Berikut merupakan hasil temu bual ketika menggunakan khidmat Raja Jenggo ini sebagai tekong memancing udang galah di Teluk Intan:

 

“Udang galah ni tak bermusim. Ia boleh ditangkap sepanjang tahun. Cuma ia perlu dicari. Jika di bahagian atas (hulu sungai) kurang kita kenalah cari di bahagian bawah (hilir

sungai) pulak. Ada tu tetap ada cuma jumlahnya saja yang berbeza bergantung pada cuaca dan rezeki.”

 

Begitulah penjelasan Noor Siroon Ishak (49) atau lebih mesra dengan panggilan Yeop. Atas keyakinan itulah beliau menjadikan hobi memancing udang galah bagi sesetengah pemancing ini sebagai kerjaya tetapnya.

 

 

Bermula dengan minat, akhirnya ia menjadi satu kerjaya. Atau dalam erti kata lainnya Yeop tidak melakukan pekerjaan lain atau menjadikan kerjaya sebagai pemancing udang

galah sebagai pendapatan sampingan sebaliknya merupakan sumber pendapatan utama beliau menyara keluarga.

 

Meskipun terpaksa bersaing dengan nelayan sungai lain yang kebanyakannya menangkap udang galah dengan kaedah berbeza seperti penggunaan bubu, jaring atau belat, Yeop tetap cekal dengan kerjaya yang telah sebati dengan darah daging lebih 17 tahun yang lalu.

 

 

Dengan pengalaman lebih 17 tahun sebagai pemancing udang sepenuh masa maka tidak hairanlah Noor Siroon atau Yeop mendapat gelaran Raja Jenggo (jenggo merujuk kepada udang galah sepit biru yang besar saiznya).

 

Dari pengalaman yang sama jugalah Yeop sudah beberapa kali muncul juara dalam pertandingan memancing udang galah yang beliau sertai.

Namun pendapatan dari jualan udang galah yang dipancingnya tidak tetap samalah seperti laut atau sungai yang ada pasang surutnya.

 

 

“Kalau udang mudah diperoleh berdekatan dengan jeti, jimatlah sikit penggunaan petrol tapi kalau terpaksa pergi jauh maka banyaklah guna petrol.

 

Lebih parah jika semakin jauh pergi hasilnya pulak berkurang,” ujar Yeop yang memiliki rekod tangkapan peribadi sebanyak 101 ekor udang galah sehari. Sementara jumlah berat udang yang pernah diperoleh pula sebanyak tujuh kilogram sehari.

 

“Saya tidak jual udang setiap hari atau udang yang telah mati. Saya lebih suka kumpul dahulu udang dan bila jumlahnya agak lumayan barulah saya hubungi tauke kolam pancing udang dan jual secara lamsam.

 

 

Kalau jual kepada pemborong atau pekedai agak leceh sedikit kerana harganya mengikut gred udang. Jadi saya jual kepada tauke-tauke kolam dengan harga purata RM 60 sekilo tanpa mengira saiz.”

 

Menurut Yeop juga beliau turut menerima tempahan pemancing yang memerlukan khidmat beliau sebagai tekong.

Dengan pakej memancing udang RM 150 sehari untuk dua pemancing, beliau akan turut sama memancing dan kesemua udang yang diperoleh akan diserahkan kepada pemancing.

 

 

Info Tekong

  • Nama: Yeop
  • Nama FB: Raja Jenggo Raja Jenggo
  • Bot: 15 dan 17 kaki
  • Enjin: 15 hp
  • Jeti: Jeti Sungai Buluh, Bagan Datoh