RM75,000 Milik Zaidi di Stingray Hunt

279

Pemancing dari Klang, Selangor yang mendaftarkan nama  Zaidi SSG sebagai peserta  menerima durian runtuh sebanyak RM75,000 apabila ditabalkan juara dalam pertandingan memancing Stingray Hunt di Pantai Puteri, Melaka, Ahad lalu. Ia merupakan hadiah wang tunai tertinggi yang pernah diperoleh sepanjang hidup pemancing bertuah ini.

Zaidi SSG atau nama penuhnya Mohamad Zaidi Warmo yang menyertai acara Stingray Hunt @Pantai Puteri bersama kumpulan atau kelab pemancing Selangor Surfcasting Group (SSG), menaikkan ikan spesies pari kelawar seberat 3.660 kilogram pada jam 10.40 pagi.

Sebelum itu, kira-kira jam 10.00 pagi atau selepas dua jam acara berlangsung, peserta yang mendaftarkan nama sebagai Japar berjaya mendaratkan seekor ikan senangin seberat 2.160 kg. Namun tangkapan Japar atau Jaafar Abdullah dari Johor itu hanya mampu bertahan di puncak podium untuk tempoh 40 minit sahaja.

Pari dan senangin yang berada di puncak podium

Begitu jugalah nasib yang menimpa peserta yang mendaftarkan nama sebagai MFKT 9 atau Mohamad Nusyakir yang agak awal mendaratkan seekor ikan pari seberat 1.480 kg, kira-kira setengah selepas acara bermula.

Dengan keputusan tersebut, Zaidi muncul sebagai juara sekali gus meraih ganjaran tunai sebanyak RM75,000. Manakala Japar terpaksa berpuas hati di podium  kedua dengan menerima RM14,000. Sementara Nursyakir selaku wakil Mat Kilau Fishing Team (MKFT) dari Pahang berpuas hati di podium ketiga dan membawa pulang tunai RM5,000.

Hadiah kepada para pemenang disempurnakan oleh Setiausaha Penyelaras DUN Pantai Kundor, Noor Azman Hassan dan Pengurus Wakjali Event Management, Md Zali Kasran.

Naib juara bersama pasukannya

Pertandingan anjuran Wakjali Event Management ini merupakan pertandingan kali ketiga dilangsungkan di Pantai Puteri tahun ini. Pertandingan terakhir di Pantai Puteri bakal diadakan ialah acara Shimano Surfcasing Challenge 2017 yang akan menjadi medan pertarungan para penggemar joran panjang pada 3 Disember nanti.

Pertandingan tajaan Shimano itu, bakal menyediakan hadiah keseluruhan lebih RM130,000.00 dengan Shimano bakal menyediakan pelbagai barangan peralatan memancing bernilai hampir RM45,000.00 termasuk Shimano Stella, Fliegen, Bullseye dan lain-lain lagi.

Juara bersama rakan-rakan satu kumpulan

Carta Top 10 Pemenang

  1. ZAIDI SSG – Pari 3.660 kg (RM75,000)
  2. JAPAR – Senangin 2.160 kg (RM14,000)
  3. MFKT 9 – Pari 1.480 kg (RM5,000)
  4. JK 2 – Kerapu 0.950 kg (RM1,500)
  5. PISA 25 – Sembilang 0.950 kg (RM1,000)
  6. RAMLI 1 – Kerapu 0.820 kg (RM350)
  7. ABANG YEN – Daun baru 0.660 kg (RM350)
  8. KPS 19 – Daun baru 0.610 kg (RM350)
  9. JORAN LAMA – Duri 0.595 kg (RM350)
  10. AYANG – Daun baru 0.540 kg (RM350)

 

Tinggalkan Komen