Perkenalan penulis dengan tekong Angah bukanlah baru. Sebelum ini penulis pernah merasai pengalaman memancing sembilang bersama Angah di Kuala Lukut ini.

Justeru apabila penulis mendapat perkhabaran dari Angah yang beliau sudah mula membawa kaki pancing memancing di luar kuala dan kali ini katanya memancing di

sekitar Jimah Power Plant, penulis tidak teragak-agak untuk menghubungi Angah untuk mengatur trip memancing bersamanya di Jimah Power Plant.

 

Tiba hari yang dijanjikan, Angah terus memacu bot 25 kaki menuju ke unjam untuk mencari ikan pelagik yang akan dijadikan umpan nanti.

Menurut Angah, selain mencari umpan kawasan ini juga menjadi tempat terbaik untuk memburu spesies pemangsa yang gemar bermain di pertengahan air seperti tenggiri batang, tenggiri bunga dan talang.

 

Trip Trobek – Jimah Power Plant Terbukti Power

 

Setelah bekalan umpan mencukupi, Angah terus memberi isyarat untuk mengubah lokasi.

Kali ini kami menuju ke kawasan karang panjang yang dikatakan menjadi kawasan permainan spesies gred A seperti jenahak dan kerapu.

 

Namun, nak dijadikan cerita, belum sempat kami tiba di kawasan tersebut, tiupan angin kencang dipadankan dengan alun besar telah membatasi perjalanan kami.

IKLAN

Akhirnya, kami akur terhadap kejadian alam, lebih baik berlindung daripada bahaya dan kami kembali ke kuala untuk berlindung sementara menunggu cuaca mulai reda.

 

Mujurlah, perjalanan ke kuala tidak mengambil masa yang lama. Sekurang-kurangnya rasa sedikit selamat memancing di sini walaupun dilanda ribut yang tak menentu.

Jadi sementara menunggu cuaca kembali pulih, sempatlah kami melayan sembilang, tetanda dan gerut-gerut di muka kuala ini. Jadilah, sedikit sebanyak menghilangkan rasa bosan kami di sini.

 

Trip Trobek – Jimah Power Plant Terbukti Power

 

Apabila cuaca mulai pulih, kami terus menuju ke lokasi target iaitu Jimah Power Plant. Perjalanan dari kuala sungai untuk ke sini hanya sekitar 15-20 minit sahaja.

Tidaklah memakan masa yang lama. Bekalan umpan seperti udang hidup, tamban dan pelata telah kami siap sediakan sebelum menuju ke sini.

IKLAN

 

Adalah penting untuk membawa pelbagai variasi umpan kerana selera ikan sentiasa berubah-ubah dan kita sebagai pemancing harus sentiasa “trial and error” untuk mengetahui umpan mana yang lebih berkesan.

 

Setibanya di sini, Angah terus melabuhkan bot di bawah jeti Jimah Power Plant. Terdapat sebuah lagi bot yang awal-awal sudah menunggu di bawah jeti untuk memburu isi perut Jimah Power Plant.

 

Menurut Angah, di kawasan bawah jeti Jimah Power Plant ini kaedah menggantung umpan adalah terbaik untuk digunakan.

Ini kerana, jika umpan dilepaskan ke dasar, potensinya untuk sangkut ke karang adalah amat tinggi.

 

IKLAN

Jadi, cara yang biasa digunakan ialah penggunaan tanduk bersama perambut sepanjang sedepa setengah dan melepaskannya separuh atau tiga suku dari permukaan air.

Katanya, dengan teknik ini, ia terbukti berkesan untuk menawan ikan seperti senangin, GT, talang dan alu-alu yang banyak bermain di tiang-tiang jeti.

Jika tiba musim ikan masuk, memang tak menang tanganlah menarik penghuni Jimah Power Plant.

 

Melihat aksi ikan sewaktu memancing di sini, memang penulis amat galakkan untuk kaki pancing merasai sendiri pengalaman memancing di Jimah Power Plant. Henjutan padu senangin, GT dan talang di sini memang tak dapat dinafikan kehebatannya.

 

Trip Trobek – Jimah Power Plant Terbukti Power

 

Jelaslah, Jimah Power Plant memang amat berpotensi untuk diketengahkan kepada kaki pancing.

Dengan jarak perjalanan ke sini yang tidak terlalu jauh dari ibu kota dan kos yang tidak terlalu tinggi, kawasan ini memang boleh dijadikan lapangan yang sesuai untuk kaki pancing terutama yang baru hendak menjinakkan diri di dalam pancingan laut.

 

Tekong Angah adalah tekong yang amat penulis sarankan jika anda mahu merasai pengalaman memancing di sini.

Servis yang terbaik dan kecekapan mencari lubuk oleh tekong Angah memang amat penulis kagumi. Beliau juga tidak lokek ilmu dan sentiasa mementingkan keselamatan kaki pancing.

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI