Dikatakan waktu terbaik untuk memancing tapah ialah pada awal hingga pertengahan musim hujan dan awal hingga pertengahan musim kemarau.

Ini kerana biasanya pada ketika ini tapah yang baru habis bertelur akan keluar mencari makan dan cenderung memburu dengan lebih agresif.

 

Faktor Air

Perkara yang paling utama untuk diambil kira apabila hendak menunda atau trolling ikan tapah di sungai yang ada pengaruh pasang surut, ialah memantau pasang surut itu sendiri.

Masa terbaik untuk trolling ialah sewaktu air sungai sedang naik pasang ataupun sedang pasang penuh.

 

Jika air sungai surut dengan amat laju maka peluang untuk memperoleh strike amat rendah. Sementara jika gewang tersangkut peluang untuk mendapatkannya kembali amat tipis.

Namun faktor pasang surut ini tidak diguna pakai sekiranya trolling di sungai atau anak sungai yang jauh dari pengaruh air pasang surut.

IKLAN

 

Bot dan enjin

Untuk aktiviti trolling tidak diperlukan sampan bersaiz besar, memadai ia mampu memuatkan 2 hingga 3 orang sahaja sudah memadai.

Yang penting sampan tersebut selesa dan tahan lasak. Sementara enjin pula memadai 5 hingga 15 kuasa kuda sahaja. Menunda tapah tidak perlu kelajuan tinggi.

 

Alatan pancing

IKLAN

Disarankan menggunakan peralatan pancing dalam medium saiz dan aksi sederhana sahaja. Kekili memadai lingkungan saiz 3000 hingga 5000.

Joran berkuatan 15-30 lb sudah memadai. Sementara tali pancing boleh saja menggunakan tali tangsi (mono) ataupun tali sulam. Namun disyorkan tali berkuatan 25-40 lb.

 

Gewang

Boleh dikatakan semua jenis gewang boleh digunakan, tidak kiralah ia dari produk murah atau pun mahal. Namun disarankan pilih gewang aksi floating (timbul) dan yang mampu berenang menghampiri dasar kerana ikan tapah lazimnya berlegar di dasar sungai.

 

IKLAN

Seperkara lain dengan menggunakan gewang floating ia dapat mengagak dengan mudah jarak gewang dengan sampan sebelum menunda.

Sementara warna gewang pula haruslah sepadan dengan situasi kekeruhan air. Walau bagaimana pun gewang berwarna terang amatlah terbukti lebih efektif.

 

Insuran

Jangan diabaikan keselamatan diri dan juga gewang. Bagi keselamatan diri, sentiasalah pakai jaket keselamatan meskipun sungai atau lubuk tersebut tidaklah sedalam mana.

Dan untuk keselamatan gewang pula, pastikan penyelamat gewang atau lure retriever dibawa bersama.

Jika tiada penyelamat gewang, carilah batang kayu sepanjang 3 hingga 5 meter yang ringan tapi kukuh untuk dijadikan alat membebaskan gewang yang tersangkut. Potensi gewang tersangkut amatlah tinggi jika trolling di lubuk-lubuk tapah.

 

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI