Perjalanan ke Kuantan mengambil masa hampir tiga jam. Sampai sahaja di sana, kami disambut oleh seorang rakan yang merupakan anak jati Kuantan, Nasirun namanya.

Disebabkan semangat untuk memancing sangat tinggi dan kami hanya ada masa hingga tengah hari esoknya untuk memancing, Nasirun mencadangkan kami membeli makan tengah hari secara tapau sahaja.

Tiada siapa yang membantah cadangan itu.

 

Setelah membeli makanan tengah hari, kami terus mengikut Nasirun menuju ke kawasan kuari tinggal itu.

Perjalanan ke situ agak mencabar kerana kami terpaksa melalui jalan tanah merah yang sedikit becak dan berselut.

 

Akhirnya, setelah setengah jam meredah jalan tanah merah itu, kami sampai di satu kawasan lapang yang dikelilingi bukit yang tenang pemandangannya.

Di situ juga aku dapat melihat beberapa buah lori angkut tanah, traktor, jengkaut usang yang sudah dinaiki daun-daun melilit.

 

“Kejap. Korang semua tunggu di sini,” arah Nasirun.

Separuh berlari, Nasirun berjalan masuk mengharungi semak-samun separas pinggang yang berada berhampiran dengan kami.

 

Suasana kembali hening. Sesekali terdengar bunyi burung bersahutan dari hutan kecil berdekatan.

Menurut cerita Nasirun, semasa berada di dalam kereta tadi, tempat kuari ini menutup operasi sepenuhnya pada tahun 1995.

ini bermakna sudah lebih 20 tahun juga tempat ini terbiar sepi tanpa penghuni.

 

“Ok, semua beres. Mari sini,” sekali lagi aku terdengar hanya suara Nasirun melaung tanpa kelibatnya yang kelihatan.

 

Kami berempat mengeluarkan alatan khemah dan memancing yang dibawa. Kami menuju ke tempat Nasirun masuk tadi.

Ada sebatang denai kecil dan kami melalui semak-samun tebal di sekelilingnya.

 

Akhirnya, lima minit berjalan kami tiba di hadapan sebuah tasik yang airnya kelihatan hijau gelap kehitaman. Aduh, indah dan tenangnya suasana di sini.

Apa yang membuatkan aku bertambah geram adalah apabila melihat anak-anak ikan bebas bermain di tepi anak air seolah-olah tasik ini memang tiada pencemaran langsung.

 

“Ok, selamat memancing. Ingat pesanan aku tadi. Jangan cakap besar. Kalau nampak apa-apa yang ganjil, matikan diri atau cabut sahaja. Faham?” pesan Nasirun sambil tersengih-sengih.

 

“Kalau owner tempat ni mengamuk, nak buat apa Run?” tiba-tiba Hasran bertanya. Kami semua berpandangan. Aduh, Hasran ni memang tak sayang mulut betullah!

 

Nasirun seolah-olah tidak mendengar soalan tadi. Dia berlalu setelah mendengar bunyi motosikal adiknya yang datang menjemput.

Kami faham Nasirun sengaja tidak mahu menjawab kerana tidak mahu ada soal jawab yang panjang tentang benda-benda misteri yang selalu dikaitkan dengan tasik di tapak bekas kuari ini.

 

Tanpa membuang masa, aku dan Kazim terus memasang khemah di bawah sebatang pokok yang rendang. Kalau tak silap pokok petai mata belalang.

Hasran dan Henry pula memasang alatan memancing kami dan menyediakan umpan yang sudah disediakan dari rumah.

 

Semuanya nampak tenang sehinggalah senja menjelang. Sedang kami berempat asyik memancing dalam keremangan senja itu, kami terdengar bunyi air berkocak diikuti dengan suara perempuan mandi-manda sambil bergurau-senda.

Cuak juga hati aku mendengarnya seolah-olah mereka mandi bersebelahan dengan tempat kami memancing.

 

Namun sebaik sahaja telefon bimbit Kazim mengalunkan azan menandakan masuknya waktu Maghrib, suasana menjadi sunyi sepi tiba-tiba.

Hatta unggas sekalipun tidak mahu berbunyi seolah-olah menghormati alunan azan yang berkumandang.

 

Petang dan malam itu, kami hanya mendapat ikan tilapia dan beberapa ekor ikan putih kecil sedikit dari tapak tangan. Semuanya kami panggang untuk dijadikan makan malam.

Seawal jam 11 malam, aku sudah masuk tidur. Sebenarnya badanku terasa letih kerana memandu jauh siang tadi.

Baru saja terlena, tiba-tiba aku dikejutkan oleh Kazim dan Henry. Muka mereka kelihatan pucat. Hanya tangan menggapai menunjuk ke arah di tepi tasik.

Perlahan-lahan aku keluar dari khemah dan di hadapanku terbentang satu pemandangan yang sungguh luar biasa.

 

Di tengah-tengah tasik, muncul satu istana besar yang tersergam indah. Aku tidak pernah melihat istana seindah itu. Cahayanya melimpah hingga menerangi kesemua kawasan sekitar.

Aku dapat melihat kelibat seorang lelaki setinggi tujuh kaki, berpakaian seperti raja-raja zaman dulu, siap bertanjak dan kerisnya tersarung kemas di pinggang.

Dia merenung aku tajam seolah-olah ingin menzahirkan rasa amarah yang teramat sangat.

 

Perlahan-lahan aku membaca zikir Subhanallah di dalam hati. Hanya itu yang aku ulang-ulang kerana pada masa yang sama aku rasakan tubuhku sudah terpaku di atas tanah.

Mulut pula seolah-olah terkunci, tidak mampu untuk berkata apa-apa.

 

Tidak sampai tiga minit, istana itu tenggelam semula ke dalam tasik. Ketika itulah aku baru teringat akan Supian. Rupa-rupanya Hasran sudah pengsan dengan kakinya terendam di tepi tasik.

Mata Hasran terbelalak ke atas seolah-olah melihat sesuatu yang menakutkan. Puas aku cuba menyedarkan Hasran namun usahaku gagal.

Akhirnya aku menghubungi Nasirun lantas menyuruh aku membawa Hasran keluar dari kawasan itu.

 

Malam itu juga kami membawa Hasran ke rumah seorang ustaz terkenal untuk diubati. Menggeleng kepala ustaz itu apabila kami menceritakan pengalaman aneh yang baru kami alami.

“Kamu senya memang bernasib baik,” hanya itu ulasan yang ustaz itu berikan.

Hasran yang meracau-racau hingga berbuih mulutnya dapat diubati dengan ayat Kursi dan ayah rukyah yang dibaca oleh ustaz.

 

Sebenarnya menurut Nasirun, tasik tinggal itu mempunyai sejarah misteri yang tersendiri.

Selain keras, tempat itu juga jarang dikunjungi orang ramai kerana tidak terjamin dari segi keselamatan. Menurut Nasirun lagi, kedalaman tasik itu hampir 200 meter.

Sudah dua orang pemancing mati lemas di situ.

 

Esoknya, kami mengemas semua barang perkhemahan untuk pulang semula ke Kuala Lumpur.

Biarlah kami gagal memancing asalkan nyawa kami tidak terancam dengan misteri yang ada di situ.

 

Tinggalkan Komen