Nama : Latiffah binti Hashim

Nama socmed : Queen Angler

 

UMPAN : Sejak bilakah anda mula terlibat dengan hobi memancing ini?

QUEEN : Secara tak rasmi sejak dari kecil lagi. Sejak sekolah rendah dah diajar oleh abah. Selalu ikut abah pergi kebun.

Sambil tunggu abah siapkan kerjanya, abah akan bagi sebatang kayu siap dengan tangsi dan mata kail untuk saya memancing. Umpan abah guna cacing je.

Kat kebun senanglah nak cari cacing. Saya memancinglah di parit dalam kebun abah tu. Bila naik sekolah menengah saya stop terus memancing.

 

 

UMPAN : Apa yang membuatkan anda memilih hobi memancing ini berbanding banyak hobi lain yang ada?

QUEEN : Mungkin sebab jodoh saya dengan seorang kaki pancing. Pengaruh dari suami yang sememangnya seorang pemancing tegar.

Lepas kahwin saya aktif semula memancing sehinggalah ke hari ini. Kalau suami sibuk kerja, saya akan pergi memancing dengan kawan-kawan perempuan.

 

Saya memilih hobi ini mungkin juga sebab ia tidak sama dengan hobi lain. Keseronokan menarik ikan itu tidak boleh nak bandingkan dengan hobi lain.

Boleh kata selepas saya memancing ni saya dah tak buat hobi lain lagi dah.

 

 

UMPAN: Apa pula rintangan yang dihadapi dalam meneruskan hobi ini dan harapan anda?

QUEEN : Ramai orang memandang perempuan memancing ni pelik. Jangan kata orang perempuan saja, orang lelaki pun sama.

Pada mereka memancing ni hanya hobi kaum lelaki. Kadang-kadang dalam FB ada kaum lelaki yang merendahkan kami pemancing wanita dengan pelbagai komen yang menyakitkan hati.

 

Harapan saya moga masyarakat dapat menerima kami lady anglers dalam dunia hanyir ni. Apa salahnya kami berkongsi hobi yang bukan khusus untuk lelaki saja ni?

 

 

UMPAN : Boleh kongsi sedikit pengalaman pahit manis semasa memancing?

QUEEN : Kalau pengalaman memancing yang pahit tu tentulah masa bila mabuk laut. Bukan setakat pahit saja tapi dah sangat terseksa rasanya.

Pulak tu rasa rugi sangat dah kat tengah laut tapi tak boleh nak memancing. Tapi memancing jugak la sambil bergilir-gilir dengan muntah. Hehehe.

 

 

Pengalaman manis pula tentulah bila dapat tarik ikan. Rasanya takde pemancing yang rasa tak best bila dapat tarik ikan.

Dan pengalaman paling berharga pula bila saya dapat kenal ramai kaki pancing dan berkawan dengan mereka terutamanya pemancing wanita.

 

Selain itu saja ada jugak melibatkan diri dalam game (pertandingan memancing) tapi tak pernah dapat ranking pun tapi tu semua pengalaman. Cabutan bertuah tu pernah la dapat.

Yang penting ukhwah dalam dunia memancing. Yang penting keseronokan berlawan dengan ikan dan keseronokan dapat ramai kawan dari seluruh Malaysia dalam hobi yang sama. Itu satu kepuasan.

 

 

Tinggalkan Komen