Sekian lama tidak berpeluang bergasak dengan spesies yang penuh dengan aksi akrobatik ini.

Kebetulan pula tekong bot dalam artikel berkenaan adalah tekong yang sama pernah kami gunakan sebelum ini maka kami rasakan peluang untuk merasainya terbuka luas.

 

Sebelum ini tidak terlintas untuk memancing ikan ini kerana tumpuan kami lebih kepada aktiviti mencandat dan sesi pancing apollo sahaja.

Mungkin kerana permintaan daripada ahli trip yang gemar mencari dan memancing ikan kerisi kerana ia adalah ikan kegemaran seisi keluarga.

 

Malah kebanyakan teman yang mengikuti trip sebelumnya suka memancing kerisi kerana tidak jemu, ia cepat menyambar umpan yang lalu di kawasannya.

Santai memancing dan tidak begitu memerlukan tenaga. Tekong yang dihubungi tidak lama selepas itu bagi menempah trip untuk mencari spesies berwarna yang cukup menarik di dalam air.

 

Menurut tekong tempat tersebut jarang dikunjungi pemancing dan kalau tidak dikacau kemungkinan besar belitong masih lagi berlegar di unjam tersebut.

Setuju dengan tarikh yang ditetapkan maka perancangan awal diaturkan untuk merealisasikan saat untuk menggempur belitong.

Dalam masa singkat anggota trip dapat dikumpulkan mencukupi untuk menampung perbelanjaan nanti. Percaturan mula di buat dalam tempah menjelang hari yang dijanjikan.

 

TERINGIN MERASAI KEMBALI

 

Memandangkan ikan belitong menurut tekong lebih gemar umpan hidup, maka tidak banyak persediaan umpan dibuat ketika awal pagi semasa kami mendapatkan bekalan dan sarapan pagi di pasar besar Kuala Dungun.

 

Hanya beberapa kilo sotong segar untuk pancingan malam di mana belitong tidak lagi aktif pada masa tersebut.

Selesai urusan memunggah barangan ke dalam bot yang telah siap menunggu kedatangan kami, tekong kemudian memacu bot ke arah lokasi di mana beliau memancing belitong sebelum ini.

 

Setelah letih dalam pemanduan darat dari ibu kota. Masing-masing mula terjaga apabila deruman enjin bot mula perlahan, sudah hampir 4 jam kami menempuh perjalanan

tentunya dah sampai. Tekong masih berlegar-legar di satu lokasi yang kami tidak berapa pasti.

 

Nun kejauhan kelihatan Pulau Tenggol dalam samar-samar imejnya. Bila disapa tekong memberitahu kami beliau tidak dapat mengesan kelompok unjam yang dikunjungi dalam trip sebelumnya.

Pasti angkara bot pukat tunda yang datang mengheret kawasan tepian unjam sambil memutuskan tali pelampung penanda unjam nelayan.

 

Apa-apa pun kami masih mengharapkan pada tekong yang mahir dengan selok-belok kawasan yang dikunjungi.

Sambil itu timbul persoalan, ‘masih ada harapan ke untuk kami merasai penangan belitong kalau jadi macam ini.

 

“Kita pergi unjam satu lagi 3 batu dari sini,” ujar tekong memberi cadangan. Kami hanya mengangguk kepala sahaja.

 

IKLAN

 

baca juga kenali ikan belitong

 

HARAPAN MENINGGI

 

Bila tiba di lokasi, apa yang kami lihat hanyalah 2 biji pelampung putih kecil dengan sebatang buluh kering di permukaan air.

Biasanya unjam dipenuhi dengan beberapa biji pelampung dan semakin banyak pelampung bermakna gugusan unjam pun banyak.

Namun kami terima apa yang ada sambil aktiviti mencari umpan hidup dipersiapkan sebaik sahaja sauh mencengkam dasar.

 

Ketika itu tiada tanda-tanda kehadiran belitong, namun usaha mendapatkan ikan hidup diteruskan.

Anak ikan semakin galak menyambar mata apollo yang mungkin memberi makna tiada ikan predator berkeliaran.

Sejam berlalu barulah kami ternampak percikan air berdekatan dengan dua biji pelampung kecil dan samar-samar terpandang ikan berwarna terang sedang mengejar anak ikan.

 

Apa yang perlu ditunggu lagi, anak ikan selayang dan selar hidup mula dihanyutkan ke belakang bot.

Belitong pemangsa yang kadang-kadang pemalu pada peringkat permulaan. Sesetengah kes ia datang meninjau umpan dengan jelas di hadapan kami, mencium umpan kemudian ditinggalkan begitu sahaja.

 

Sejenak kemudian ia datang lagi berlegar di sekeliling umpan dan dengan tabiat sama, umpan disapa kemudian ditinggalkan sekali lagi.

Bila masa ia datang kembali dalam jumlah melebihi sekor, kumpulan belitong akan melewati umpan hidup kemudian berpaling dan terus menerkam umpan berkenaan.

 

Sebab itu hidangan dengan ikan hidup dapat membuka selera belitong dengan cepat, umpan jarang-jarang ditolaknya lebih-lebih lagi ia berkumpulan.

Bila masa ia rakus, begitu cepat umpan dijamah tanpa menolak lagi. Sekelip mata kekili berdesing, tali keluar dengan laju sekali, sehingga mengejutkan pemancing yang terleka mahupun terlena menunggu sentapannya

IKLAN

 

BERTEGANG URAT

 

Buat yang pertama kali merasai rempitan belitong akan mudah kehilangan ikan. Belitong walaupun rakus ia tetap culas mengenai umpan yang cuba dikeluarkan dari mulutnya.

Pada peringkat permulaan, belitong sebenarnya hanya menggonggong seketika umpan (belum ditelan lagi) semasa membuat pecutan.

 

Bila masa umpan ditelan dan masa yang sama ia merasai ada kekangan larian dikenakan ke atasnya masa inilah belitong akan membuat loncatan di permukaan buat kali pertama.

Inilah masa yang sesuai untuk mengetatkan sistem tegangan kekili sambil membalas joran bagi meningkatkan kadar hook up.

 

Banyak kes hilang ikan apabila pemancing terlalu cepat dan gopoh ketika larian peringkat permulaan oleh belitong.

Gopoh, mungkin juga dalam situasi terkejut dan belum pengalaman sepenuhnya mengenai ‘peel’ belitong adalah lumrah kali itulah sejarah tarikan belitong yang buat pertama kali dalam hidupnya.

 

Sebab itu penulis gemar mengikuti trip dengan ahli yang baru dan kurang pengalaman.

Masa terbaik melihat gelagat pemancing. Malah di kala rasa pening dan muntah tapi tangan masih menggenggam joran.

 

Semangat begitu pejal tanpa mempedulikan perasaan pening dan muntah akibat mabuk laut.

Sikap yang boleh dipuji kerana pemancing ini tidak mengalah kepada persekitaran, memancing tetap diteruskan.

 

Nasib selalunya dipihak pemancing kerana belitong bukanlah spesies yang cepat serik, mana mungkin pemangsa lupakan mangsa yang terhidang.

Rabut satu, kejap lagi yang lain pula datang menghambat umpan. Bila serangan belitong bertali arus. Peluang ini digunakan sepenuhnya oleh ahli trip.

 

IKLAN

Masing-masing akan mengambil giliran menghulur umpan ikan selayang hidup menghanyut di belakang bot. Lepas satu demi satu dapat merasai keperitan menahan asakan belitong.

Peringkat permulaan masing-masing berebut untuk hulurkan umpan, lama kelamaan tenaga semakin berkurang, dan kini masing-masing menolak apabila joran yang mengena belitong cuba dihulurkan kepada mereka.

 

Ia tidak boleh berterusan, dapat dan layan kemudian berehat melegakan sengal otot dan tulang sebelum menyambung kembali.

Bila dah mahir dari joran aksi menengah, joran aksi ringan pula dicubanya. Nak merasai pertarungan yang lebih mencabar lagi.

Janji dapat layan dengan lebih lama apabila semakin kecil saiz tali dan joran yang digunakan.

baca juga trip kumpau

 

HAI BILA KEKILI NAK MENJERIT

 

Bila hari menggamit senja kelibat belitong turut tenggelam. Umpan ikan selayang hidup tidak lagi dijamahnya. Ini memaksa kami mencari kepuasan yang lain pula.

Tekong kemudiannya mencadangkan agar bergerak selepas beliau menyiapkan masakan malam kami.

 

Sebab itu ada juga yang memilih untuk beradu di suasana yang nyaman tanpa mempedulikan lagi sebarang aktiviti memancing yang berlaku di birai bot.

Kami yang berjaga memancing pada malam hari kadangkala terasa cemburu melihat teman seperjuangan yang lena di lantai kayu bot tanpa bertilam empuk.

 

Nyenyak tidur sambil menghilangkan sedikit rasa keletihan dan pening-pening lalat pada kala siang tadi.

Jadi tempat memancing lagi lapang kerana sebahagian pemancing yang bosan menunggu sentapan ikan pada malam hari turut mengambil peluang menyelit dalam kabin

 

Layan sahaja apa juga yang sudi dengan umpan sementara menunggu hari siang yang masih lambat lagi untuk meneruskan perjuangan menentang belitong buat fasa kedua.

Mata semakin kuyu walaupun ditemani air kopi tongkat ali jantan gara-gara ikan dasar tidak begitu ramah pada malam itu.

Sekali sekala mata terlelap terjaga kembali apabila sistem penggera berbunyi. Mata semakin mudah terlelap apabila keadaan semakin sunyi seolah-olah enjin generator bergegar tanpa bunyi.

 

Namun satu bunyi yang boleh mengganggu aktiviti tidur sang pemancing iaitu bunyi jeritan kekili.

Bunyi yang tidak begitu nyaring serta berterusan dalam jangka yang lama sebagaimana yang diharapkan tetap mudah mengejutkan seorang yang bernama kaki pancing.

Lumrah dan adat pemancing yang pantang mendengar jeritan sang kekili yang disayangi berbunyi walaupun dengan nada begitu lemah sekali.

 

 

Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!

Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan

Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI