(Oleh : Wannazir Wanosman)

Apabila memburu toman di Air Ganda, saya lebih suka berkunjung ketika air rendah. Kandungan oksigen yang kurang menyebabkan toman lebih kerap timbul mengambil udara.

Struktur seperti tunggul kayu mati, reba, rimbunan ranting serta kayu tumbang mudah ditemui, yang mana di sini kebiasaannya toman bersembunyi.

 

Namun kunjungan kami kali ini ketika air tinggi. Struktur di bawah air tidak kelihatan. Tekong menyasarkan kawasan ‘highway’ sebagai medan tempur.

Sekitar 45 minit perjalanan dari jeti, tekong memperlahankan enjin sambil memerhati keadaan sekeliling.

Bila sudah hampir dengan kawasan lubuk toman enjin dimatikan dan tekong berdayung secara perlahan-lahan.

 

Setelah gewang keramat disemat ke hujung leader pemancing perlu bersiap sedia dalam keadaan berdiri.

Dengan set pancing digenggam kemas di tangan, mata serta telinga perlu peka dengan bunyi kocakan air di mana toman meneguk udara.

Pemancing yang mampu menghantar gewang dengan tepat lagi pantas mempunyai kelebihan mendapat lebih sambaran.

 

Panjang joran tidak menjadi masalah kerana memancing menggunakan bot. Acap kali juga toman timbul hanya beberapa kaki sahaja dari bot.

Kekuatan joran serta kuasa tuilan yang mantap lebih perlu dititik-beratkan agar mampu mengekang larian sang toman sebelum menyusup ke bawah struktur.

 

Ketika air tinggi struktur di dalam air yang tidak kelihatan boleh menyebabkan bot terlanggar tunggul.

Walaupun ada penduduk kampung yang menyewakan bot dan pemancing boleh pandu sendiri tapi lebih selamat jika menggunakan khidmat tekong yang tahu selok-belok di sini.

Keadaan tasik ini juga tidak kurang berbelit-belit. Waktu pergi nampak macam OK, tapi bila menghala balik akan celaru mana satu simpang yang harus dilalui.

 

Trip Retro – Memburu Toman Air Ganda Di Musim Kering

 

IKLAN

Saya bertanya pada tekong, Pak Usop, antara air tinggi dengan air rendah, mana yang lebih efektif untuk menoman di sini. Ini jawapan beliau…

“Kalau air tinggi… lama-lama toman kurang galak. Air rendah lama-lama pun sama. Dia lepas air naik atau air baru lepas surut, masa tu toman galak”.

 

GEWANG PILIHAN

 

Mengilat toman menggunakan gewang permukaan amat mengujakan. Pencil, popper, jump frog serta buzz bait pasti mendapat tempat di dalam kotak gewang.

Namun begitu gewang selaman perlu dibawa bersama, sama ada selaman cetek mahu pun dalam. Bila mana toman kurang berselera dengan gewang permukaan, maka gewang

selaman akan beraksi seperti Megabass Deep-X, Rapala Fat Rap, Zerek Giant Ruby, Ofmer X-Deep serta Rapala Risto Rap dan lain-lain.

 

Trip Retro – Memburu Toman Air Ganda Di Musim Kering

 

Pada kunjungan ini kami mempraktikkan kedua-dua aksi sekali gus. Apabila terdengar riak air, seorang melontar gewang top water mana kala seorang lagi menghantar gewang selaman.

Dua-dua pun mencakup. Megabass X-Pod yang saya lontar diterkam sebaik sahaja mencecah permukaan tasik.

Untuk riak air berikutnya gewang selaman rakan pula disergap laju. Penggunaan sesudu juga efektif.

 

IKLAN

Bila tekong memasuki suak atau teluk saya menukar gewang kepada sesudu. Sebelum gewang kesayangan lebur dilarikan samseng tasik lebih baik stanby awal-awal.

Memang betul. Balingan entah kali yang ke berapa sesudu Gold 18 gram disergap pemangsa yang kasar.

 

Trip Retro – Memburu Toman Air Ganda Di Musim Kering

 

Muncul dari bawah batang kayu, jelas kelihatan laju menerpa dan terus strike. Pecutan ala torpedo ke celah bangkar mengakibatkan putus tali utama setelah berlaku pergeseran dengan struktur dalam air.

 

Percubaan saya menggunakan soft frog juga memberangsangkan. Beberapa sambaran berlaku di kawasan yang banyak terdapat batang kayu timbul serta reba.

Katak getah dilontar hingga ke tebing dan menariknya ke arah bot yang berada di tengah suak.

 

TOMAN CULAS

 

Toman yang terlucut akan serik. Begitu juga apabila toman berjaya melarikan gewang.

Kesakitan akibat kecederaan di mulut atau rahang serta merasa janggal dengan ‘aksesori tambahan’ di bibir akan membuatkan toman lebih berhati-hati untuk menyergap gewang pada lain masa.

IKLAN

 

Kerap kali mengena mata kail sama ada mata tunggal atau double hook di belakang jump frog mahu pun mata tiga juga antara penyebab sang toman culas. Ikan lebih berwaspada dan semakin cerdik!

 

Trip Retro – Memburu Toman Air Ganda Di Musim Kering

 

Tempoh pertarungan yang lama akan menyebabkan toman menjadi lemah dan boleh mati.

Penggunaan peralatan yang sepadan perlu diambil perhatian agar tidak terlalu lama ‘fight’ dan ikan dapat didaratkan dalam keadaan masih cergas serta selamat untuk dilepaskan kembali.

 

Di tasik ini, sudah cukup dengan rawai yang menghiasi di tepi-tepi tebing. Sudah memadai jaring-jaring yang pelampungnya memutih melintang di tengah tasik. Itu kerjaya mereka sebagai nelayan menyara keluarga.

 

 

Sebaiknya diabaikan niat untuk membawa balik spesies game fish air tawar yang popular ini. Cukuplah sekadar pelepas gigil dengan sergapan serta pertarungan yang dinikmati.

Bagaimana perasaan apabila gewang harapan dilontar namun tiada pemangsa yang endah. Terubatkah hati dengan terma ‘kumpau itu indah…?’.

 

Trip Retro – Memburu Toman Air Ganda Di Musim Kering

baca juga Produk & Servis: Tekong Otai Air Ganda

 

Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!

Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan

Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI