melancarkan sesi memancing tetapi tidak perlu berhadapan dengan risiko set pancing tersebut rosak.

 

 

TELITI SEBARANG KEROSAKAN

Ambil sedikit masa untuk menelek sebarang kerosakan atau kesan calar pada set pancing berkenaan. Sekiranya ada sebarang kerosakan atau calar, nyatakan terus situasi tersebut.

Ini dapat mengelak daripada timbul sebarang isu selepas anda memulangkannya nanti. Lebih bagus sekiranya anda mengambil gambar set pancing itu sebelum dan selepas menggunakannya.

 

 

TAHU GUNA

Kalau tak tahu guna, baik jangan pinjam. Tetapi kebanyakan pemancing menyangka set pancing semuanya mudah untuk digunakan. Terutamanya set pancing elektronik seperti kekili elektrik.

Kekili elektrik bukan sekadar tekan butang sahaja. Apa jadi sekiranya mata kail tersangkut pada karang atau sebagainya. Setakat tekan butang sahaja tidak akan menyelesaikan masalah.

Itulah pentingnya sedikit pengetahuan tentang menggunakan set pancing sebelum anda meminjam.

 

 

BUAT MACAM HARTA SENDIRI

Ia sama seperti kita menggunakan kereta sendiri dengan kereta syarikat. Bila bawa kereta sendiri lain kaedahnya tapi bila bawa kereta syarikat, kita lenjan ikut suka.

Konsep ini sama sekali tidak boleh diamalkan jika meminjam set pancing member. Malah kita harus menggunakan set pancing pinjam ini mengalahkan kita guna set pancing sendiri.

 

 

JANGAN BAGI ORANG LAIN GUNA

Adalah penting ketika menggunakan set pancing tersebut dalam sesuatu trip memancing, jangan cuba pula berikan pada rakan trip menggunakannya. Kedengarannya macam kedekut sangat.

Tapi ada baiknya anda bersifat kedekut kerana jika sebarang kejadian berlaku ke atas set pancing tersebut, anda yang bertanggungjawab. Bukannya rakan trip tersebut.

Contoh mudah, jika jorannya patah apa yang akan anda jelaskan pada member yang bagi pinjam tu? Dan bagaimana pula reaksi member anda itu?

 

 

JANGAN BAGI PINJAM KEPADA ORANG LAIN

Situasi ini tidak sama dengan bagi orang lain guna sebaliknya lebih parah dan tidak sepatutnya berlaku. Jika anda nak beri pinjam juga sebaiknya pulangkan dulu set tersebut pada member anda.

Biarlah apa kawan anda yang nak pinjam tu kata apa sekalipun. Ia jauh lebih baik daripada anda memberinya pinjam sama ada dengan pengetahuan pemiliknya ataupun tidak.

 

 

PULANGKAN DALAM KEADAAN SEMPURNA

Maksudnya di sini, pulanglah set pancing tersebut dalam keadaan sebagaimana anda meminjamnya dulu. Sebelum memulangkannya lakukan sedikit servis kecil seperti mencucinya.

Sebaik-baiknya biar nampak seperti ia tidak digunakan langsung. Lebih bagus sekiranya anda ceritakan sedikit atau buat repot bagaimana anda menggunakannya. Dan lebih-lebih cantik lagi, berilah sedikit hasil memancing yang anda perolehi.

 

 

Tinggalkan Komen