Penjelasan umum gear ratio ialah jumlah putaran rotor dalam satu kali putaran pengayuh atau handle. Pengayuh melekap pada drive gear. Ketika pengayuh dikili, drive gear memutar rotor melalui pinion gear. Jadi, bolehlah dikatakan juga bahawa gear ratio adalah perbandingan jumlah gigi antara drive gear dan pinion gear.
Contohnya, jika drive gear berjumlah 84 dan gigi pinion gear berjumlah 16 maka gear rationya adalah 5.2:1. Rotor akan berputar 5.2 kali setiap kali kita memutar pengayuh satu putaran penuh. Ada dua perkara utama yang perlu diketahui sewaktu membeli kekili. Yang pertama, kekili dengan gear ratio rendah memiliki kekuatan menarik beban lebih baik berbanding dengan gear ratio tinggi.
Yang kedua, keterangan gear ratio pada kotak bungkusan bukan menyatakan kecepatan penggulungan tali pancing (line retrieve) melainkan hanya informasi ratio mekanis gear yang ada di dalam kekili tersebut. Kecepatan line retrieve dipengaruhi oleh besar diameter spool dan kapasiti tali dalam spool.
IKLAN
IKLAN
Sebagai contoh, kekili bergear ratio 4.3:1 dengan diameter spool 6cm, dalam satu putaran handle mampu menggulung tali masuk 65cm berbandingkan kekili bergear ratio 6.3:1 dengan diameter spool 4cm mampu menggulung benang masuk 69cm di mana kondisi kedua spool terisi penuh tali. Terdapat perbezaan 4 cm, jika diameter spoolnya sama seharusnya kekili bergear ratio tinggi mampu menggulung benang lebih dari 100cm.
Bagi kebanyakan pemancing, perbezaan dalam ukuran sentimeter ini seperti diabaikan setelah mengetahui bahwa kekili yang bergear ratio rendah lebih kuat dalam menarik beban. Penjelasan gear ratio ini juga berlaku bagi kekili baitcasting dan multiplier untuk trolling.
IKLAN
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Apa yang kita ada pada hari ini, amatlah wajar kita hargai dan pastikan ia terus kekal untuk tatapan generasi akan datang. Janganlah kerana kerakusan kita memancing hingga habis limit, anak cucu kita tidak lagi kenal rupa bentuk ikan yang ada di perairan kita.
Adalah sesuatu yang amat malang, jika suatu hari nanti, seluruh perairan kita dipenuhi ikan pendatang, lantaran kepupusan ikan asal dek kerana kerakusan kaki pancing yang tidak beretika!
Ancaman ikan pendatang
Beberapa tahun yang kebelakangan ini, kita telah dapati banyak spesies pendatang yang telah memasuki perairan kita. Kebanyakannya adalah berasal dari aktiviti akuarium atau akuakultur.
Belum ada kajian yang cukup lengkap tentang kesan negatif dari kehadiran spesies-spesies ini, tetapi pada mata kasar pemancing-pemancing dan juga hasil kajian di negara lain, spesies pendatang memang telah menjejaskan habitat dan tumbesaran spesies asli kita.
Ada spesies pendatang yang membiak dengan amat pantas, memakan telur spesies ikan Malaysia dan juga merosakkan habitat air. Kesannya, ada ikan tempatan yang terbantut saiznya dan semakin berkurangan.
Kita tidak boleh menunggu hingga kajian lengkap dibuat mengenai isu ini. Kita perlu bertindak sekarang juga. Jika anda terpancing spesies pendatang di perairan yang semulajadi (tasik, sungai dan sebagainya), JANGAN LEPASKAN ia balik ke air. Makanlah atau sedekahkan kepada sesiapa saja yang memerlukannya sebagai makanan.
Amat menyedihkan hari ini apabila melihat ada segelintir pemancing yang pemancing yang begitu megah mengamalkan konsep tangkap & lepas spesies pendatang tetapi pada masa yang sama mempraktikkan tangkap & tapau spesies tempatan.
Antara spesies ikan pendatang
Semua ikan jenis Cichlid: Flower horn, peacock bass, jaguar cichlid, semua jenis tilapia.
Ikan-ikan Kap: Kap rumput, leekoh, kap kepala besar, kap putih, rohu, katla
Ikan Keli: Keli Afrika, keli Rusia, baung ekor merah
Lain-lain spesies: Pacu, lampam jawa, ikan bandaraya, ikan buaya, patin Chaophraya
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Pagi tersebut kami sudah berkumpul di dapur rumah pusaka Wan sambil menghadap nasi lemak panas yang siap Wan Bungkus dan air kopi pekat yang padu rasanya. Inilah yang menyebabkan aku suka berlama-lama di rumah Wan. Walaupun usia Wan sudah menjangkau 80-an namun Wan masih gagah untuk memasak bagi anak cucu cicitnya yang ada di kampung.
Selesai makan dan matahari sudah segalah di atas kepala, kami bertiga sudah mengatur langkah dengan membawa semua peralatan yang diperlukan. Kami bercadang untuk menaiki kereta hingga sampai di tepi kebun kelapa sawit ladang Felcra sebelum berjalan kaki merentas denai sejauh setengah jam untuk sampai ke tempat yang dituju.
Jam 11.00 pagi kami sudah sampai ke destinasi yang dituju. Sebatang sungai yang airnya masih jernih menyambut ketibaan kami. Kicauan burung yang galah berbunyi cukup menyakinkan aku bahawa rezeki kami akan pada hari itu.
Paiz mendirikan sebuah khemah manakala Jimi pula sibuk memeriksa jala dan perangkap burung yang dibawa. Aku pula mencari ranting-ranting kayu untuk dikumpulkan bagi dibuat unggun api untuk membakar ikan yang akan kami jala.
Siap semuanya Jimi memberi isyarat dia akan masuk ke belukar berhampiran untuk memasang jerat burung. Jimi memang pakal dalam hal ini. Aku dan Paiz pula mula meranduk anak sungai untuk menjala. Kami memilih bahagian hulu sungai, tempat yang selalu Pak Cu Jai mendapat ikan putih dan baung sebesar lengan minggu lepas.
“Aku hairanlah Jay,” Paiz bersuara sambil memandang mukaku. Ketika itu kami sedang meranduk air separas pinggang sambil membawa jala menuju ke tempat yang dituju.
“Kenapa pula?” tanyaku kembali. Kesejukan air sungai membuatkan aku sedikit terketar.
“Hutan ni sunyi semacam… macam rasa seram pulak,” jawapan Faiz membuatkan aku ketawa kecil.
“Memang sunyi. Sekarang kan musim raya. Siapa yang nak pergi memancing dan menjala time begini?” mahu kena leter dengan isteri atau mak bapak. Kita ni kira bernasib baik kerana masih bujang lagi,” jawabku cuba meredakan kerisauan di hati Faiz. Aku nampak Faiz tersenyum dan mengangguk. Mungkin jawapanku agak bernas di fikirannya.
Memang rezeki kami murah hari itu. Setakat ikan putih, baung dan lampam, semuanya bagaikan menyerah diri setiap kali kami menebar jala. Kami sudah bercadang utuk menyedekahkan ikan-ikan yang ada pada saudara mara yang datang berkunjung ke rumah Wan atau dijadikan lauk pauk utuk hidangan setiap kali ada tetamu datag. Sekurang-kurangnya dapat juga membantu Wan mengurangkan perbelanjaan dapurnya sehari dua.
Keasyikan kami menjala membuatkan kami terlupa tentang Jimi yang pergi memasang jerat burung di tepi belukar. Aku hanya teringat akan Jimi apabila terlihat seolah-olah kelibatnya sedang laludi tepi sungai sambil melambai tangannya seolah-olah meminta pertolongan. Ketika itulah aku melihat jam tangan dan terasa terkejut apabila meihat jam sudah menunjukkan anka empat petang. Zuhur hampir habis dan Asar akan menjelma. Ya Allah, betapa pantasnya masa berlalu tanpa kami sedari.
Terkecoh-kecoh kami seketika. Kami bergerak pantas menuju ke khemah dengan harapan semoga Jimi sudah ada di situ. Mungkin sudah menanak nasi dan menunggu ikan kami untuk dibakar. Namun harapan itu hampa. Khemah kami kosong. Jimi tiada.
Hatiku mula dilanda kerisauan. Takkan Jimi mengambil masa yang lama untuk memasang jerat burung. Biasanya hanya sekitar satu jam sahaja dan selepas itu dia akan mula menyertai kami untuk menjala ikan. Itulah kebiasaannya yang biasa kami lakukan.
Aku dan Faiz mula merayau di dalam kawasan belukar berhampiran sambil melaungkan nama Jimi. Hanya jeritan ungka dan kicauan unggas yang terdengar bersahutan. Akhirnya Faiz mendapat satu idea. Kami mendail nombor telefon Jimi dengan harapan akan terdegar bunyi deringan kelak. Usaha itu membuahkan hasil setelah beberapa kali mencuba.
Sayup-sayup terdengar lagu Dendang Perantau nyanyian Allahyarham P. Ramlee di dalam kawasan belukar yang mulai redup itu. Kami berdua berlari mencari punca lagu itu dan akhirnya kami terjumpa Jimi yang sedang terbaring dalam keadaan telangkup di bawah pokok duri di tepi belukar. Di tangannya tergenggam telefon yang masih lagi berbunyi ketika kami sampai.
Mulut Jimi berbuih ketika kami menelentangkan badannya. Matanya terbuka terbelalak. Badannya menggigil-gigil seolah-olah dalam keadaan kesejukan.
“Jimi… bangun!” aku cuba utuk menggerakkan Jimi
Keadaan Jimi masih tidak berubah. Akhirnya kami berdua sepakat untuk memapah Jimi balik ke kereta. Hanya ikan yang dijala tadi yag kami bawa pulang bersama. Khemah dan peralatan jala kami tinggalkan saja. Nyawa Jimi lebih penting daripada itu semua. Keadaan rumah Wan kecoh dengan apa yang berlaku.
Imam Asrol dipanggil untuk membantu memulihkan Jimi. Setelah membaca ayat Qursi dan ayat-ayat Ruqyah, barulah Jimi sedar setelah bercakap merepek-repek sebelum itu. Setelah pulih, Jimi bercerita tentang pengalamannya berjumpa dengan sebuah istana besar yang dikelilingi air. Ikan besar-besar melompat-lompat jinak di dalam sungai itu. Begitu juga degan burung punai, merbah, merbuk, dan burung ayam-ayam.
Di istana besar itulah, Jimi berjumpa dengan seorang lelaki hodoh yang mempunyai dua tanduk di atas dahinya. Lelaki tua hodoh itu memarahi Jimi kerana memasuki kawasannya tanpa kebenaran dan mencuri binatang ternakannya. Sebagai hukuman, Jimi dipukul dengan akar rotan hingga belakangnya berbirat-birat merah. Anehnya kesan itu memang jelas kelihatan di bahagian belakangnya!
Sejak kejadian itu, kami sudah tidak masuk lagi di kawasan hutan simpan itu. Kejadian yang menimpa Jimi menguatkan lagi dakwaan orang-orang kampung yang mengatakan kawasan itu memang keras kerana berpenunggu. Namun hobi menjala dan menjerat burung ini tetap juga kami teruskan tetapi kali ini kami cari tempat yang lebih terbuka dan selamat.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
“Jadi ke awak pergi mencari siput pagi ni?” Tanya Mak Biah.
“Jadi. Semalam Wak Jam datang lagi. Minta tambah lagi lima kilo. Semuanya yang dia nak dekat-dekat dua belas kilo juga,” jawab Pak Barra sambil matanya ralit melihat si Jalak yang sedang berebut mematuk gandum yang baru dilempar oleh Mak Biah ke tanah.
“Banyak tu bang. Agak-agaknya berapa hari baru dapat kita kumpulkan siput sebanyak tu,” keluh Mak Biah.
Bukannya dia tak tahu, satu hari mahu mengumpul siput dua kilo pun agak sukar bagi mereka berdua. Kena turun dua kali pagi dan petang untuk mencarinya. Kalau kena pada musimnya, sekali turun mencari senang-senang saja boleh dapat lima enam kilo tapi kalau di luar musim, memang agak sukar kecuali dikumpul sedikit demi sedikit.
“Insyaallah, lusa nanti dapatlah kita kumpulkan. Semalam pun dah ada dekat-dekat tiga kilo. Pagi ni awak tak payah tolong saya. Biar saya seorang yang pergi cari,” cadang Pak Barra sambil bangun untuk menukar kain pelikat yang dipakai.
Tidak sampai sepuluh minit, dia sudah keluar dengan memakai seluar track suit lusuh dan baju kemeja lengan panjang.
Mak Biah menghulurkan termos air panas dan bekalan makanan berupa lempeng dan sambal tumis ikan bilis.
“Kalau tengah hari saya tak balik, maknanya saya Zuhur di sana ya. Insyaallah lepas Asar baru saya balik,” laung Pak Barra sambil menghidupkan enjin motosikal Honda buruknya.
Dengan membawa baldi dan satu batang kayu pendek, motosikalnya menghala ke kawasan pinggir kayu bakau yang terletak hanya dua kilometer daripada rumahnya.
Sampai sahaja tempat dituju, terus Pak Barra meletakkan motosikalnya di bawah pokok ru. Dengan ucapan Bismillah, langkahnya dihayun menuju ke arah belukar kayu bakau. Tempat dia mencari rezeki dengan mengutip siput yang selalu juga dipanggil dengan nama ‘siput sedut’.
Jam sudah menghampiri ke angka lapan malam. Mak Biah menanggalkan telekung yang dipakai. Sudah habis doa dan surah Yassin yang dibaca namun kelibat suaminya masih belum kelihatan. Kerisauan sudah bergayut di tangkai hati. Ke mana pulak dia pergi ni? Takkan tersesat pulak, bisiknya di dalam hati.
Menghampiri jam sembilan, hati Mak Biah sudah tidak keruan lagi. Mak Biah mencapai telefon lalu mendail nombor anak sulungnya, Rohiman. Marah juga Rohiman apabila ibunya lambat memberitahu tentang kehilangan ayahnya.
Bersama tiga orang kawan, mereka mencari Pak Barra di kawasan paya bakau itu, namun hanya motosikal dan bekalan makanan yang dijumpai. Bekalan makanan itu seolah-olah tidak diusik langsung!
Bimbang dengan keselamatan ayahnya, Rohiman membuat laporan polis tentang kehilangan ayahnya itu.
Satu pasukan yang dianggotai oleh pihak polis, bomba dan ahli dari Jabatan Pertahanan Awam segera dikerah untuk misi menyelamat. Malam itu, penduduk Kampung Merbah gempar dengan kehilangan Pak Barra yang keluar untuk mencari siput sedut.
Seluruh kawasan paya bakau itu diselongkar dengan bantuan anjing pengesan namun kelibat Pak Barra masih belum ditemui.
Pihak keluarga meminta bantuan daripada pengamal perubatan tradisional untuk membantu mencari kerana dikhuatiri kehilangan Pak Barra mungkin berkaitan dengan alam mistik namun usaha itu masih juga gagal.
Akhirnya, seorang ustaz muda meminta izin untuk mengalunkan azan sebanyak tujuh kali. Betul-betul di bawah sebatang pokok besar yang akarnya terjuntai hingga ke tanah. Selesai azan kali ketujuh itu dilaungkan, ustaz muda itu membuat solat hajat dua rakaat.
Tidak sampai lima belas minit, terdengar suara riuh rendah mengatakan Pak Barra sudah dijumpai dalam keadaan letih lesu berhampiran kawasan bakau. Dia kelihatan seperti orang mamai dan tidak mampu bercakap. Hanya baldi birunya yang berisi siput sedut yang dipegang erat ketika dijumpai.
“Pak cik rasa sekarang pukul berapa?” Tanya seorang anggota bomba apabila Pak Barra sudah diberikan rawatan oleh paramedik yang sedia menunggu.
“Agaknya tujuh malam…” jawab Pak Barra dengan suara yang lemah. Dia jadi hairan apabila melihat orang ramai berada di situ. Kenapa pula mereka semua berkampung ni? Bisiknya hairan.
“Pak cik, sekarang dah pukul empat setengah pagi. Hampir seharian pak cik hilang di sini. Apa yang terjadi sebenarnya?” Tanya pegawai bomba itu lagi.
Pak Barra termenung. Mustahil….getus hatinya. Namun sempat dia mengerling jam tangan yang dipakai oleh Rohiman. Memang sah, pukul empat setengah pagi. Ya Allah, rupanya dia sudah tersesat di kawasan yang sama hampir 19 jam lamanya.
Sebenarnya, pada perkiraan dirinya, dia cuma berlegar-legar di tempat yang sama. Setiap kali dia cuba untuk melangkah mencari jalan pulang, dia akan menuju ke tempat yang sama. Dia pasti itu tempat yang sama kerana di situlah dia memacak kayu pendek yang dibawanya ke dalam kawasan selut untuk tandaan kawasan.
Nasib baiklah air laut tidak pasang penuh dan melimpah masuk ke dalam kawasan paya bakau itu. Kalau tidak, tentu hanya mayatnya saja yang akan ditemui.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...