Perjalanan dari sempadan memang sedikit meletihkan tetapi disebabkan semangat berkobar-kobar hendak cepat sampai membuatkan kami lebih bersemangat.

Sementara nak sampai ada la berbelas-belas kali kami berhenti minum air kelapa di tepi jalan selain singgah di stesen minyak membuang apa yang patut.

 

Selesai makan tengah hari di pekan Hatyai, kami meneruskan perjalanan dan bermalam di Krabi untuk memberi peluang para peserta berehat, bersantai, shopping serba sedikit sambil-sambil mencuci mata.

Jika sampai awal di Krabi, sempatlah juga bersnorkeling di Phi Phi Island yang popular itu.

 

KRABI YANG MEMUKAU

 

Keindahan Krabi tidak dapat disangkal lagi. Bagi yang pertama kali menjejak kaki ke sini memang sangat teruja.

Keramahan penduduknya membuatkan kami terpaut hati untuk datang semula. Keindahan flora dan fauna di sekitar pantainya sungguh mendamaikan.

 

Kilauan pasir pantainya yang gebu memutih. Dihiasi pula dengan Mat Saleh berbibir merah dan body putih melepak bersidai di tepian pantai. Ah, itu semua kami tidak peduli!

Apa yang kami terliur adalah spesies berbibir merah oren yang akan kami buru keesokan harinya.

 

Sampai di jeti, tekong Sayan telah siap sedia menunggu kami bersama krew-krewnya Cheng dan Drogba.

Apa yang menarik, pelbagai jenis teknik pancingan dapat dipraktikkan di lubuk-lubuk sekitar Laut Andaman ini.

 

Jigging, popping, trolling, drifting atau bottom, semuanya boleh belaka. Namun hasil perbincangan dengan tekong bot, satu resolusi telah dikeluarkan dengan teknik pancingan bottom pada siang hari manakala jigging pula pada waktu malam.

 

Manakala trolling pula pada bila-bila masa apabila berpindah lubuk. Datang bila-bila pun ada tetapi masih bergantung kepada keadaan air, angin dan bulan sama ada gelap atau cerah.

 

TROLLING WAHOO

 

Keluar saja dari kuala, krew telah siap sedia dengan segulung mercun papan untuk dibakar.

Memang sudah menjadi adat mereka ketika keluar ke laut agar selamat dan dimurahkan rezeki. Apa nak kata, itu bot mereka dan budaya mereka, masing-masing ada kepercayaan sendiri.

 

IKLAN

Keluar sahaja dari muka kuala kami terus melakukan trolling. Dua rod di kiri dan kanan dilengkapi set menunda Penn International serta Shimano Tiagra segera diturunkan dengan Rapala Redhead CD18 dan John Killers skirt.

Di tengah-tengahnya pula kami menunda bulu untuk mencari umpan tongkol segar.

 

Bagi ikan pemangsa seperti tenggiri, wahoo dan tuna memang pantang melihat objek bergerak pasti disambarnya seolah-olah sedang kelaparan. Tundalah apa sahaja umpan tiruan pasti akan mengena.

 

JIGGING MALAM

 

Menurut tekong, stok ikan-ikan di sini sentiasa banyak tetapi bergantung juga kepada musim-musim tertentu.

Spesies wahoo dan tuna banyak pada bulan Oktober hingga Disember. Spesies lain seperti ebek, cupak dan gerepoh juga banyak ketika itu.

 

Spot pertama kami ialah di kawasan unjam yang dalam untuk aksi jigging. Biasanya banyak gerepoh dan tuna mengejar anak-anak ikan pada waktu senja. Ketika itulah sang gerepoh dan tuna keluar memburu mangsa.

 

Rezeki kami memang banyak di sini. Bertalu-talu gerepoh dan tuna menyerang tanpa henti. Cuma saiznya sahaja kurang memberansangkan buat kali ini.

 

Basri, Rustam dan Faisol memang expert bermain jig di unjam seperti ini. Antaranya jig kegemaran mereka seperti Shimano, Shout, Runaway, Evergreen, Williamson, Ima Gun dan entah bermacam-macam nama lagi.

 

Saya pula lebih syok menggunakan jig murah White Rabbit, Siam Spoon dan Jig Raider yang berkilat berikutan trip yang lalu mendapat banyak sambaran rakus tuna dan gerepoh bagak.

 

IKLAN

Hari semakin gelap. Acara jigging terus rancak berlangsung. Pelbagai jenis tuna dapat ditewaskan tetapi saiznya masih belum memuaskan hati. Hairan juga entah ke mana monster-monster perairan Andaman ni.

 

Masing-masing merungut tetapi masih tetap berjigging tanpa henti. Kami semakin resah dan geram apabila tekong menayangkan foto tuna dan gerepoh bagak milik pemancing Jepun pada trip yang lepas.

 

Tekong segera berpindah lubuk untuk meneruskan aksi jigging. Mengikut jadual, pagi-pagi esok kami perlu sampai di spot bottom jadi kami perlulah jigging sepuas-puasnya.

Nampaknya spot ini tidak kurang hebatnya. Bertalu-talu cupak menyerang tanpa henti berselang-seli dengan sambaran ikan pisang.

 

Walaupun saiz cupak kurang membanggakan tetapi kerana kegelojohan gerombolannya menyerang membuatkan kami begitu enjoy.

Kehadiran cupak yang banyak membantut usaha memerangkap gerepoh dan tuna.

Memang cupak lebih cepat menyambar jig sebelum gerepoh mengintai kelibat besi jig yang di unjun. Tapi itulah, memancing ni bukan boleh memilih sangat. Apa yang ada bedal saja.

 

Hari semakin larut namun acara jigging terus rancak berlangsung. Pelbagai jenis tuna dapat ditewaskan tetapi saiznya hanya boleh tahan.

Awak-awak segera menyimpannya untuk dijadikan umpan pancingan dasar keesokan harinya.

Aya kurik dan tuna skipjack bolehlah dijadikan umpan untuk ruby snapper dan kertang hitam.

 

Namun anak-anak dogtooth tuna dan yellowfin tuna kami korbankan malam itu juga. Spesies mahal macam ni tak kan la nak dibuat umpan juga.

Buat umpan perut lagi bagus dan berwasabilah kami sepuas-puasnya malam itu.

 

IKLAN

TERUMBU NORA DANISH

 

Pada keesokan harinya kami telah bersedia di lubuk dalam mencecah hampir 200 meter untuk sesi pancingan suka ramai.

Masing-masing sudah ready dengan mesin bangla pelbagai jenis dan kekuatan antaranya Daiwa Tanacom Bull, Daiwa Megatwin, Shimano Tankenmaru, Banax Kaigen di samping Command X4 hinggalah ke Command X8.

 

Jelas kelihatan di skrin menunjukkan kedalamannya antara 150 hingga 220 meter. Menurut tekong, ruby snapper hanya menghuni lubuk-lubuk yang dalam dan sejuk.

Selain itu terdapat juga kertang hitam menghuni lubuk yang sama. Manalah tahu, untung-untung kedua-dua spesies mahal ini berjaya didaratkan.

 

Di terumbu karang cantik dan comel yang kami gelar ‘Terumbu Nora Danish’ ini memang mengancam.

Kawasannya berbukit bukau dan terdapat beberapa alur dalam yang tak dapat dibaca kedalamannya oleh sonar.

Setelah siren dibunyikan umpan terus dihulurkan laju ke bawah. Sekejap sahaja kami dihiburkan dengan asakan bertali arus daripada mangsa di bawah.

 

Masing-masing bersorak apabila ruby snapper pertama mula menjamah umpan. Penggunaan kekili elektrik memudahkan lagi kerja-kerja ini.

Tekong dan awak-awak pula tidak kurang hebatnya apabila berjaya menaikkan beberapa kerisi bali di hadapan bot.

Umpan sotong segar dan tongkol yang masih berdarah memang cepat menarik perhatian si ruby snapper.

 

PUAS HATI

 

Setelah tiga malam di perairan Andaman, ternyata masing-masing berpuas hati dapat memancing pelbagai spesies mahal terutama kepada yang mencapai target untuk menawan spesies idaman.

Bagi kaki bottom kali ini lebih bagus berbanding dengan hasil jigging.

 

Dalam perjalanan datang dan pulang pula kita disajikan dengan makanan Thai yang sememangnya lazat.

Keramahan peniaga yang mesra pelanggan memang menggamit kenangan. Biarlah komunikasi antara ‘ayam dan itik’ sekalipun asalkan sama-sama faham.. haha.

(Tulisan: Shamwen Chegucabok)

 

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI