SOALAN:

Saya akan menyertai trip pancingan laut dalam di kawasan pelantar minyak tahun depan. Apakah keperluan yang patut saya bawa terutama alatan pancing, alatan keselamatan, umpan dan sebagainya?

 

JAWAPAN:

Walau di mana pun tempat dan aktiviti yang dilakukan, kita perlu meletakkan keselamatan di tempat nombor satu. Di antara keperluan wajib untuk memancing di atas bot ialah:

Jaket keselamatan yang berfungsi baik dan bukan setakat ada saja. Kepandaian berenang boleh sebagai tambahan keselamatan.

 

IKLAN

Pakaian yang sesuai seperti dapat mengekang kepanasan di siang hari serta kedinginan pada waktu malam. Topi dan baju hujan juga satu kemestian.

Pakaian bersih untuk menunaikan ibadat solat lima waktu termasuk sejadah jika boleh. Jika boleh barang keperluan ini seeloknya disimpan dalam bekas atau beg yang kalis air.

 

Peralatan memancing minimum dua set; satu aksi berat dan satu aksi sederhana. Aksi berat lebih 30lb kapasiti muatan tali 300 meter minimum.

Set peralatan ini ialah kombinasi kekili dan joran yang sesuai dipadankan antara satu sama lain. Bawa kekili atau joran simpanan sebagai pengganti jika terdapat kerosakan pada peralatan utama.

 

Aksesori seperti kotak pancing, playar muncung panjang, pemotong, pisau, lampu suluh (tambahan), yang boleh dimuatkan dalam kotak pancing.

Mata kail pelbagai saiz bermula dari 2/0 hingga 5/0 untuk ikan besar, manakala mata 4 hingga 1/0 untuk skala ikan kecil.

 

Adalah disarankan susun atur mata kail mengikut saiz supaya lebih mudah untuk digunakan nanti. Jangan campur mata kail baru dengan yang sudah digunakan.

Perambut sesuai berkekuatan daripada 30lb-100lb berwarna cerah atau jernih. Kabel atau perambut dawai 40lb-60lb perlu untuk memancing ikan bergigi tajam.

 

Bekalan makanan dan minuman bergantung kepada bot. Terdapat bot yang memasak untuk peserta dan sebaliknya.

Rakan-rakan dalam bot juga boleh diajak berunding mengenai perkara ini. Bagaimanapun seeloknya kita turut membawa minuman dan makanan berserta bekalan ubat yang dirasakan sesuai.