Penternakan kupang di rumah rakit memang menjadi antara yang popular di jajaran muara sungai sekitar Johor Bahru. Rakit Wak Kahar yang terletak di Sungai Danga misalnya, menjadikan penternakan kupang ini cukup popular dan dikhabarkan mampu menyemai 50 hingga 60 tan kupang pada setiap bulan.

 

Namun, bukan itu sahaja, selain daripada terkenal sebagai pengeluar kupang utama negeri Johor, Rakit Wak Kahar juga turut tersenarai sebagai antara lokasi pancingan yang popular bagi kaki pancing Selatan tanah air.

 

Rakit Kupang

Berkesempatan mengunjungi rakit ini sewaktu pertandingan Micro Jigging Challenge ternyata memberikan pengalaman memancing yang baru buat penulis. Jika kebanyakan rakit sebelum ini yang penulis kunjungi lebih mengamalkan konsep pancingan yang lebih terbuka di sekitar rakit, namun di Rakit Wak Kahar ternyata lapangan pancingnya lebih unik.

Ini kerana kebanyakannya kaki pancing menjadikan kawasan lubang-lubang kecil yang mengikat tali kupang sebagai kawasan pancingan mereka.

 

Pemiliknya, Kahar Bin Abu atau lebih mesra dipanggil Wak Kahar berkata, “Pada asalnya rakit ini yang dibina hampir 12 tahun yang lalu ini memang hanya meletakkan fokus utama terhadap penternakan kupang.

 

Namun bila melihat sendiri potensinya untuk aktiviti memancing, maka saya mula membuka rakit ini kepada kaki pancing dan ternyata ia mendapat sambutan yang hangat dari kaki pancing seluruh Malaysia terutamanya sekitar Johor Bahru dan Singapura”.

 

Ternyata banyak keunikan yang ditawarkan oleh Rakit Wak Kahar ini. Selain terkenal sebagai rumah rakit yang terbesar di Sungai Danga dan Sungai Melayu, ia juga menjadi antara rumah rakit yang termurah dan paling berbaloi dikunjungi oleh kaki pancing.

IKLAN

 

Dengan bayaran tambang bot pergi balik RM8.00 sahaja, pemancing boleh memancing di sini mengikut tempoh masa yang anda suka kerana tiada had masa dan tiada caj bayaran untuk memancing dikenakan di sini.

 

Kemudahan yang ada juga cukup lengkap. Kedai makan (beroperasi siang hari sahaja), tandas, umpan dan bermacam lagi turut tersedia di sini.

Bagi yang inginkan bilik menginap, kadar sewa bilik di sini juga cukup berpatutan iaitu RM40 untuk 1 malam.

 

Untuk memancing di sini jangan risau jika terputus bekalan umpan. Ini kerana ikan-ikan yang ada di rakit ini ternyata lebih menggemari umpan kupang yang mana ia turut dijual di sini.

Namun sebagai alternatif tambahan, pemancing juga bolehlah membawa bekalan umpan lain seperti udang, sotong dan umpun-umpun jika mahukan lebih variasi.

IKLAN

 

Antara ikan-ikan popular yang sering dinaikkan oleh kaki pancing yang berkunjung ke sini ialah daun baru, ebek, semilang, duri, kapas, siakap, kerapu dan tanda.

Namun yang paling popular tentulah ikan daun baru yang mana ia sering dijadikan ikan target bagi kaki pancing yang menggemari teknik bottom dengan menggunakan umpan hirisan kupang.

Jika kena pada musimnya iaitu ketika air sejuk, kaki pancing mampu menaikkan berpuluh-puluh ekor daun baru di rakit ini.

 

Fenomena Mikro Jigging

Ternyata keunikan yang ada di rakit ini tidak terhad kepada itu sahaja. Sejak akhir-akhir ini, rakit ini mula mendapat perhatian daripada kalangan kaki jigging Selatan tanah air.

Jika sebelum ini kerap kali kita dengan pancingan jigging dari atas bot, namun ternyata di rakit ini aplikasi mikro jigging boleh diguna pakai untuk memburu spesies pemangsa seperti ebek, kerapu, jenahak dan bawal pinang yang banyak bermain di sekitar rakit.

IKLAN

 

 

Aplikasi teknik ini mula diguna pakai sejak 8 tahun yang lalu, walaupun pada awalnya masih belum ramai yang berani mengaplikasi teknik mikro jigging di sini.

Namun, bila melihat sendiri hasil yang semakin memberangsangkan, lebih ramai kaki pancing mula menggemari untuk mengaplikasikan teknik ini dan tidak hairanlah

pertandingan micro jigging yang berkonsepkan tahunan sering menjadikan rakit ini sebagai lokasi utama penganjuran.

 

Perancangan Rakit Wak Kahar

 

Melihat kepada sambutan yang luar biasa dari kaki pancing, ternyata Wak kahar kini mula membayangkan untuk menaik taraf rakit yang sedia ada ini.

Jika sekarang ia mampu memuatkan 50-60 pemancing pada satu-satu masa, Wak Kahar bercadang untuk membesarkan lagi rakit ini agar mampu memuatkan lebih ramai kaki

pancing dan pada masa yang sama akan meningkatkan lagi fasiliti dengan membina sebuah restoran dan kawasan memancing yang lebih selesa.

 

Menurut beliau, semua perancangan ini dijangka akan direalisasikan mulai tahun hadapan. Jadi, bagi yang ingin merasai sendiri pengalaman memancing di Rakit Kupang Wak Kahar, bolehlah melawat laman Facebook mereka iaitu Rakit Wakahar.

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI