Nama penuh: Mohd Mazlan bin Hassan

Nama FB: Mazlan Hassan

Usia: 42 Tahun

Nama produk: BIGBAZZ LarnCraft

Spot: Kuala Nerus, Terengganu.

 

UMPAN: Sejak bila bergelar pengusaha umpan tiruan atau gewang?

MAZLAN: Bermula pada awal tahun 2017 secara suka-suka untuk digunakan sendiri dan mula aktif menjadi pengusaha dan pembekal produk gewang (bigbazzfrog) sekitar penghujung tahun 2018.

Sekarang ini saya kembangkan lagi dengan mengeluarkan produk sampingan Bigbazz iaitu topi (trucker cap) dan rancangan yang terbaru iaitu t-shirt.

 

 

UMPAN: Kenapa anda memilih usaha ini?

MAZLAN: Saya memilih usaha ini adalah kerana minat yang mendalam dalam sukan memancing (sport fishing) khususnya dalam dunia mengilat (casting) selain dorongan daripada rakan-rakan dan keluarga.

Saya juga tidak nafikan kelebihan seni tangan dan kemahiran yang ada memainkan peranan penting serta kelebihan yang saya ada dalam bidang ini.

 

 

UMPAN: Apa rintangan dan harapan anda dalam meneruskan usaha ini?

MAZLAN: Tidak dinafikan setiap usaha pasti ada rintangannya dan ini termasuklah yang perlu dihadapi saya sendiri.

Pertamanya adalah dari segi komitmen dan masa yang agak terbatas kerana saya adalah seorang penjawat awam.

Permintaan dan tempahan yang tinggi membuatkan pengeluaran produk saya memakan masa yang agak lama kerana saya menggunakan 100% kerja tangan tanpa bantuan mesin.

 

Selain itu, terdapat kesukaran untuk mendapatkan part yang berkualiti daripada pasaran tempatan (Terengganu) dengan harga yang berpatutan dan tidak banyak pilihan.

Bagi saya kualiti amatlah dititikberatkan dan sudah tentu menjadi keutamaan saya. Saya berharap agar produk saya ini dapat memberi kepuasan kepada pelanggan dan pengguna

serta berharap suatu masa nanti dapat membuka mata bahawa produk anak Malaysia mampu bersaing di persada dunia.

 

 

UMPAN: Ceritakan apa kelebihan produk anda?

MAZLAN: Kelebihan produk BigBazz ini adalah terletak pada rekabentuknya yang dicipta khas untuk menjerat semua spesies snakehead.

Saiznya yang agak besar (8cm) dan beratnya (+/-35gm) juga dicipta untuk balingan jauh serta mensasarkan tangkapan besar (big catch).

Ia juga didatangkan dengan variasi warna dan corak yang berbeza dan pelanggan juga boleh membuat tempahan berdasarkan kehendak dan minat mereka sendiri.

 

 

UMPAN: Cerita sedikit pencapaian membanggakan dalam memancing yang diperolehi?

MAZLAN: Saya pernah memenangi beberapa pertandingan mengilat sama ada secara solo atau berkumpulan. BATTLE OF THE CASTER (BOTC) 2011, Royal Belum, (Juara kumpulan).

KENYIR SNAKEHEAD BATTLE V2, Tasik Kenyir (juara individu) dan  KENYIR SNAKEHEAD BATTLE V4 (juara kumpulan).