Dunia seorang penganyir ini sukar untuk diduga. Begitu juga dengan bentuk pancingan dan hasil yang dipancing.
Apa saja jenis kaedah untuk memperoleh hasil akan dilakukan jika gagal memperolehnya melalui kaedah memancing.
Namun kaedah mendapatkan hasil tersebut tidaklah menghalalkan cara demi mencapai matlamat.
Banyak cara yang beretika untuk mendapatkan hasil tangkapan sekiranya penggunaan joran dan kekili menemui jalan buntu. Salah satu caranya ialah dengan mengoca.
Mungkin ramai yang tidak biasa mendengar perkataan mengoca dan tertanya-tanya akan maksud perkataan itu.
Namun bagi masyarakat terutamanya di Negeri Sembilan, perkataan itu bukanlah sesuatu yang asing.
Mengoca ini membawa maksud aktiviti menangkap ikan beramai-ramai menggunakan tangan dan selalunya tertumpu di kawasan sungai, tali air atau kolam.
Lazimnya, aktiviti mengoca diadakan selepas musim menuai padi yang mana ketika itu kebanyakan sungai, tali air atau empangan mulai kering.
IKLAN
Namun jika paras air sungai atau kolam itu didapati agak dalam yang menyulitkan untuk menangkap dengan tangan, penduduk akan menggunakan pelbagai peralatan menangkap ikan seperti tangguk, jala dan jeramak.
Baru-baru saya dan beberapa rakan pemancing melaksanakan aktiviti mengoca tanpa dirancang. Perancangan asal kami ialah untuk casting di tebing-tebing sungai di Sungai Tekala, Semenyih.
Setelah beberapa lokasi kami redah dan gagal memperoleh hasil, kami bertemu dengan sebuah lopak kolam di tepi sungai (kawasan limpahan air sungai) yang dihuni spesies ikan yang tidak dikena pasti.
Setelah meninjau keadaan dan kedalaman lopak kolam tu kami segera bertindak.
Menyedari tidak sesuai untuk memancing di lopak kolam tersebut, sedangkan kelihatan begitu banyak pergerakan ikan, maka kami bersepakat untuk mengoca.
IKLAN
Tanpa berlengah kami segera mengambil tangguk di dalam kereta.
Secara beramai-ramai kami mengepung dan membimbing ikan-ikan agar lari ke arah tangguk. Dalam masa yang singkat kami sudah memperoleh hasilnya.
Tak sangka pula lopak kolam itu dihuni oleh kumpulan ikan terbol. Saiz-saiz ikan terbol itu pula agak kasar-kasar juga.
IKLAN
Lebih dari satu juga kami menghabiskan masa mengoca di lubuk terbol itu. Setelah hasilnya dikumpul dan ditimbang, sama sekali kami tidak menyangka berjaya mengoca terbol hampir 30 kg banyaknya.
Ikan-ikan terbol itu kami agihkan sesama sendiri dan turut menjadi rezeki jiran tetangga yang berdekatan.
(Saksikan juga sedutan video aktiviti mengoca di bawah ini… ↓)
Pada hari hujung minggu awal bulan yang lalu, satu komplot untuk mencari tenggiri telah dilaksanakan dengan jayanya.
Komplot diuruskan oleh kenalan saya di Pekan, Pahang yang mana segala urusan sewaan bot, makan dan minum dan termasuk makan malam diuruskan oleh dia.
Bagi saya, hobi memancing ini untuk mendapatkan hasil buruan adalah perkara kedua. Perkara pertama ialah apabila berjaya pergi keluar memancing.
Ini kerana perlu membahagikan masa antara kerja, hobi dan kawan-kawan menjadikan satu cabaran untuk memenuhi komplot memancing itu.
Walaupun jeti kami di Cenderawasih, Kuantan kami perlu tiba di Kuantan dari Kuala Lumpur seawal jam 5 pagi bagi memenuhi selera makan ikan tenggiri yang makan pada awal pagi.
Ini juga bagi menampung waktu masa yang diperlukan untuk sampai ke lokasi unjam yang berada di Kemaman, Terengganu mengambil masa lebih kurang 2 jam.
Sesuatu yang sangat mengujakan kerana jarang sekali kami perlu berlepas dari jeti seawal 5 pagi.
Bot sewaan kami berlepas tepat jam 5.30 pagi. Saya dan rakan-rakan mengambil kesempatan untuk tidur bagi memberi tenaga sewaktu tiba di lokasi unjam.
Saya diberi kelebihan untuk tidur atas `tilam’ di bot memandangkan saya memandu di sepanjang perjalanan.
Ikan tenggiri yang terdiri dalam keluarga Scomberomorus disukai oleh rata-rata pemancing di Malaysia kerana kekuatannya mencuri tali keluar dari kekili hingga menyebabkan kekili berdesing. Deringan inilah yang amat dirindui oleh rata-rata pemancing.
Saya sebelum ini didedahkan dengan teknik pancingan berhanyut menggunakan ikan tamban bagi memikat sang tenggiri.
Lain pula pada kali ini teknik yang digunakan kali ini 100 peratus menggunakan gewang besi yang digelar speed jig.
Tiba di lokasi unjam kami bersemangat tinggi melempar gewang dan menggunakan teknik karau laju bagi meniru aksi anak ikan yang berenang bebas.
Tekong menghanyutkan bot berdekatan kawasan unjam bagi memikat tenggiri.
Boleh dilihat, kumpulan ikan tongkol meloncat-loncat kegembiraan di tepi bot kami tapi memandang ia bukan ikan sasaran kami hanya melihat dengan tenang tetapi geram.
Hampir lenguh tangan kami mengarau laju jig tetapi tenggiri tidak berjaya dipikat. Tekong memberitahu kami yang karauan kami tidak cukup laju.
Sampai bergegar-gegar bahu kami barulah tekong luluskan tahap kelajuan itu.
Tidak memerlukan masa yang lama seekor tenggiri bersaiz lengan budak umur 1 tahun berjaya dipikat oleh ahli komplot.
Selang beberapa minit seeokor lagi tenggiri juga bersaiz lengan budak menyambar jig. Tiada pertarungan hebat berlaku kerana tenggiri agak kecil.
Seekor haruan tasik juga menyambar jig ahli komplot lain yang memberikan tarungan yang agak mendebarkan.
Agak tertekan melihat ahli komplot dah dapat melayan ikan saya mengambil keputusan untuk tidur. Tidak dinafikan teknik karau laju gewang ini memenatkan saya.
Saya dikejutkan dengan jeritan ‘dorado! Dorado!’. Rupa-rupanya satu pertarungan antara tekong dan seekor ikan dorado yang bersaiz kasar.
Saya teruja kerana ituada lah antara ikan ikan idaman saya yang juga menjadi buruan. Tanpa berlengah-lengah lagi saya melempar jig dan mengarau selaju mungkin bagi memikatnya.
Tidak semena-mena satu henjutan dirasakan. Tanpa membuang masa saya menyentak joran bagi mengemas kedudukan mata kail pada mulut ikan.
Kedengaran bunyi kekili berdesing yang mengubat rindu. Tekong menjerit `tenggiri tu!’.
Saya memastikan sewaktu ikan berenang patah balik ke bot tali sentiasa tegang bagi mengelakkan dipotong oleh gigimya yang tajam seumpama pisau.
Selepas beberapa minit ikan keletihan dan tekong berjaya membantunya naik ke atas bot.
Kami bersyukur kerana perairan di Kemaman banyak mempunyai unjam yang masih banyak menyimpan berbagai bagai jenis spesies.
Walaupun hujan lebat kami masih memburu ikan target kami bagi mengumpul sebanyak mungkin ikan sasaran kami.
Sepanjang waktu memancing hampir tidak dapat dihitung berapa ketul jig kami dicukai atau sangkut pada unjam.
Demi hobi dan keseronokan apalah sangat nak dibandingkan dengan perkara itu, bukan? Kami hadap situasi itu dengan sempurna bagi mengelak kemurungan.
Selepas bot berlabuh di jeti dan menurunkan barang kami membahagikan ikan sama rata. Dan saya bersiap untuk keseronokan seterusnya iaitu acara makan.
Perkara wajib selepas memancing ialah makan beramai-ramai ikan segar terus dari lautan.
Restoran Cina yang diyakini halal menjadi pilihan kami untuk memasak hidangan menjamu selera.
Jelas terpancar kepuasan di mata setiap ahli sungguh pun tangan kami dah terasa besar sebelah akibat teknik karau laju.
Selesai makan kami berangkat pulang ke Kuala Lumpur. Satu rekod bersejarah kerana sepanjang memancing saya tidak pernah terlalu penat begini.
Bayangkan dari Kuantan untuk ke Kuala Lumpur mengambil masa 4 jam akibat sering berhenti dan tidur bagi mengelakkan kecelakaan jalan raya.
Sampai di hadapan rumah saya pun kami sambung tidur dalam kereta sampai Subuh. Nak angkat jari pun dah tak larat.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Jika dilihat melalui peta dunia, Pulau Anambas, Jemaja, Indonesia terletak di tengah-tengah Laut China Selatan dan amat berhampiran dengan perairan negara kita.
Pulau Anambas yang berkeluasan 246 batu persegi ini pernah diiktiraf oleh cnn.com sebagai antara 5 buah pulau tercantik di Asia Tenggara.
Selain keindahan dasar lautnya dan pusat pelancongan di Indonesia, perairan pulau ini juga mempunyai banyak sumber minyak dan gas antara terbesar di Indonesia.
Pulau Anambas
Pulau Anambas termasuk di dalam wilayah kepulauan Riau seperti pulau-pulau lain yang berhampiran seperti Pulau Jemaja, Pulau Natuna, Pulau Midai, Sintan, Metak, Pulau Bajau dan banyak lagi. Pulau ini juga telah membentuk kabupaten sendiri sejak tahun 2009.
Sebagai seorang pemancing, Pulau Anambas telah lama menarik perhatian saya. Menjadi cita-cita saya untuk menerokai segenap perairan laut di sana. Selain itu, perairan Pulau Anambas yang jarang-jarang diterokai oleh pemancing telah menguatkan lagi keinginan saya menduga perairan di sana.
Maka satu perancangan rapi telah dirancang untuk menduga perairan pulau tersebut. Kejayaan meneroka perairan Mapur, Merapas, Merakit dan Pulau Malang Biru, Indonesia pada tahun-tahun yang lepas menjadi rujukan kami dalam rancangan meneroka perairan lain.
Pertengahan tahun, kami seramai 11 orang dari team D7L berangkat Pulau Anambas semata-mata untuk menerokai khazanah lautan dan perairan pulau tersebut.
Memandangkan ini kali pertama kami ke sana, segala persiapan rapi dibuat pada setiap peralatan memancing kami.
Set pancingan dasar, set popping dan set jigging dibawa bersama menuju ke sana. Seperti trip tahun-tahun lepas, kami menggunakan khidmat feri dari Stulang Laut, Johor Bahru untuk menaiki feri ke Pulau Bintan.
Di sana, khidmat bot Sea Star pula ditagih untuk membawa kami ke perairan Pulau Anambas. Trip ini berlangsung selama 6 hari 5 malam.
Lubuk Kapal Kontena
Segala kemudahan pengangkutan dan tempat tinggal telah pun disediakan oleh pemilik bot Sea Star sebaik tiba di sana.
Nilai mata wang ringgit Malaysia lebih tinggi berbanding Rupiah memberikan kelebihan untuk kami membeli banyak bekalan makanan dan minuman di Pulau Bintan dan sememangnya ia amat murah. Malam itu, kami semua bermalam di chalet yang terletak di Trikora Beach.
Keesokan paginya, bot mulai bergerak menuju ke perairan Pulau Anambas. Jaraknya 150 batu nautika dari Pulau Bintan. Bot Sea Star berkelajuan 10-12 knot akan mengambil masa perjalanan selama 10 jam untuk sampai ke sana.
Sewaktu dalam perjalanan, Am selaku tekong bot Sea Star bercadang untuk singgah sebentar di beberapa lubuk berhampiran untuk sesi pemanas badan.
Saranan tersebut disambut dengan baik oleh kami kerana kelihatan semua ahli seperti tidak sabar-sabar lagi untuk memancing.
Selepas tiba di lubuk yang di maksudkan, kami mula memancing menggunakan teknik dasar. Tanpa perlu tunggu lama, beberapa ekor ikan gred A berjaya dinaikkan. Ikan ibu kerisi, merah, aruan tasik antara yang berjaya dinaikkan.
Selepas beberapa jam singgah di lubuk ini, bot kembali meneruskan perjalanan. Sempat juga saya berbual-bual dengan tekong Am untuk mendapat maklumat berkaitan.
Menurut Am, perairan di Pulau Anambas sebenarnya tidak mempunyai banyak lubuk berbanding tempat lain. Ini kerana keadaan struktur dasar lautnya yang landai dan berpasir.
Struktur berbatu dan karang amat sukar di temui di sini akibat aktiviti mengebom ikan yang amat ekstrem suatu ketika dulu. Ujarnya, hanya 3 lubuk sahaja yang boleh dikunjungi untuk trip kali ini.
Memancing berhampiran dengan Pulau Anambas pula adalah dilarang kerana ia telah diwartakan sebagai kawasan perlindungan karang dan pusat pelancongan.
Pun begitu, Tekong Am memberi jaminan bahawa kami pasti akan puas memancing kerana lokasi yang dituju adalah kapal kontena karam. Sudah pasti penjelasannya membuatkan kami lebih bersemangat.
Selepas lebih 10 jam perjalanan dan kurang dari 1 jam sebelum sampai, tekong memberi isyarat agar kami bersiap sedia. Ketika itu jam sudah menunjukkan pukul 10.00 malam. Setiap peralatan dan umpan telah diletakkan di tempat masing-masing.
Tiba sahaja di lokasi, tertera imej sebuah kapal setinggi 25 meter di dalam sonar. Paling menggembirakan kami, kelihatan banyak imej tompok-tompok berhampiran imej kapal karam di sonar menandakan kehadiran banyak ikan di kawasan ini.
Setelah bot berlabuh, acara pertama pun bermula dengan teknik pancingan dasar. Umpan sotong diturunkan.
Kelihatan ketika ini arus tidak terlalu laju dan memudahkan kami yang menggunakan kekili manual. Seperti diduga, banyak ikan dasar yang berjaya diperolehi. Ikan ebek, jemuduk, jenahak dan merah (Lutjanus erythropterus) banyak dinaikkan.
Pesta Jigging
Walaupun aktiviti memancing dasar banyak memberi hasil, kami seolah-olah tidak puas lagi memancing. Maka set jigging dikeluarkan untuk beraksi.
Saya yang menggunakan rod berkekuatan PE3-5 digandingkan dengan kekili siri 5000 bersama tali utama berkekuatan 40lb mula dihenjut untuk menarik perhatian ikan.
Tanpa tunggu lama, jig besi luminous seberat 80gram yang digunakan saya direntap oleh ikan.
Lebih kurang 5 minit beraksi, seekor ikan cupak bersaiz lingkungan 2kg kelihatan. Melihat kejayaan saya menaikkan ikan, rakan-rakan lain kini lebih bersemangat untuk melakukan aktiviti jigging berbanding memancing dasar.
Seekor demi seekor cupak berjaya dinaikkan. Walaupun majoriti ikan cupak dinaikkan, ia sudah cukup memberi kepuasan kepada kumpulan kami untuk berpesta jigging, terutama yang pertama kali merasai ‘karen’ jigging hingga terlupa untuk makan malam, hinggakan jam di tangan menunjukkan angka 4 pagi sehinggalah masing-masing masuk ke bilik tidur untuk melelapkan mata.
… bersambung
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Kehadiran spesies haiwan mamalia yang besar di sini seperti gajah, badak sumbu, tapir dan harimau menjadikan Royal Belum sebuah hutan simpan yang amat istimewa.
Royal Belum bukan sahaja sebagai pintu gerbang tetapi rumah kepada khazanah alam semula jadi yang unik dan penting.
Tetapi bagi saya, Hutan Royal Belum merupakan antara salah satu lokasi memancing terbaik di negara kita dengan lambakan ikan sungai pergunungan yang masih terpelihara populasinya.
Kerana itulah saya tidak mampu untuk menolak pelawaan dari Geng Tapah Sebat (GTS) untuk menyertai trip trekking di Royal Belum.
Selepas perancangan rapi dibuat, saya bersama beberapa orang ahli bergerak dari Bandaraya Shah Alam menuju ke Pekan Gerik untuk berkumpul bersama GTS yang terlebih dahulu telah tiba lebih awal daripada kami.
Selepas bermalam di Pekan Gerik, kami mula bergerak ke Jeti Tasik Banding selepas subuh untuk menuju ke Hutan Royal Belum.
Mula Bergerak.
Setibanya kami ke Jeti Tasik Banding, kami dikejutkan dengan air tasik yang sedang begitu tinggi sehingga menenggelamkan beberapa buah kedai yang berada di tepian tasik.
Ini telah membuatkan kami bertanya-tanya bagaimana pula keadaan sungai di dalam hutan yang hendak ditempuhi kami nanti.
Setelah memunggah beg, makanan dan segala kelengkapan berkhemah, kami meneruskan perjalanan yang dirancang dengan menaiki tiga buah speedboat yang telah ditempah. Kami seramai 18 orang terasa teruja sepanjang perjalanan.
Selain itu, 3 orang guide dan 2 potter orang asli turut menyertai kumpulan kami sebagai panduan dan pembantu semasa berada di dalam hutan nanti.
Selepas selesai membuat pendaftaran masuk, speedboat terus di hala menuju ke Sungai Kejar iaitu tempat bermula perjalanan trekking kami nanti.
Paras air tasik yang tinggi telah memberi kelebihan buat kami. Bot yang dinaiki mampu mudik lagi ke hulu Sungai Kejar sekali gus menjimatkan perjalanan kami sekurang-
kurangnya sejam kerana seperti tahun-tahun yang lepas, ekspedisi ini telah mengambil masa selama 4-5 jam trekking untuk sampai ke kawasan base camp.
Akhirnya jam 11 pagi, bot kami tiba di Sungai Ketir dan kami bersiap sedia untuk memulakan perjalanan meredah hutan. Perjalanan ternyata amat sukar.
Berjalan mendaki dan menuruni bukit amat memerlukan banyak tenaga dan kekuatan fizikal.
Keadaan cuaca yang kerap hujan menyebabkan tanah menjadi licin dan amat merisaukan kumpulan kami.
Kami juga terpaksa menempuhi banyak anak sungai sepanjang perjalanan. Ia tidak termasuk dengan serangan pacat yang tidak terkira banyaknya. Beberapa ketika kami berhenti berehat mengumpul kembali tenaga untuk meneruskan perjalanan.
Laho
Pelbagai liku-liku sukar terpaksa ditempuhi. Tetapi dengan semangat kental dan mental yang kuat, pada pukul 4.30 petang, akhirnya kami tiba di satu lokasi berhampiran dengan Laho iaitu kawasan yang digelar Kajang.
Penat lelah kaki menjelajah hutan rimba terasa amat berbaloi. Kelihatan beberapa lubuk yang berpotensi untuk memancing. Tetapi sebelum itu, khemah dan tempat tidur perlu didirikan terlebih dahulu.
Selesai semuanya, kami memulakan acara casting di gigi jeram yang terdapat di kawasan perkhemahan kami.
Hanya sekali lontaran, spoon Abu Island II milik Co’ort telah disambar oleh Sebarau (Hampala macrolepidota). Begitu juga dengan beberapa orang rakan yang lain.
Terbukti kawasan ini memang kaya dengan ikan pergunungan dan kami berjaya memperolehi banyak lagi sebarau selepas itu.
Selepas puas dengan acara casting sehingga senja, kami bertukar kepada pancingan dasar. Umpan sawit peram dan cengkerik digunakan untuk memancing dasar. Sawit sebiji atau hirisan sawit kami sasarkan untuk mengumpan ikan kelah, kejor dan tengas.
Manakala cengkerik, untuk baung akar. Spesies bermisai yang mempunyai bentuk fizikal lebih kurus serta badan yang panjang berbanding ikan baung biasa sudah semestinya menjadi target kami kerana isinya cukup enak jika dibakar atau digoreng garing.
Malam pertama, beberapa ekor ikan baung dan tengas juvenil telah berjaya kami dinaikkan sebelum mata kami masing-masing tidak mampu untuk bertahan. Badan yang keletihan disebabkan perjalanan mencabar siang tadi membuatkan kami tidur lebih awal.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...