Percaya atau tidak, kemusnahan alam sekitar dan tangkapan secara tidak terkawal adalah dua faktor utama menyumbang kepada kepupusan `Raja Sungai’ iaitu spesies ikan kelah. Atau dalam erti kata lainnya, walau apapun alasan yang diberikan, sedikit sebanyak kita sebagai pemancing merupakan penyumbang kepada kepupusan ikan kelah hari ini.

 

Menyedari ancaman yang semakin hari semakin teruk ke atas spesis ikan ini, Lembaga Pembangunan Terengganu Tengah (Ketengah) membangunkan tempat perlindungan dikenali sebagai Santuari Ikan Kelah (SIK) di Sungai Petang yang terletak dalam kawasan Tasik Kenyir.

 

Mula diusahakan pada Januari 2006, santuari ini kemudiannya dibuka kepada orang ramai pada 15 Oktober 2008 untuk memberi peluang kepada masyarakat melihat sendiri habitat ikan kelah ini.

 

Bagaimanapun, santuari ini ditutup pada setiap musim tengkujuh iaitu November hingga Februari setiap tahun demi keselamatan pengunjung kerana sepanjang tempoh itu paras air sungai meningkat dan boleh berlaku banjir. Selain itu, inilah juga musim untuk ikan ini berenang menongkah arus ke muara sungai dan bertelur.

IKLAN

 

Sama ada anda datang ke Tasik Kenyir sebagai pemancing atau pelancong, sewajarnya SIK di Lubuk Kejor, Sungai Petang disenaraikan dalam tentatif anda. Pada dasarnya Santuari Kelah Sungai Petang ini dibina dengan objektif mengekalkan sumber akuatik dan bio diversity, menjadikan Sungai Petang sebagai pusat pembenihan ikan, memulihara dan mengggalakkan pembiakkan spesis ikan asli Tasik Kenyir, membangun dan mempertingkatkan produk pelancongan berasaskan eco tourism serta memulihara alam sekitar bagi menentukan habitat ikan tidak tercemar.

 

Kehadiran kita ke SIK sebenarnya bukanlah tiket untuk memenuhkan tabung pihak yang mengusahakan santuari ini sebaliknya membantu populasi ikan yang kian terancam kepupusannya. Hanya di sini sahaja pemancing atau sesiapa sahaja bukan sekadar dapat melihat malah menyentuh dan bermain-main dengan spesies raja air tawar iaitu kelah merah.

IKLAN

 

SIK Sungai Petang terletak di Sungai Petang dengan jarak sekitar 21 kilometer dari Pengkalan Gawi. Menaiki bot laju ia memakan masa sekitar 40 minit perjalanan ke Pos Kawalan Santuari Kelah Sungai Petang, seterusnya anda akan dibawa ke Hentian 1. Dari Hentian 1 anda akan merentas denai dan meniti jambatan gantung dengan jarak sekitar 1.7 kilometer sebelum tiba ke lubuk untuk menimba pengalaman yang tak ternilai bermain dengan spesies idaman para pemancing satu Malaysia ini.

 

Meskipun orang ramai boleh mengunjungi santuari ini dan merasai sendiri pengalaman bermesra dengan ribuan kelah yang ada tetapi mereka dilarang sama sekali daripada menangkap atau memancing ikan itu. Perlu diperingatkan, semua ikan kelah di santuari ini dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Perikanan 1985, Kaedah-Kaedah Perikanan Darat Terengganu 1988 (Kaedah 21).

IKLAN

 

Di bawah Akta itu, mana-mana orang yang didapati menangkap, membunuh dan memiliki ikan dalam kawasan tutup yang dinyatakan jika sabit kesalahan akan dikenakan denda tidak melebihi RM 1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya dengan perintah pegawai perikanan darat.

Dalam masa yang sama, demi menjaga kebajikan ikan di santuari itu, ia hanya dibuka untuk kunjungan 100 pengunjung sahaja untuk pada satu-satu hari. Kuota 80 orang diberi untuk pengunjung yang membuat tempahan awal dan selebihnya untuk pengunjung yang datang tanpa membuat tempahan.

 

GALERI

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI